suria

‘Raja Tanah’ mahukan manusia, kura-kura emas dalam legenda Tasik Biru di Sarawak

Tasik Biru di daerah Bau, menyimpan legendanya tersendiri.

TASIK Biru di daerah Bau, yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandaraya Kuching merupakan lombong emas yang terkenal di Sarawak dan mempunyai legendanya tersendiri yang mungkin ramai orang tidak tahu.

Nama asal Tasik Biru ialah Tai Parit, dalam bahasa Cina bermaksud Hakka, yang bermaksud parit besar, menyimpan emas paling cantik serta berkualiti di dunia.

Sebenarnya, ia adalah sebuah tasik buatan manusia hasil perlombongan pelombong Cina Bau, yang dikenali sebagai Tai Parit Kongsi pada awal abad ke-19.

Perlombongan di tasik tersebut kemudian diambil alih oleh Borneo Company Limited, bawah nama Tai Parit Goldmine dari tahun 1898 hingga 1921.

Tasik Biru kini menggamit pelancong untuk menikmati pemandangan tasik buatan manusia yang kebiru-biruan sambil merenung sejenak sejarah yang tersiratnya.

Sebelum penutupan Lombong Tai Parit, J.S. Geikie, salah seorang ahli geologi di Syarikat Borneo Limited menganggarkan bahawa jumlah batuan emas yang masih terdapat di bawah Tai Parit ialah sebanyak 28,000 tan iaitu 7,700 auns emas.

Penutupan Tai Parit sebagai sebuah lombong emas adalah disebabkan oleh galian lombong tersebut telah mencecah kedalaman 200 kaki ke bawah.

Insiden ini mengikut mitosnya dipercayai terjadi kononnya disebabkan ‘Raja Tanah’ memerlukan seorang manusia setiap dua tahun untuk menjadi pengawalnya.

Kedalaman ini telah menyebabkan saluran air bawah tanah pecah dan menyebabkan lombong itu ditenggelami air.

Disebabkan pengepaman air keluar dari tasik tersebut memakan perbelanjaan yang banyak, Syarikat Borneo Limited mengambil keputusan untuk menutup lombong tersebut.

Sejak bekas lombong Tasik Biru banjir pada tahun 1921, terdapat banyak kisah misteri yang timbul mengaitkan tasik tersebut.

Laporan akhbar pada tahun 1979 mengenai tragedi sebuah bas yang terjunam ke dalam Tasik Biru.

Antaranya ialah tragedi sebuah bas milik Bau Transport Company dengan penumpang seramai 67 orang terjunam ke dalam Tasik Biru pada 7 Jun 1979 sekitar pukul 12.50 tengah hari, dan telah mengorbankan 28 pelajar serta seorang guru pelatih akibat lemas.

Hanya 37 pelajar, pemandu dan konduktor terselamat.

Insiden ini mengikut mitosnya dipercayai terjadi kononnya disebabkan ‘Raja Tanah’ memerlukan seorang manusia setiap dua tahun untuk menjadi pengawalnya.

Mengikut cerita dongeng penduduk setempat, tasik ini juga dikatakan menjadi habitat kura-kura emas yang menyebabkan ia menjadi tumpuan ramai.

Dan daripada cerita mitos pula, dikatakan Tasik Biru ini dikaitkan dengan misteri kemunculan tiga raksasa sekitar tahun 1988 yang dikatakan berukuran tiga meter panjang berenang di bawah permukaan tasik mengakibatkan pemandangan cantik ini tampak suram dan menyeramkan.


Malah keindahan tasik itu membuatkan penyair Kemala atau Ahmad Kamal Abdullah mengabadikannya dalam sajak 21 baris bertajuk Tasik Biru.

Kini Tasik Biru yang memiliki kedalaman 91 meter dan meliputi keluasan kira-kira enam hektar dihidupkan semula dan dijadikan sebagai antara lokasi pelancongan di daerah Bau, dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti tandas, kedai makan, taman rekreasi dan sebagainya.

Berdasarkan pengalaman penulis ketika mengunjungi tasik tersebut, sebagaimana tasik lain, Tasik Biru juga mampu menggamit pelancong untuk singgah sebentar bagi menikmati pemandangan dan udara segar dan melihat sendiri tasik buatan manusia yang kebiru-biruan itu, sambil merenungi sejenak sejarah yang tersirat di dalamnya.

Malah, Tasik Biru turut dipromosikan melalui penganjuran Pesta Tasik Biru yang diadakan setiap tahun dengan pelbagai aktiviti termasuk lumba rakit dan perahu, bot kawalan jauh serta banyak lagi.

Walaupun tasik ini menyimpan pelbagai kisah misteri, namun langkah kerajaan negeri menaik taraf ia sebagai kawasan riadah bagi menggamit kedatangan pengunjung dapat melenyapkan kebimbangan orang ramai mengenai kejadian yang pernah berlaku di situ.

Artikel Lain