suria

Nak mengembara ke seluruh pelusuk dunia dengan motosikal berkuasa tinggi? Percayalah... kini impian itu boleh jadi kenyataan

MMR bukan sahaja menyediakan motosikal berkuasa tinggi malah turut bersedia bertindak sebagai pemandu pelancong ke destinasi pilihan pengembara.

BAGI peminat industri permotoran berkuasa tinggi, untuk memiliki sebuah kenderaan yang cool ini tentunya memerlukan perancangan rapi dari pelbagai sudu.

Komitmen tinggi untuk perkara yang lebih penting akan membuatkan impian memiliki sebuah motorsikal berkuasa tinggi terbantut.

Tetapi jangan bersedih, jangan kecewa kerana kini Rent & Ride membuka peluang kepada semua 'kaki' motosikal terutama yang berkuasa tinggi untuk merealisasikan impian mereka menunggang ke destinasi pilihan.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa kata hobi kena mahal? Ini 5 'hobi bajet' yang senang dan menyeronokkan

Antara salah satu motosikal berkuasa tinggi yang diberi sewa.

Malaysia Motorbike Rental (MMR) yang beroperasi sejak dua tahun lalu menyediakan perkhidmatan sewaan motosikal berkuasa tinggi kepada penunggang dari dalam dan luar negara.

Menurut pengasasnya, Mohd Kamal Ariffin Bunyamin, 43, idea ini tercetus apabila mendapat permintaan rakan-rakan terdekat yang ingin menyewa motosikal berkuasa tinggi miliknya untuk tempoh yang singkat bagi memenuhi impian mereka.

Mohd Kamal memberitahu dia sendiri merupakan peminat motosikal berkuasa tinggi dan memahami 'passion' untuk menunggang motosikal ini.

Sekumpulan pengembara motosikal berkuasa tinggi menggunakan peluang menjelajahi ke destinasi pilihan.

Oleh sebab itulah dia dan rakan perniagaannya, Mohd Rozaimi Arif Arshad,35, menubuhkan sebuah syarikat sewa yang dikenali Malaysia Motorbike Rental.

Ke destinasi pilihan menunggang pelbagai model motosikal

MMR kini mempunyai lebih 80 motosikal pelbagai model dan jenama untuk disewa. Ia menawarkan harga berbeza mengikut spesifikasi motosikal iaitu bermula pada harga RM600 sehari dengan minima sewaan dua hari.

Beroperasi sepenuhnya di ibu kota Kuala Lumpur, ia menjadi lebih mudah kepada penyewa dari dalam dan luar negara untuk memulakan pengembaraan bermotosikal.

Faktor harga sesebuah motosikal berkuasa tinggi antara sebab penunggang lebih suka menyewanya.

Menurut Mohd Rozaimi, sambutan yang diterima amat menggalakkan sejak penubuhan perkhidmatan sewaan ini kira-kira dua tahun lalu.

"Ramai juga penunggang tempatan yang datang ke sini sewa dan pergi meronda dan menjelajah ke destinasi pilihan.

"Ada yang menunggangnya ke lokasi sekitar Kuala Lumpur, menuju ke utara, selatan dan timur, tetapi majoritinya penunggang mengambil peluang ke destinasi lebih jauh dan Thailand antara negara yang dikunjungi selain Vietnam dan India.

"Dalam pada itu, pelancong-pelancong asing seperti dari Indonesia dan Australia tidak melepaskan peluang untuk menikmati keindahan negara ini dengan mengembara ke pelbagai destinasi di setiap pelusuk negara menggunakan kenderaan dua roda ini," kongsinya bersama mStar.

MMR turut menyediakan perkhidmatan 'tour guide'.

Terbaharu, sekumpulan penyewa motosikal berkuasa tinggi ini berkonvoi ke Himalaya selama sepuluh hari.

Antara jenis motosikal yang disediakan untuk disewa termasuk Spyder RTS 1000cc, BMW, Kawasaki, Yamaha dan KTM. Malah MMR juga menyediakan perkhidmatan 'tour guide' mengikut destinasi yang dipilih penyewanya.

Peminat-peminat motosikal berkuasa tinggi boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Malaysia Motorbike Rental menerusi Instagram @malaysiamotorbikerental.

Artikel Lain