suria

Hanya 8 bulan bergelar pengurus, keputusan pemuda ini kembali terjun ke dunia bakeri nyata berbaloi!

Bermula membakar kek secara suka-suka enam tahun lalu, pemuda ini berjaya membina ‘jenamanya’ sendiri, Cakeliciousmy yang cukup terkenal dengan trademark kek krim mentega dan hiasan bunga segar.

TANPA diduga, minat membakar kek secara suka-suka akhirnya membuatkan pemuda ini terus jatuh cinta dengan dunia bakeri.

Segalanya bermula pada 2014, selepas dia menamatkan pengajian peringkat sarjana muda bidang pengurusan perniagaan dari sebuah institusi pengajian tinggi awam.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemilik nama Mohd Syahir Akmal ini berkata, pada ketika itu dia sekadar mencuba membakar brownies yang mana resepinya hanya diperolehi daripada laman Youtube.

ARTIKEL BERKAITAN: Kali pertama sertai pameran 5 karya ‘sold out’! Artis bongsu Rajawali-X ini makin gigih atur langkah cipta nama 

ARTIKEL BERKAITAN: Cipta model jentera guna kertas, bahan terbuang... bakat remaja ini buat ramai terpana! 

“Selepas tamat belajar, masa itu tak tahu nak buat apa jadi saya terfikir, mengapa tidak saya baking. Saja suka-suka. Resepi pertama yang saya buat adalah brownies dan belajar hanya berpandukan Youtube.

“Percubaan pertama tidak mengecewakan. Daripada brownies, saya cuba membakar pelbagai jenis kek, semuanya menerusi kaedah try and error.

“Dari semasa ke semasa, saya develop kemahiran membuat kek dengan menghadiri beberapa kelas contohnya kelas kek fondant di samping belajar sendiri. Namun kebanyakannya saya belajar sendiri kerana ingin mencabar diri sendiri,” katanya.

Trademark kek Syahir, kek krim mentega dengan hiasan bunga segar.

Hampir enam tahun menceburkan diri dalam dunia bakeri, pemuda ini berjaya membina ‘jenamanya’ sendiri, Cakeliciousmy yang cukup terkenal dengan trademark kek krim mentega (butter cream cake) dengan hiasan bunga segar.

“Saya bukan pembakar kek mengikut musim (seasonal baker) yang mengikut trend. Saya mempunyai trademark tersendiri dan kebanyakan tempahan yang diterima pula adalah custom made.

“Ketika 2015, saya ada buat satu design berasaskan bunga krisantemum. Design tersebut meletup dan daripada situlah orang mula kenal Cakeliciousmy. Boleh dikatakan ia adalah trendsetter ketika itu.

“Ketika ini, memang pelanggan mengenali saya dengan butter cream cake yang dihias dengan bunga-bungaan segar,” ujarnya.

Pemuda berusia 26 tahun itu mendedahkan, dia pernah bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat namun hanya mampu bertahan selama lapan bulan.

Antara kek krim mentega yang ditempah pelanggan.

“Mungkin ia tidak sesuai dengan minat saya, jadi saya ambil keputusan untuk meletak jawatan pada Julai lalu dan kembali kepada kerja lama iaitu membuat kek,” katanya yang menetapkan harga tempahan kek mengikut saiz, perisa, bunga segar dan reka bentuk, selain bajet pelanggannya.

Menurut Syahir, tempahan kek yang diterima disiapkan sendirian tanpa pembantu mahupun rakan kongsi, namun sekali sekala mendapat bantuan ibunya.

Hasil usaha kerasnya hampir enam tahun beroperasi di rumahnya di Taman Melati, Gombak, Syahir akhirnya mampu mengukir senyuman apabila bakal membuka sebuah kafe pada awal tahun hadapan.

Antara kek tempahan pelanggan yang dimuat naik dalam Instagram Cakeliciousmy.

“Pada masa kini saya sedang meneliti segala perkara kerana tidak mahu melakukannya secara terburu-buru. Modal untuk buka kafe bukan menelan belanja seratus atau dua ratus, tetapi ia pelaburan yang besar. Dalam masa sama, saya sedang merekrut pasukan sendiri untuk mengendalikan kafe itu,” katanya.

Ujar pemuda ini lagi, dia berbangga kerana berjaya membuktikan golongan lelaki juga mampu beraksi di dapur, apatah lagi tanpa berbekalkan latar belakang dalam bidang bakeri.

“Tak disangka, minat membuat kek secara suka-suka mampu membawa saya ke tahap ini,” ujarnya mengakhiri bicara.  

kek, Cakeliciousmy, pengurus, cafe

Artikel Lain