suria

Terbongkar! Eksperimen guna 99 handphone berjaya ‘perdaya’ Google Maps... dedah cara aplikasi ini berfungsi!

Simon Weckert menggunakan 99 telefon bimbit dan troli kecil dalam eksperimennya. -foto Simon Weckert

SEBELUM memulakan perjalanan, biasanya pengguna telefon bimbit akan memeriksa keadaan trafik menggunakan Google Maps untuk mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Ternyata ramai kini memanfaatkan aplikasi ini untuk menghindari jalan sesak yang dikesan dalam peta tersebut.

Tapi, siapa sangka trafik sesak di Google Maps itu sebenarnya boleh direka.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengguna Google Maps terkejut temui bangkai kapal seakan Titanic di perairan Jepun

Seorang lelaki Jerman, Simon Weckert melakukan eksperimen untuk mengetahui bagaimana Google Maps 'bekerja' menentukan jalan yang sesak.

Caranya mudah sahaja! Weckert berjalan kaki membawa 99 telefon bimbit dalam sebuah troli kecil di jalan-jalan lengang sekitar Berlin, Jerman. Semua telefon itu membuka aplikasi Google Maps.

Jalan-jalan lengang di Berlin menjadi pilihan Weckert untuk eksperimennya. -foto Simon Weckert

Weckert berjaya 'memperdaya' Google Maps dengan cara itu kerana dalam aplikasi Google Maps pada masa itu, dapat dilihat jalan-jalan yang sedang dilaluinya ditandakan dengan warna merah yang bermaksud trafik sesak.

Ke mana sahaja dia pergi, keadaan jalan di Google Maps yang dilaluinya terus menunjukkan warna merah sekali gus secara automatik menyarankan pengguna untuk mengalihkan laluan perjalanan untuk mengelak keadaan sesak yang direka oleh Weckert.

Weckert secara dasarnya 'mempermainkan' mekanisme yang digunakan Google Maps untuk menentukan situasi lalu lintas, katanya dalam emel kepada Business Insider.

Seorang wakil Google memberikan penjelasan tentang 'prank' Weckert terhadap Google Maps yang mana Google menentukan keadaan lalu lintas dengan menarik data servis lokasi dari telefon bimbit dan dengan menggunakan 'sumbangan daripada komuniti Google Maps.'

Peta menunjukkan tanda merah walaupun jalan tidak sesak. -foto Simon Weckert

Misalnya, jika terdapat banyak telefon di atas jalan dan ia menunjukkan pergerakan lambat, aplikasi itu akan menunjukkan isyarat sesak di jalan tersebut.

Di beberapa negara, Google dapat membezakan data daripada pengguna yang menggunakan motosikal dan kereta. Bagaimanapun, Google mengakui belum dapat membaca data telefon bimbit dari troli kecil.

"Kami telah melancarkan kemampuan untuk membezakan antara kereta dan motosikal di beberapa negara termasuk India, Indonesia dan Mesir, bagaimanapun belum cukup baik untuk mengesan perjalanan dengan gerabak kecil.

"Kami menghargai penggunaan Google Maps secara kreatif seperti ini kerana ia dapat membantu Google meningkatkan kemampuan aplikasi peta-petanya dengan lebih baik pada masa depan," katanya kepada Business Insider.

Google Maps, aplikasi, godam, perdaya

Artikel Lain