DUNIA hiburan Hollywood kecoh apabila aktor terkenal Keanu Reeves berpegangan tangan dengan rakan baiknya, Alexandra Grant ketika menghadiri sebuah acara Sabtu lalu. Penampilan pasangan itu membuatkan ramai teruja bukan sahaja kerana Alexandra adalah sahabat baiknya tetapi wanita itu adalah teman wanita pertama Keanu dalam tempoh sedekad! ARTIKEL BERKAITAN: Masih terkenangkan bekas kekasih? Ada 4 tanda pasangan anda belum 'move on'! Seperti Keanu dan Alexandra, jatuh cinta dengan sahabat sendiri bukan perkara pelik tetapi ia sering terjadi. Malah pasangan pelakon Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana membuktikan persahabatan boleh berakhir dengan perkahwinan! Keanu Reeves mengejutkan peminat apabila tampil di acara karpet merah berpimpinan tangan dengan teman baiknya. Jatuh cinta dengan rakan baik sendiri berlaku kerana kita merasakan mereka lebih mengenali diri kita berbanding orang lain. Malah apabila bersama mereka, kita boleh menjadi diri sendiri kerana tahu si dia menerima baik dan buruk diri kita seadanya. Jika ada di antara anda yang membaca artikel ini berasa ragu-ragu tentang perasaan anda terhadap rakan baik sendiri, ada empat petanda bahawa anda sudah jatuh cinta dengan sahabat sendiri. Sering 'update' tentang aktiviti harian anda kepada rakan baik adalah tanda anda mungkin jatuh cinta dengannya. 1. Sentiasa 'update' kegiatan Adakah anda sering memberitahu setiap aktiviti dan pergerakan anda kepada teman baik? Jika hal itu terjadi, ia petanda anda mula mengalihkan fikiran anda kepadanya. Setiap perincian mengenai hari anda yang diberitahu kepada teman bukan sahaja kerana anda ingin berkongsi cerita tetapi kerana dia adalah individu nombor satu dalam hidup anda. 2. Cemburu Dalam diam, anda mula memperhatikan setiap gerak-geri sahabat anda malah sentiasa tertanya-tanya tentangnya apabila dia tidak berada di depan mata! Jika ada orang lain yang rapat dengannya, anda mula berasa cemburu bimbang 'tempat' anda akan diganti oleh orang lain. 3. Mula membandingkan sahabat dengan kekasih Jika anda sudah mempunyai kekasih dan mula berasa tawar hati dengannya selain melebihkan sahabat, ini mungkin petanda hati anda sudah beralih. Pada tahap ini juga, anda juga suka membandingkan mereka malah akan lebih berpihak kepada sahabat berbanding kekasih sendiri! Lebih parah apabila anda mula meluahkan semua perkara peribadi tentang hubungan anda kepada sahabat. Tanya balik kepada diri, adakah anda berkongsi cerita itu kerana ingin meluahkan perasaan atau anda berharap perkara lain daripadanya? 4. Bersikap 'clingy' dengan sahabat Apabila anda jatuh cinta, tubuh akan melepaskan adrenalin, dopamin, testosteron dan estrogen yang membuatkan anda 'khayal' dalam dunia anda sendiri. Dalam kes jatuh cinta dengan sahabat, anda akan mula bersikap manja atau 'clingy' dengannya kerana tubuh anda sedang memberi signal; "Aku sedang jatuh cinta". Bagaimanapun, jika semua perkara ini terjadi kepada anda, sebaik-baiknya berfikir secara objektif termasuk berfikir masak-masak sama ada benar anda tertarik dengan sahabat sendiri secara romantik? Atau hanya kerana anda selesa dengannya membuatkan ada rasa dia adalah orang terbaik untuk dijadikan pasangan? Jika tersalah pilih, bukan sahaja anda akan kecewa tetapi mungkin akan kehilangan sahabat baik buat selamanya!