SEHINGGA kini kafe Starbucks sudah pun membuka 300 cawangan di seluruh Malaysia menjadikan ia antara jenama berpengaruh dan popular di negara ini. Tapi pembukaan cawangan terbaharunya di Jalan Burmah, Pulau Pinang baru-baru ini mendapat perhatian kerana ia sangat istimewa. ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui 10 fakta unik tentang kopi, boleh jadi punca perceraian! Ia disebabkan kesemua pekerja di cawangan itu adalah dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan masalah pendengaran dan bisu. Pekerja berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat. Menariknya, ia adalah kafe Starbucks keempat di dunia seumpamanya termasuk di Bangsar Village II, Kuala Lumpur; Washington, Amerika dan Guangzhou, China. Starbucks cawangan Jalan Burmah, Pulau Pinang itu diuruskan oleh tujuh pekerja pekak dan bisu dari Pulau Pinang yang mahir dalam penggunaan bahasa isyarat. Bagi melancarkan operasi, Starbucks Malaysia juga telah melakukan ubah suai terhadap kafe itu sesuai dengan keperluan semua pekerja di situ. Menarik... Apron turut mempunyai bahasa isyarat. Ini termasuk melengkapkan dengan penggera visual, dulang digital dan sebagainya bagi memudahkan komunikasi di antara pekerja dan pelanggan selain mewujudkan suasana pekerjaan yang selamat dan kondusif. Kafe itu juga dibuka bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang komuniti dengan masalah pendengaran. Atas dasar itu juga, Starbucks Malaysia bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA) dalam menyediakan latihan profesional kepada kesemua pekerja termasuk kelas bahasa isyarat dan latihan industri. Pelanggan boleh membuat pesanan menggunakan papan digital. Bagi menjayakan matlamat itu juga, Starbucks Malaysia akan mendermakan RM1 setiap pembelian Vanilla Fig Frappucino bagi untuk disalurkan kepada program tersebut. Kewujudan cawangan terbaharu itu juga membolehkan semua pekerja mendapat peluang sama seperti kakitangan yang normal termasuk menyertai program Coffee Master bagi memberi peluanga mendalami tentang kopi.