PENGALAMAN tinggal di asrama memberi pelbagai memori berharga termasuklah kisah-kisah pelik dan seram yang sering dikaitkan dengan asrama. Ramai orang kata, kalau tinggal di asrama, kejadian histeria selalu berlaku. Itu belum lagi terdengar bunyi perkara pelik di bilik kosong ketika banyak pelajar balik kampung. Ia seolah-olah sudah menjadi satu perkara biasa untuk berhadapan dengan situasi seram di asrama sehingga timbul pelbagai kisah dan kejadian yang boleh dikatakan pelik tetapi benar. ARTIKEL BERKAITAN: Waris dah pesan pulangkan semula barang di makam Daeng Parani... Suami isteri ingkar akhirnya terima padah Itu juga yang terjadi kepada Muhammad Fitri. Kejadian menimpanya masih mampu membuatkan bulu roma meremang setiap kali terkenangkan kejadian misteri di asrama. Fitri memberitahu, kisah seram mula menyelubungi dirinya apabila dia bertukar ke sebuah sekolah di sebuah kawasan luar bandar di Kedah. Pada awalnya kata Fitri semuanya berjalan seperti biasa malah dia beruntung kerana mendapat rakan-rakan seasrama yang 'sekepala'. Katil diikat loceng, bunyi kanak-kanak berlari di koridor Imbau Fitri, kisah seram menimpa dirinya bermula apabila rakan-rakan sebiliknya meminta dia berpindah katil meskipun warden asrama telah menetapkan dia menggunakan katil di bahagian bawah. Enggan membantah arahan diberikan, Fitri terus memindahkan barangnya ke katil bahagian atas dan sempat bertanya sebab dia tidak boleh menggunakan katil itu. Tinggal di asrama pengalaman menyeronokkan dan boleh juga bertukar menyeramkan. - Gambar sekadar hiasan "Dalam kepala saya ketika itu dah ada macam-macam persoalan tapi kerana tidak mahu bersoal balas dengan rakan sebilik, saya turutkan sahaja," ceritanya. Bulu romanya terus menegak apabila salah seorang penghuni dorm iaitu Am memberitahu katil itu mengeluarkan bunyi bising memandangkan terdapat loceng yang diikat pada tiang katil. Katanya lagi, warden asrama yang mengikat loceng itu dengan alasan untuk memberitahu bila mereka seharusnya perlu masuk tidur. "Saya mula berasa pelik... Bagaimana warden akan membunyikan loceng itu? Tapi saya cuba buat tak tahu sahaja dan menganggap mereka cuba kenakan saya," katanya. Sangkaan Fitri meleset apabila pada hari sama selepas solat Maghrib dia mula menerima gangguan selepas enggan mengikut rakan-rakanya ke dewan makan selepas pulang dari surau kerana ingin menukar kain pelikat dipakainya. Sebaik sahaja sampai ke bilik, Fitri memberitahu dia terdengar bunyi tapak kaki kanak-kanak sedang berlari di luar koridor namun sangkanya ia anak kepada warden. "Dalam saya cuba positifkan diri tiba-tiba ada satu bau sangat pelik dan saya tertanya-tanya dari mana datangnya bau tersebut? "Lepas tukar seluar saya terus keluar dari lari ke dewan makan sebelum rakan-rakan lain menegur wajah saya nampak pucat. Saya terus menceritakan apa yang berlaku kepada mereka," katanya. Jarum lama yang disimpan Fitri seolah-olah menjaganya. - Gambar sekadar hiasan Baik kelakuan maka baiklah segalanya... Reaksi rakan-rakanya kata Fitri terus berubah dan salah seorang daripada mereka iaitu Syafiq tiba-tiba mengatakan "dia dah tahu ada orang baru!" dan meminta kami semua untuk tidur berlonggok di atas lantai pada malam itu. Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, Fitri memberi cadangan agar memaklumkan perkara itu kepada warden namun mereka memberitahu ia perkara sia-sia dan hanya menitipkan pesan berbunyi 'baik kelakuan maka baiklah segalanya'. "Bukan sahaja mereka, saya sendiri pun tak faham dengan pesanan warden itu. Tapi malam itu memang kami tidur beramai-ramai dan Syafiq meminta saya tidur di tengah-tengah. "Buat saya bertambah seram apabila Syafiq turut menghulurkan buku surah Yasin dan meminta saya membaca apa sahaja surah yang saya hafal dan faham maksudnya," katanya. Ketika itu katanya, jam sudah menunjukkan pukul 12.40 tengah malam namun loceng itu masih belum mengeluarkan bunyi dan pertanyaannya mengenai loceng itu tidak dijawab rakan-rakannya. Fitri pernah terdengar kanak-kanak berlari di koridor semasa seorang diri dalam dorm. - Gambar sekadar hiasan Monyet berbulu hitam 'awasi' pelajar Sebaliknya, Am menutup semua tingkap di dalam bilik mereka kecuali yang terletak di katilnya dibiarkan terbuka namun loceng yang berikat di katil itu masih belum mengeluarkan bunyi. Pelik dengan situasi itu kata Fitri, Am bertanya kepadanya sama ada dia ada membawa barang 'berat' seperti yang boleh menjaga dan melindunginya. "Saya rasa tak pula bawa apa-apa barang kecuali sebatang jarum lama pemberian nenek yang disimpan dalam kotak pensel. Am mula berasa sesuatu tak kena. "Dalam mereka membuat andaian mengenai jarum itu, tiba-tiba loceng berkenaan berbunyi nyaring dan Am meminta saya pejamkan mata sekiranya ternampak sebarang kelibat. "Kami semua terus baring dan saya menghadap ke kiri, saya rasa seperti ada sesuatu yang merenung kami... bila saya melihat hujung penjuru dorm seperti ada bayang-bayang seekor monyet berbulu hitam, tangan monyet itu sangat panjang. Saya terus pejam mata. Sumpah ia memang menakutkan! "Pertama kali saya lalui perkara ini, saya tertidur macam itu sahaja. Apbila pagi, semua buat macam biasa seperti tiada apa-apa berlaku. Saya tetap tanya pada Am, benda yang saya nampak semalam dan terkejut dengan jawapan diberikan," katanya. Am memberitahu 'benda' dilihat itulah yang dilepas oleh warden untuk mengawasi pelajar di asrama. Bayangan makhluk yang menganggu mereka. - Gambar sekadar hiasan Cubaan halau makhluk tidak berjaya, warden minta tukar sekolah Dalam keadaan tidak sihat selepas pengalaman ngeri itu, Fitri memberitahu rakan-rakannya bimbang akan dirinya dan bertanya sama ada dia berada dalam keadaan baik. Ini kerana kata Fitri, sebelum ini belum pernah berlaku makhluk itu memunculkan diri tapi apa yang berlaku pada malam itu agak pelik apabila ia seperti mencari sesuatu. "Syafiq beritahu cubaan halau 'benda' itu tidak pernah berjaya kerana akan ada sahaja halangan. Lebih menyeramkan ia seperti tahu niat kita untuk menghalaunya... mungkin ini tempat asal dia," ceritanya. Tidak mahu menunggu lama, Fitri segera menelefon bapanya dan menceritakan semua kejadian itu dan bapa berjanji akan datang ke sekolah bersama seorang rakannya untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. "Tapi belum sempat ayah saya datang, warden memanggil saya dan minta saya berpindah keluar dari asrama atau bertukar sekolah dan tidak memberikan alasan mengapa saya perlu berbuat demikian. "Sehingga ke hari ini saya masih tertanya-tanya mengapa dia berasa seperti saya seolah-olah 'halangan' di asrama. Walaupun perstiwa itu telah lama berlaku ia masih segar dalam ingatan," ujarnya.