suria

Meracau setiap kali malam Jumaat… Mohd Fitri tak sangka disihir kawan sendiri!

Mohd Fitri memberitahu sehingga kini dia masih mendapatkan rawatan perubatan Islam bagi membuang sihir di dalam badannya.

SEUMUR hidup Mohd Fitri dia tidak pernah dimasukkan ke hospital namun tahun lalu ia menjadi sejarah apabila dia ditahan hampir seminggu selepas mengalami muntah-muntah dan demam panas berpanjangan.

Cerita Fitri, pihak doktor yang merawatnya bagaimanapun buntu dengan keadaannya itu apabila beberapa ujian dilakukan ke atasnya kembali dengan keputusan normal tanpa sebarang masalah.

"Kalau seorang doktor pun buntu apatah lagi aku yang tiada sebarang pengetahuan dalam bidang perubatan... Pelbagai ujian dilakukan, ambil darah jangan cakap tapi keadaan aku masih sama.

"Bayangkan seumur hidup aku tak pernah masuk hospital dan ditahan hampir seminggu tanpa mengetahui punca sebenar.

"Atas nasihat keluarga dan rakan mereka minta aku ikhtiar cara perubatan Islam kerana mana tahu ada sesuatu tidak kena dan dari situlah semuanya terbongkar," kata Fitri ketika ditemui mStar Online bagi berkongsi kisah dirinya menjadi mangsa sihir sahabat sendiri.

Perkelahan di sungai dedah sihir dalam badan 

Menceritakan kejadian menimpanya, Fitri berkata, seminggu sebelum dia dimasukkan ke hospital dia bersama rakan-rakannya berkelah di sebuah hutan rekreasi di utara tanah air.

Selesai bermandi-mandi kata Fitri, dia menuju ke bilik persalinan yang agak terpencil daripada kawasan orang ramai sebelum menyedari tiada orang lain di kawasan tersebut.

Mohd Fitri tidak menyangka perselisihan faham di antara rakan baiknya telah menyebabkan dirinya dianiaya.

Walaupun terdetik di hatinya perasaan seram namun dia tidak memperdulikan keadaan sekeliling dan bergegas menyalin pakaiannya yang basah.

"Aku sempat mandi nak bilas air sungai dan rasa seram tu memang ada sebab tiada orang lain dalam bilik persalinan itu.

"Takut punya pasal aku salin pakaian kering dekat pintu masuk... Dan tiba-tiba sebuah pintu tandas terbuka dengan sendirinya sebelum aku ternampak ada kelibat melintas yang seolah-olah sedang memerhatikan aku.

"Seramnya Allah sahaja yang tahu... Cepat-cepat aku salin pakaian dan keluar daripada tandas itu," ceritanya.

Asal malam Jumaat aku tiba-tiba akan meracau macam orang gila sampaikan teman serumah aku pun naik takut dengan keadaan itu.

MOHD FITRI

MANGSA SIHIR 

Namun sejak pulang kata Fitri, dia merasakan dirinya sentiasa diperhatikan malah beberapa insiden yang berlaku di rumahnya membuatkan dia berasa tidak tenteram.

"Nampak kelibat itu biasa tetapi yang buat aku rasa lain macam sebab aku akan tiba-tiba berasa benci memandang wajah sendiri di cermin sebab aku tidak lihat diri aku dalam pantulan itu.

"Asal malam Jumaat aku tiba-tiba akan meracau macam orang gila sampaikan teman serumah aku pun naik takut dengan keadaan itu.

"Demam, muntah jangan cakap... Sampai tak larat dan aku mengalah sebelum minta teman serumah bawa aku ke hospital," ujarnya.

Sahabat sendiri hantar sihir

Dalam pada itu, Fitri memberitahu sejurus dibenarkan keluar hospital dia segera mendapatkan rawatan perubatan secara Islam dan bagai dijangka ada sesuatu telah menggangunya.

