suria

Waris dah pesan pulangkan semula barang di makam Daeng Parani... Suami isteri ingkar akhirnya terima padah

Makam Daeng Parani yang terletak di Kampung Ekor Lubuk, Mukim Sidam Kiri, Sungai Petani, Kedah.

TINDAKAN dangkal sepasang suami-isteri yang mengambil serpihan kayu dari sebuah kubur dipercayai milik seorang wanita dikenali sebagai Daeng Parani yang terletak di Kampung Ekor, Sidam Kiri Sungai Petani, Kedah membawa padah!

Mengimbau kisah tersebut, penduduk kampung, Roshazliza Abdul Razak memberitahu pasangan itu datang ke kubur berkenaan dari Selangor pada 2006 kononnya mendapat mimpi harus menyimpan tanda makam yang terpacak di situ.

Lalu tanpa berfikir tentang kesan perbuatan mereka, tanda makam yang berupa serpihan kayu lama itu diambil tanpa kebenaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejadian pelik, bunyi bising dalam rumah... Wanita terkejut dapat kepala patung dalam bungkusan hadiah percuma

ARTIKEL BERKAITAN : Suara minta tolong di Bukit Putus, 2 beradik berhenti kereta muncul kelibat wanita rentung

"Macam-macam benda khurafat orang buat di sini. Ada yang datang memuja, tuntut ilmu malah ada yang nak cari harta karun! Pendek kata pelbagai benda pelik orang buat," ceritanya yang lebih mesra disapa sebagai Liza.

Bercerita lanjut mengenai pasangan tersebut, Liza memberitahu dia sudah puas memujuk agar mereka kembalikan semula tanda makam itu namun mereka enggan, sebaliknya meminta sejumlah wang jika mahu mereka berbuat demikian.

Keadaan asal Makam Daeng Parani sebelum dibaik pulih.

Rumah bergoncang, mimpi menakutkan selepas ambil barang di kubur

Namun kata Liza, dua minggu kemudian, dia terkejut apabila pasangan suami-isteri itu kembali semula ke kubur berkenaan dan memulangkan tanda makam itu.

Ia berikutan mereka tidak tahan diganggu hampir setiap malam termasuk rumah mereka bergegar bagai digoncang sesuatu selain mengalami mimpi menakutkan meminta mereka mengembalikan semula tanda makam tersebut.

Malah kata Liza, ada yang pernah cuba mengambil batu di kubur itu turut mengalami perkara sama sehingga akhirnya mereka kembali semula memulangkan barang yang diambil.

"Pernah ada satu keluarga datang ke kubur itu. Mereka nak selak kain yang membalut batu tanda makam tetapi gagal. Sebaliknya kain itu jadi keras seperti batu.

"Mereka datang jumpa saya dan ahli keluarga lain minta bantuan... Tapi apabila sampai di situ, elok sahaja kami buka kain tersebut. Pelik juga sebab mereka kata masa mereka pegang, kain itu keras.

"Bila saya tanya kenapa hendak selain kain itu, mereka beritahu mahu membaca tulisan pada batu tersebut... Tidak pasti sama ada benar atau mereka ada niat lain," ceritanya.

Ada percaya batu serta serpihan kayu di kubur itu boleh dijadikan ubat atau pun azimat walaupun pada akhirnya ramai datang pulangkan kembali apa mereka ambil

ROSHAZLIZA ABDUL RAZAK

WARIS DAENG PARANI

Datang bawa colok, setanggi, keris!

Liza memberitahu dia tidak kisah sekiranya jika waris Daeng Parani atau orang ramai yang ingin menziarah namun kebanyakan daripada mereka hadir dengan niat tidak baik.

Katanya, ada yang datang membawa pelbagai barangan seperti colok, setanggi, botol-botol kecil, keris serta selempang bagi tujuan khurafat.

"Bukan itu sahaja, tindakan mereka itu turut mengotorkan kawasan sekitar malah ada yang sanggup tidur di kubur itu kononnya bagi tujuan 'menurun'.

"Itu belum lagi mereka yang percaya batu serta serpihan kayu di kubur itu boleh dijadikan ubat atau pun azimat walaupun pada akhirnya ramai datang pulangkan kembali apa mereka ambil," jelasnya.

Bagi mengelakkan kejadian itu berterusan, Liza yang juga waris Daeng Parani mengambil inisiatif menjaga makam tersebut agar tiada lagi individu yang datang melakukan amalan khurafat serta aktiviti pemujaan kerana ia berdosa besar di sisi agama Islam.

Usaha itu juga turut mendapat perhatian Persatuan Sejarah Negeri Kedah dan telah dibaik pulih.

Tanda kayu asal makam Daeng Parani yang pernah diambil tanpa kebenaran dan kini berada dalam simpanan Liza sekeluarga.

"Sejak kawasan kubur itu dibaik pulih, kami terima banyak kunjungan orang ramai termasuk dari luar negara yang ingin mengetahui mengenai kisah Daeng Parani.

"Saya juga gembira kerana saya dapat bertemu semula susur galur waris Daeng Parani daripada pelbagai tempat malah kesemua waris ini mendapat satu 'petanda' sama bahawa inilah tempat pahlawan Bugis disemadikan," katanya yang juga Setiausaha Persatuan Warisan Keturunan Daeng Parani.

Siapa Daeng Parani?

Daeng Parani merupakan saudara tertua daripada lima pahlawan adik-beradik keturunan Bugis yang berasal daripada golongan raja di kepulauan Riau, Indonesia.

Beliau bersama saudaranya yang lain iaitu Daeng Menambun, Daeng Marewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi banyak terlibat dalam sejarah kancah politik istana di Tanah Melayu, terutama di Johor, Linggi, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah sekitar tahun 17 Masihi.

Dalam catatan sejarah ada disebut, Daeng Parani dan saudara-saudaranya turut dijemput Sultan Kedah untuk membantunya dalam perang perebutan takhta.

Daeng Perani berjaya dalam perang pertama mengalahkan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kechil) namun kalah dalam pertempuran kali kedua apabila Daeng Parani tewas dibedil meriam dan meninggal dunia.

Daeng Parani, Makam, Mistik, Kubur

Artikel Lain