suria

Mak jerit “Ya Allah ling…” Bapa kata jangan tegur, dia pun nampak benda sama di Bukit Putus

Aus mendedahkan ibunya ternampak kelibat tanpa kepala sewaktu melalui Bukit Putus pada tengah malam.

SEBUT sahaja Bukit Putus pasti ramai pengguna jalan raya yang pernah menggunakan laluan tersebut mengetahui kisah-kisah misteri di sebalik jalan utama dari Seremban menuju Kuala Pilah itu.

Pelbagai cerita yang dialami menjadi buah mulut pengguna jalan raya yang pernah mengalami sendiri gangguan pelik sewaktu melalui jalan tersebut.

Tidak ketinggalan seorang pemuda turut berkongsi kisah menyeramkan sewaktu pulang ke kampungnya di Batu Kikir, Kuala Pilah bersama keluarganya beberapa tahun lalu melalui Twitternya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suara minta tolong di Bukit Putus, 2 beradik berhenti kereta muncul kelibat wanita rentung

ARTIKEL BERKAITAN: Pondok buruk jadi gerai sate waktu malam... Ramai orang dah terkena! Jangan berhenti jika lalu jalan Pasir Mas-Salor

Perkongsian Muhammad Firdaus mengenai pengalamannya itu mendapat lebih 16,000 ulang kicau dan 25,100 tanda suka.

Menurut pemuda berusia 20 tahun itu, ibunya ternampak kelibat badan tanpa kepala melintas di hadapan kereta mereka ketika melalui Bukit Putus pada tengah malam, kira-kira 14 tahun lalu.

Pelbagai versi mengenai kisah misteri Bukit Putus dikongsi netizen di media sosial.

"Masa kejadian saya berumur enam tahun. Nak dijadikan cerita arwah ayah saya jenis ikut mood dia je kalau nak balik kampung.

"Jadi tengah malam tu arwah baru balik kerja, tiba-tiba dia cakap jom balik kampung sebab musim durian.

"Saya macam biasa masih kanak-kanak tidurlah awal. Saya pun tidur kat belakang.

"Tiba-tiba mak saya nampak badan orang tak ada kepala, tak ada kaki tak ada tangan melintas depan kereta," katanya kepada mStar.

Sebaik melihat entiti tanpa kepala itu, Muhammad Firdaus atau lebih mesra disapa Aus berkata ibunya terkejut lalu menjerit kuat.

"Saya tak ingat selekoh mana tiba-tiba mak terkejut dan menjerit kuat. Mak gelabah sebab nampak benda tu. Sampai saya kat belakang yang tengah tidur pun terbangun.

Reaksi netizen pada posting Aus.

"Mak jerit Ya Allah ling (darling). Lepas tu arwah ayah cakap jangan tegur dan dia teruskan saja memandu. Rupa-rupanya arwah ayah pun nampak juga benda sama tengah malam tu," katanya.

Namun Aus berkata arwah ayahnya kelihatan tenang semasa ternampak kelibat tersebut.

"Arwah ayah chill je waktu tu. Sebenarnya dia pemandu pelancong. Drive pukul dua tiga pagi memang dah expert sebelum saya lahir lagi.

Saya tak ingat selekoh mana tiba-tiba mak terkejut dan menjerit kuat. Mak gelabah sebab nampak benda tu. Sampai saya kat belakang yang tengah tidur pun terbangun.

MUHAMMAD FIRDAUS

"Jadi dia dah selalu nampak benda tu sebenarnya.  Itulah sebabnya dia cakap kat mak jangan tegur," katanya.

Malah Aus berkata dia pernah berasa tidak sedap hati semasa melalui laluan misteri itu bersama rakan sekolah menengah suatu ketika dulu.

"Bila lalu je kawasan tu memang seram. Saya pernah sekali mengada-ngada nak try lalu Bukit Putus memang badan rasa seram sejuk.

Laluan Bukit Putus mempunyai beberapa selekoh berbahaya.

"Masa tu saya ikut member satu sekolah balik ke Kampung Jeram Tengkek. Bagi saya laluan tu kurang selamat sikit sekarang sebab jalan tak OK dan ranting bersepah-sepah," katanya.

Dalam pada itu, seorang gadis turut mendedahkan dia trauma untuk menggunakan laluan tersebut selepas terlihat kelibat beberapa individu mengusung keranda pada tengah malam di Bukit Putus.

Jelas Shera dia pelik kerana tiada kampung berdekatan di laluan tersebut.

"Ini kisah benar. Jalan itu tidak mempunyai kawasan kampung berdekatan. Saya pelik apabila terlihat beberapa individu mengusung keranda pada tengah malam," katanya.

Bagaimanapun hari ini laluan di Bukit Putus dimudahkan dengan adanya lebuh raya baharu yang dibina bagi mengelak berlakunya kesesakan lalu lintas.

Kita boleh mengambil pengajaran daripada kejadian di atas namun harus mempercayai bahawa tiada kuasa yang boleh menandingi kehebatan Allah.

Bukit Putus, misteri, entiti

Artikel Lain