suria

Cuti sekolah dah bermula, The Musketeers Putrajaya lubuk aktiviti sukan, riadah buat kanak-kanak hingga remaja

Ahli kelab sukan The Musketeers Putrajaya sudah menjadi sebuah keluarga besar. Foto Ihsan Facebook MUSKETEERS MALAYSIA

MUSIM cuti sekolah sudah bermula dan pastinya ramai ibu bapa membuat pelbagai perancangan untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.

Tidak hanya bercuti atau balik ke kampung, pastinya ramai ibu bapa yang mencari aktiviti bermanfaat bagi membolehkan anak-anak tetap bergerak aktif pada musim cuti ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah rancang aktiviti bersama anak cuti sekolah ini? Apa kata ambil kira 5 tip ini

Jangan bimbang, apa kata sertai kelab sukan The Musketeers Putrajaya yang menyediakan pelbagai aktiviti termasuk bola sepak dan ragbi pada hujung minggu.

Bercakap kepada mStar, presidennya, Mohd Nasir Zakari berkata, kelab yang ditubuhkan pada 2015 itu bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada remaja dan kanak-kanak seawal usia empat tahun tentang aktiviti sukan serta riadah.

Kanak-kanak menjalani latihan.

Nasir yang juga seorang guru berkata, kajian yang dilakukan di luar negara juga mendapati pendedahan sukan pada usia awal bukan sahaja boleh membantu mereka menjalani kehidupan sihat tetapi membentuk disiplin dan sahsiah diri mereka.

"Sudah banyak negara menubuhkan kelab seperti ini dengan memberi pendedahan kepada kanak-kanak dan remaja terhadap sukan seperti bola sepak, bola keranjang dan ragbi.

"Di luar negara ia sudah menjadi kebiasaan dan perkara sama ingin kami perkenalkan di Malaysia," katanya.

Kanak-kanak seawal 4 tahun main ragbi

Nasir memberitahu di The Musketeers Putrajaya mereka memperkenalkan pelbagai aktiviti sukan namun paling mendapat perhatian adalah ragbi.

Jelasnya, menerusi sukan itu, ia dapat melatih peserta untuk berpegang kepada objektif selain menjadikan mereka sebagai seorang yang ingin mencapai impian.

Bukan sahaja menjalani latihan tetapi peserta dapat menyertai pertandingan bersama kelab antarabangsa. 

"Mereka bukan sahaja jadi lebih aktif tetapi di sebalik ragbi itu sebenarnya cukup banyak manfaat dalam membentuk sahsiah diri mereka.

"Mereka ini ibarat permata yang bersinar tetapi perlu digilap supaya dapat menunjukkan potensi sebenar di peringkat komuniti dan masyarakat.

"Sukan adalah antara kaedah yang berkesan, malahan ia sangat menyeronokkan," katanya yang kini mempunyai lebih 100 peserta The Musketeers Putrajaya.

Nasir memberitahu aktiviti biasanya akan diadakan di Padang Putrajaya, Presint 8 pada hujung minggu antara dua hingga tiga jam.

Tidak hanya kanak-kanak, pasukan remaja juga turut sertai Musketeers Putrajaya. 

Dalam pada itu, Nasir memberitahu usaha mereka itu tidak sia-sia apabila pasukan berusia lima tahun berjaya menyertai pertandingan ragbi baru-baru ini.

"Bayangkan kanak-kanak berusia empat ke lima tahun berentap di padang... Ia bukan sahaja mewujudkan semangat kesukanan tetapi ini juga cara mereka belajar untuk berkomunikasi dan bertinteraksi dengan lebih baik.

"Malah kita juga pernah mengadakan aktiviti dengan kelab antarabangsa seperti Hong Kong, Singapura, Australia dan United Kingdom dengan melakukan pelbagai aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan," katanya.

Nasir turut memberitahu penubuhan kelab itu bukan sekadar suka-suka sebaliknya semua aktiviti disusun supaya ada hala tuju termasuk menyertai pertandingan di dalam dan luar negara.

Malah di kelab itu, pihaknya turut mendapatkan jurulatih berpengalaman untuk membimbing semua peserta dalam memastikan penglibatan mereka bukan sekadar menghabiskan masa di hujung minggu.

Ibu bapa turut melibatkan diri sebagai sukarelawan dan ia boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. 

"Paling penting kesemua peserta yang menyertai kelab ini keinginan mereka sangat tinggi kerana mereka bukan sahaja dapat keseronokan, kenalan tetapi dapat bermain secara profesional.

Penglibatan ibu bapa

Bercakap lanjut mengenai kelab itu, Nasir berkata, ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka juga turut terlibat sebagai sukarelawan dalam menyediakan keperluan ketika latihan selain merapatkan silaturahim di antara semua ahli.

Malah golongan bapa turut terlibat sebagai sukarela ketika latihan sukan yang membolehkan mereka menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak.

"Kesibukan bekerja sepanjang minggu dapat memberikan mereka peluang untuk bersama dengan masa yang berkualiti.

Pendedahan terhadap sukan pada usia kecil boleh membentuk sahsiah diri kanak-kanak. 

"Latar belakang ibu bapa yang berbeza bukan halangan kerana apabila mereka bersama di dalam pasukan dengan misi yang seiring, maka tumpuan utama adalah untuk mencapai objektif," ujarnya.

Nasir memberitahu kelab itu terbuka kepada mana-mana pihak untuk menyertainya namun perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu.

Untuk maklumat lanjut mengenai kelab itu boleh melayari laman Facebook The Musketeers Putayaja.

Artikel Lain