suria

Bapa pasang perangkap nak intai duit selalu lesap... Esoknya dapat tahu makhluk ini punya angkara

Inilah makhluk dipercayai dipelihara bagi tujuan mencuri - Gambar Sekadar Hiasan

MISTERI kewujudan toyol terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu bukan perkara asing malah segelintirnya percaya ia merupakan sejenis makhluk halus jelmaan jin.

Kebiasaannya, kita sering terdengar kisah toyol dipelihara bagi tujuan mencuri kerana ia dikatakan mampu menyelinap ke ruang kecil dan menjejak wang meskipun barang berharga disorok di tempat tersembunyi.

Kelincahan makhluk itu dikatakan kerana ia menyerupai kanak-kanak kecil menjadikan ia senang masuk ke ruang kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengetua madrasah terkejut tumbung kelapa dari Gunung Jerai membesar umpama orang pakai tengkolok

Itu juga yang terjadi kepada bapa seorang wanita bernama Syaira Azmi apabila wang milik bapanya itu sering hilang sehingga menyebabkan mereka sekeluarga buntu dengan kejadian itu.

Toyol gemar mencuri wang. - Gambar Sekadar Hiasan

Imbau Syaira, 31, kejadian aneh itu berlaku ketika mereka sekeluarga menetap di sebuah kuarters di ibu negara dan kejadian itu berterusan selama bertahun lamanya!

"Setiap kali hilang pasti dalam jumlah yang agak banyak. Saya masih ingat, kejadian pertama berlaku ketika saya berusia 17 tahun pada 2006 dan ia berterusan selama bertahun-tahun.

"Masa di awal kejadian, abah ingat ada di antara kami adik-beradik yang curi duit dia tapi apabila ia kembali berlaku berulang kali, abah mula rasa ada sesuatu tidak kena," katanya kepada mStar.

Mula mengesyaki sesuatu tidak kena, Syaira memberitahu bapanya cuba memasang perangkap dengan menyimpan sejumlah wang dalam bekas dan diletakkan di atas rak bersebelahan katil.

Namun kata Syaira, bapanya tidak tidur di atas katil sebaliknya baring di bahagian bawah kerana sekiranya ada 'benda' atau pencuri yang menyelinap masuk, mereka perlu melintasnya terlebih dahulu sebelum ke bahagian rak.

"Peliknya, walaupun cuba pasang perangkap, esoknya abah dapati wang yang disorok dalam bekas itu tetap lesap! Kami sangka ada pencuri tapi nampaknya bukan dan ia tentu sekali kerja toyol," katanya.

Ketika itu memang trauma sebab sudah berpindah pun ibu saya masih menerima pelbagai gangguan menakutkan. Apa yang terjadi di rumah lama, ia macam ikut kami ke tempat baru.

SYAIRA AZMI

Jiran pun jadi mangsa, ibu pula diganggu

Dalam pada itu, Syaira berkata, perbualan dengan jiran tetangga mengenai kejadian menimpa keluarganya mendedahkan ramai turut mengalami peristiwa serupa.

Meskipun pelbagai cara dilakukan, ia tetap berlaku sehingga membuatkan ramai berhati-hati menyimpan wang di dalam rumah.

Tidak cukup dengan itu kata Syaira, ibunya sering mengalami kejadian pelik termasuk ternampak kelibat melintas terutamanya apabila berada seorang diri di rumah.

"Tidak cukup duit kerap hilang, ibu saya pula sering menerima gangguan seperti terdengar ada orang berjalan serta ternampak kelibat melintas.

"Alhamdulillah saya tidak pernah diganggu tetapi adik-adik saya yang lain juga pernah diganggu sehinggalah kami berpindah ke rumah lain beberapa tahun kemudian," katanya.

Bagaimanapun kata Syaira, dia tidak pasti sama ada gangguan itu disebabkan rumah berkenaan atau pun perbuatan khianat seseorang kerana sejak berpindah ibunya masih diganggu.

"Ketika itu memang trauma sebab sudah berpindah pun ibu saya masih menerima pelbagai gangguan menakutkan. Apa yang terjadi di rumah lama, ia macam ikut kami ke tempat baru.

"Tapi yang peliknya ibu sahaja yang diganggu dan kami adik-beradik tidak pula nampak kelibat atau diganggu seperti dilalui ibu," katanya.

Tidak mahu terus dibelenggu kejadian pelik, Syaira memberitahu ibunya pernah mendapatkan rawatan perubatan Islam dan ustaz yang merawatnya memberitahu perkara mistik dialaminya adalah perbuatan individu dikenali.

"Bagaimanapun ustaz berkenaan tidak mendedahkan ia perbuatan siapa dan Alhamdulillah tiada ganguan selepas itu," ujarnya.

Namun, syukurlah berkat kesabaran dan banyak berdoa kepada Allah, penyakitmnya itu semubuh dan mereka tidak lagi diganggu dengan kejadian menakutkan.

Toyol, Misteri, Mistik

Artikel Lain