KRIPTO atau matawang kripto adalah sesuatu yang sudah lama diperkenalkan, iaitu sejak 2010. Bagaimanapun ia mula mendapat perhatian ramai bermula 2015 sehingga kini. Susulan itu, Persatuan Blockchain dan Matawang Digital Malaysia (MCBA) sentiasa mengambil langkah dalam memberi kesedaran berhubung kegiatan penipuan mengenai kripto. Presiden MCBA, Mohd Hisham Ismail berkata, penting kepada semua pengguna mengetahui lebih lanjut mengenai matawang digital kerana teknologi ini rumit untuk diterangkan kepada umum. Jelasnya, kerumitan untuk menerangkan protokol matawang kripto ini disalah guna untuk menipu orang ramai dengan pelbagai pakej dan sebagainya. ARTIKEL BERKAITAN: Dilabel bukan ‘sukan sebenar’, e-sukan ada tugas untuk buka minda masyarat supaya tidak ketinggalan “Peranan kami adalah untuk memastikan kes-kes penipuan mengenai kripto ini dapat dielakkan, sekali gus menimbulkan kesedaran daripada semua pengguna. “Yang paling penting, semak dan baca kertas putih cadangan matawang kripto tersebut. Sekiranya intipati di dalam kertas putih itu tidak jelas, maka hendaklah bertanya kepada pihak yang lebih mahir. “Pihak kami meminta pengguna supaya berhati-hati dan fahami kaedah sebenar mengenai penggunaan matawang kripto ini. “Persatuan ini juga giat menggunakan teknologi blockchain yang diguna pakai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA),” ujarnya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCBA, Sabtu lalu. Mohd Hisham turut berkongsi beberapa tip penting berkaitan matawang kripto kepada pengguna supaya tidak menjadi mangsa penipuan. Pengguna perlu bijak menggunakan matawang digital. 1) Wallet Ia perlu ada wallet, atau aplikasi dompet elektronik yang disimpan oleh pengguna itu sendiri, dan bukan di simpan oleh orang lain, mahupun di server. Sekiranya matawang kripto bukan ditangan pengguna, maka ia bukanlah milik pengguna itu. 2) Kekunci sulit dan awam Penting adanya kekunci sulit dan kekunci awam. Kekunci awam biasanya boleh diolah untuk menjadi alamat dompet elektronik. Sekiranya pengguna tidak ada kedua-dua itu, maka ia bukanlah matawang kripto. 3) Transaksi Mesti ada transaksi yang boleh dilihat secara umum menerusi aplikasi sesawang untuk melihat segala transaksi daripada awal penubuhan matawang kripto itu, sehingaa kini. Informasi ini akan disimpan secara blok, di mana mesti ada rentetan daripada blok yang sebelumnya sehingga ke blok yang paling mutakhir 4) Elak pemasaran pelbagai peringkat (MLM) Matawang kripto yang dijual secara MLM mesti dielakkan kerana ini adalah suatu bentuk penipuan kerana matawang digital boleh dibeli secara terus dari pengguna ke pengguna tanpa mendapat habuan yang lain daripada transaksi itu. 5) Jauhi mining digital Cuba elak kegiatan berkaitan mining atau perlombongan digital kerana ini adalah suatu penipuan. 6) Kertas putih Yang paling penting, semak dan baca kertas putih cadangan matawang kripto tersebut. Sekiranya penjelasan di dalam kertas putih itu tidak jelas, maka hendaklah bertanya kepada pihak yang lebih mahir. Barisan baharu pengurusan MCBA. Dari kiri (duduk) Wan Zamzuri, Mohd Hisham, Ras dan Fadly. Selain itu, pada AGM yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan beberapa ahli jawatankuasa baharu dilantik bagi untuk memastikan MCBA ini terus mencapai objektifnya. Selain presiden, turut menyaksikan Datin Ras Ali Baaudhan dilantik sebagai Naib Presiden dan Shahril Datuk Sabarudin memikul tugas sebagai Timbalan Presiden. Selain itu jawatan setiausaha dipegang Wan Zamsuri, Mohd Fadhly Zolkapli (bendahari) serta Datin Sharon Mohd Zillah sebagai AJK persatuan. Manakala Profesor Datuk Dr Norbik Bashah Idris adalah penaung MCBA ini. Beliau merupakan pakar dalam bidang teknologi blockchain dan merupakan Ketua Pegawai Maklumat (Bahagian Teknologi Maklumat) di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (IIUM).