suria

Bunyi riuh macam ada pasar dalam kebun getah... Waspada lalu jalan Bahau-Palong

"HATI-hati kalau lalu di situ waktu malam. Jangan sampai ada 'benda' menumpang macam saya kena," pesan Hisham, lelaki berusia 30 tahun ketika menceritakan pengalaman misterinya melalui Jalan Gemas-Palong.

Hisham masih ingat kejadian yang menimpanya beberapa tahun lalu. Ketika itu dia menaiki motosikal ke rumah ibunya di Gemas, Negeri Sembilan. Lebih kurang pukul 10.00 malam, Hisham kemudian bergerak pulang ke rumahnya yang terletak di Felda Palong 2.

Perjalanan dari rumah ibunya untuk sampai ke rumah mengambil masa tidak sampai 40 minit. Pada waktu begitu, tidak banyak kereta di jalan raya. Laluan juga agak sunyi.

"Semasa melalui kawasan berdekatan Jabatan Perhilitan dekat dengan Kampung Londah, saya terkejut bila tiba-tiba saja ada macam kain putih terbang laju melintasi saya. Ia sepantas kilat dan ghaib begitu saja, tapi saya perasan besarnya lebih kurang macam saiz orang dewasa," cerita Hisham.

Walaupun sudah mula ketakutan, Hisham terus juga menunggang motornya sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran. Tetapi apabila dia melintasi kawasan kubur di Kampung Londah, Hisham terhidu bau wangi.

Jalan Gemas-Palong tersimpan pelbagai kisah misteri menyeramkan.

Disebabkan berasa aneh dengan bau wangi itu yang muncul entah dari mana, Hisham menoleh ke bahagian kirinya. Dia terkejut apabila melihat ada seorang wanita berpakaian serba putih berdiri tidak jauh dari tepi jalan tersebut.

"Rambut wanita berpakaian serba putih itu panjang melebihi paras pinggang. Namun, mukanya dipalingkan ke arah belakang. Jadi saya tak nampak wajahnya. Tapi kalau lihat dari penampilan, rasa macam bukan manusia," ujar Hisham.

Tak tunggu lama, Hisham terus memecut motornya. Tapi entah kenapa, tiba-tiba motornya terasa berat. Puas dipulas tombol minyak, hanya enjin yang mengaum kuat, namun motornya tetap bergerak perlahan.

"Masa tu dah terdetik dalam hati saya, ada sesuatu yang menumpang di belakang saya. Tapi, saya tak berani nak toleh ke belakang. Sebab ada beberapa buah kereta yang berselisih dengan saya memberikan lampu tinggi, bagaikan cuba memberitahu ada sesuatu.

"Saya dah menggigil juga masa tu. Tapi saya kuatkan juga semangat. Saya beranikan diri berkata, kalau betul ‘kau’ ada kat belakang aku, cepatlah turun. Jangan tumpang aku lagi. Macam tu lah ayat saya," cerita Hisham yang ketika itu cuba mengawal ketakutannya.

Rambut wanita berpakaian serba putih itu panjang melebihi paras pinggang. Namun, mukanya dipalingkan ke arah belakang. Jadi saya tak nampak wajahnya. Tapi kalau lihat dari penampilan, rasa macam bukan manusia.

HISHAM

Lebih kurang beberapa minit motosikal Hisham berat tidak dapat bergerak laju. Hanya selepas dia mendekati Felda Palong 5, barulah motosikalnya yang bergerak perlahan jadi laju semula.

Seolah-olah tiada lagi beban yang memberatkan di bahagian belakang. Sampai saja di rumah, Hisham terus tidur berselubung dengan selimut. Badannya masih menggigil ketakutan.

Kalau diikutkan, jalan itu memang sudah biasa Hisham lalui. Cuma, itu kali pertama dia berdepan pengalaman yang menyeramkannya.

Sebelum ini pun, memang sering kedengaran kisah-kisah misteri di situ. Sudah ramai yang terserempak dengan kelibat wanita misteri berjalan kaki seorang diri pada lewat malam. Apabila ditoleh, wanita itu ghaib tiba-tiba.

Ada juga yang menceritakan semasa lalu di situ waktu malam, mereka nampak ada seperti pasar dengan bunyi riuh rendah di dalam kawasan ladang getah. Tapi apabila ditoleh semula, suasana pasar itu lenyap dan keadaan kembali gelap gelita.

Dikatakan kawasan itu zaman dahulu merupakan kubu tentera Jepun. Malah, banyak senjata lama pernah ditemui sewaktu kawasan itu diteroka.

Gambar fail menunjukkan kenderaan pacuan empat roda bertembung dengan sebuah lori tangki sebelum terbakar di Kilometer 37, Jalan Keratong-Bahau berdekatan Palong. Dalam kejadian itu empat mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda maut.

"Berhati-hati bila lalu di situ waktu malam. Macam saya yang selalu lalu di situ, bila terkena pun naik takut juga ada ‘benda’ yang menumpang.

"Nasib baik tak jadi apa-apa. Tapi demam dua hari jugalah saya. Lepas kejadian tu, saya sebolehnya elakkan lalu di situ waktu lewat malam," pesan Hisham.

Dalam pada itu keadaan jalan raya yang menjadi laluan ke Kuantan, Pahang itu agak sempit dan tidak rata.

Ia menjadi bertambah sukar apabila lori yang membawa muatan berat bergerak perlahan menyebabkan kenderaan lain berlumba-lumba untuk memotong yang seterusnya terdedah kepada kemalangan.

Selain itu, haiwan peliharaan seperi lembu dan biatang liar juga sering melintas jalan pada waktu malan di laluan berkenaan.

Apa-apa pun, sebagai manusia terutama orang Islam yang beriman kepada Allah, kita jangan mudah takut atau terpedaya dengan permainan jin dan syaitan ini yang kerjanya mahu menyesatkan manusia.

Sebagai orang Islam, banyak amalan yang diajar di dalam al-Quran untuk mengelak gangguan makhluk jahat ini. Berdoa dan memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam adalah sebaik-baik amalan sebelum memulakan sesuatu perjalanan.

Bagaimanapun, kita juga amat disarankan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu supaya tidak ada kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel Lain