Namun kata Fitri, lebih mengejutkan kejadian menimpanya ketika berkelah bukan kebetulan sebaliknya adalah perbuatan khianat seseorang terhadapnya dan ia adalah sahabatnya sendiri.

"Betapa terkejutnya aku apabila ustaz itu memberi gambaran apa yang menimpa aku dan individu yang melakukan khianat itu kerana semuanya menjurus kepada seorang sahabat baik aku.

"Aku sendiri tidak menyangka perselisihan faham kecil di antara kami sebelum ini menyebabkannya bertindak berani dan sanggup melakukan perbuatan terkutuk dan dosa besar.

"Ustaz itu malah memberitahu rakan aku itu berjaya mendapatkan gambar aku yang dibalut kepada sebuah patung serta dililit dengan kulit khinzir dan direndam dalam air daging haiwan itu... Mengucap panjang aku.

"Ketika itu juga aku tersedar sebelum ini aku pernah rasa seperti ditiup angin dan jantung berdegup tiga kali setiap malam dan aku pernah mengesyaki ada tidak kena... Apabila ustaz itu mendedahkan semuanya, segala kejadian itu nampak masuk akal," katanya sambil menjelaskan individu itu bekas rakan kongsi perniagaannya.

Apa mengejutkan kata Fitri, setelah sekian lama tidak berhubung dengan rakannya itu, individu itu tiba-tiba menghantar mesej kepadanya bertanya sama ada dirinya sedang sakit dan berharap dia kembali sihat.

"Tidak ramai mengetahui tentang apa yang terjadi malah aku dan individu itu pun sudah lama tidak bertegur sapa sejak perselisihan faham kami.

Seram... Gambar Mohd Fitri diikat pada sebuah patung Voodoo yang dililit dengan kulit khinzir. (Foto sekadar hiasan).

"Aku yang malas nak panjang-panjangkan cerita menyekat dia dari semua laman sosial termasuk nombor telefon dan tindakannya menghantar mesej itu sangat mencurigakan.

"Tetapi aku tidak balas pun kerana tidak mahu timbul lagi salah faham dan apa yang sedang berlaku pada diri aku pun aku anggap sebagai ujian Allah," katanya.

Mandi air lumpur antara pengalaman berubat

Menjalani rawatan memulihkan semangat dan membuang sihir di dalam badannya juga bukan mudah kata Fitri kerana pelbagai perkara perlu dilakukan termasuk mandi dengan menutup aurat yang dibilas dengan perahan air limau sebanyak tiga biji selama seminggu.

Dia juga diminta untuk tidak membuang kulit limau itu dan hanya boleh dibuang selepas seminggu ke dalam air sungai mengalir.

"Dalam proses rawatan itu juga, aku perlu minum madu dua sudu setiap pagi yang dicampur dengan segelas air sejurus lepas bangun tidur, ambil wuduk, baca Al Fatihah, ayat Kursi serta tiga Qul," jelasnya.

Tidak cukup dengan itu kata Fitri dia juga pernah mandi dengan air kunyit dan membiarkan ia kering sendiri selain air lumpur sebanyak enam kali dan sekali air bersih untuk tujuan samak.

Sehingga ke hari ini kata Fitri, kesan perbuatan sihir itu masih ada pada dirinya malah baru-baru ini seorang ustaz memberitahu 'sisa' masih ada dalam dirinya.

"Sihir yang dihantar itu 'kuat'... Kadang-kadang kejadian menimpa sebelum ini masih terasa tetapi aku tetap kuat semangat kerana kuasa Allah itu melebihi daripada segala-galanya," katanya mengakhiri perbualan.

Menurut ajaran Islam, melakukan sihir adalah tergolong dalam kumpulan mengekutukan atau syirik kepada Allah.

Umat Islam dilarang memohon sesuatu bukan daripada Alllah terutamanya menggunakan khidmat jin dan juga iblis yang sememangnya berusaha memecahbelahkan  manusia.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.” (Riwayat al-Bukhari)

Sihir, Mistik

Artikel Lain