HAMPIR empat bulan merancang untuk berkumpul bersama-sama, akhirnya lapan orang gadis bujang ini bertemu dan bersua muka. Memandangkan masing-masing sudah bekerjaya dan tinggal berjauhan, Mira Afifah Naim menjadi ‘kepala’ untuk memastikan hubungan rapat bersama tujuh orang lagi teman baiknya tidak terputus. Dia mula menghubungi rakan-rakannya yang tinggal di Kedah, Kelantan dan Kuala Lumpur datang ke rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa pasang perangkap nak intai duit selalu lesap... Esoknya dapat tahu makhluk ini punya angkara Menurut Mira, semua mereka mula rapat ketika belajar di sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Selangor lima tahun dulu. “Selepas menamatkan pengajian dan masing-masing sudah bekerja, hubungan kami agak renggang dan hanya WhatsApp jadi penghubung. “Jadi April tahun lalu saya ‘memaksa’ kawan-kawan ni ambil cuti dan datang ke rumah saya sebelum kami merancang untuk bercuti ke Port Dickson (PD). Port Dickson mempunyai pemandangan yang menarik, sesuai untuk bercuti. “Selepas semuanya berkumpul, kami mula bergerak ke Port Dickson lebih kurang pukul 5 petang. “Memandangkan hari tu hari Jumaat, kami agak sukar untuk mencari penginapan atau apartmen yang ‘available’. Memang silap saya kerana tidak menempah awal-awal,” kongsinya kepada mStar. Selepas hampir sejam mencari bilik penginapan, akhirnya mereka dapat sebuah apartmen yang agak jauh dari pekan PD. “Perjalanan untuk ke tempat penginapan kami itu lebih kurang 20 minit. Memandangkan semuanya sudah penat, kami terus bersetuju bermalam di apartmen yang menyediakan tiga bilik itu. Hari semakin gelap. Kami bergerak menggunakan dua buah kereta. Saya terjaga dari tidur kerana dapat rasa kerusi panjang itu seperti digoyang-goyang. MIRA AFIFAH NAIM MANGSA “Walaupun ketika itu jam baru menunjukkan pukul 8.30 malam, laluan ke apartmen itu agak gelap dan hanya terdapat dua atau tiga sahaja lampu jalan. “Saya memandu salah sebuah kereta, manakala sebuah lagi jauh ketinggalan di belakang,” jelasnya yang berusia 28 tahun. Bermula episod seram Jelas Mira, sepanjang perjalanan pendek itu, hatinya mula berdebar-debar. “Kalau nak ikut 20 minit perjalanan tidaklah terlalu jauh. Tetapi saya rasakan perjalanan ke apartmen sewa itu agak panjang. Ketika sedang leka memandu dan berborak, saya ternampak sebuah kenderaan lain di sebelah kereta kami. “Ketika itu saya tak ambil ‘port’ sangat. Rupa-rupanya kawan saya cakap dia nampak kereta itu tidak ada pemandu. Ya, Allah ketika itu saya mengucap panjang dan teruskan perjalanan. “Sebaik sahaja sampai di apartmen yang enam tingkat itu, kawasannya agak sunyi dan suram. Bangunannya juga agak gelap. Dalam hati saya, mungkin tak ramai penyewa atau mereka semua keluar ke pekan PD. “Kami terus mengangkat beg dan barang-barang naik ke tingkat tiga. Keadaan apartmen sangat bersih, selesa dan turut terdapat dapur memasak. “Sebaik sahaja semuanya tiba dan sudah berkumpul, kami terus memasak untuk makan malam. Ketika itu tidak ada seorang pun yang bercerita mengenai kereta tanpa pemandu yang dilihat ketika kami dalam perjalanan masuk ke apartmen itu,” ujarnya. Kawasan apartmen yang menyeramkan. Kerusi goyang Jelas Mira, selepas kenyang dan penat berborak mengenai perkembangan diri masing-masing, dia mula minta diri untuk tidur sekejap. “Masa tu baru pukul 11 malam. Kawan-kawan saya semua rancak berborak dan bergosip. Saya cakap kat mereka nak lelap kejap di atas kerusi panjang yang memang ada di hadapan pintu masuk. Manakala mereka semua terus lepak sambil menonton. “Saya terlelap seketika dan ketika itu rasa kerusi seperti digoyang-goyang. Saya terus terbangun dan terkejut dan melihat tingkap mengadap saya itu terbuka sambil kedengaran bunyi bising seperti burung nyaring berkeciapan. “Saya terus bangun dan menuju ke ruang tamu. Kawan-kawan semua terkejut tengok muka pucat saya. “Saya terus cerita dan mereka terdiam. Rupa-rupanya dalam masa sama mereka juga turut terkena usikan ‘nakal’ di ruang tamu itu. Persekitran apartmen yang sunyi tanpa pengunjung. - Gambar hiasan. “Kawan saya Ninie memberitahu dia ternampak wanita rambut panjang merenung saya sedang tidur. Jadi mereka semua takut untuk bergerak. “Kami semua terdiam dan mengambil keputusan masuk bilik dan tidur. Malangnya kami semua tak dapat tidur kerana bunyi bising di luar apartmen. Bukan itu sahaja, turut kedengaran seperti ada orang mengalih perabut di ruang tamu. “Peliknya lampu terpadam sendiri, padahal kami membuka semua lampu di luar dan bilik. Masing-masing dah takut dan menggigil dalam bilik,” tambahnya yang masih teringat kejadian seram itu. Keluar apartmen Pukul 3 pagi Mira dan kawan-kawannya sepakat untuk meninggalkan apartmen itu kerana bimbang dengan kejadian menimpa. “Kami tak cakap banyak. Masing-masing kemaskan barang dan terus keluar. Kami tak pandang ke belakang dah. Terus hidupkan enjin kereta dan keluar dari kawasan apartmen tu. “Memang kawasan sunyi sepi sangat dan hanya kereta kami sahaja di situ. Dalam perjalanan keluar dari situ hati tak pernah berhenti membaca ayat-ayat suci Al-Quran, ada juga kawan yang menangis kerana takut. “Ingatkan perjalanan kami itu lancar, malangnya kami sesat berpusing-pusing di kawasan sama. Akhir sekali kami berhenti, berkumpul dan baca ayat Qursi dengan kuat. “Selepas masuk kereta cuba keluar dari kawasan apartmen dan Alhamdullilah selamat meninggalkan kawasan itu dan tiba di pekan PD lebih kurang pukul 5 pagi. Jadi kami lepak sekejap di sebuah kedai makan yang buka 24 jam. Mira diganggu ketika melelapkan mata di atas sofa. Gambar hiasan. “Ada beberapa pelanggan di situ menanyakan kami dari mana. Jadi kami pun ceritalah apa yang jadi. Rupa-rupanya mereka yang tinggal di situ memang maklum bahawa apartmen tu memang berhantu. “Cuma pihak pengurusan yang tidak mahu tutup walapun tidak ada pelanggan yang datang. “Memang seram sangat. Selepas menunggu sehingga pagi untuk mencari hotel berdekatan dengan kawasan pekan,” ujarnya. Tambah Mira sejak pengalaman seram itu menyebabkan dia akan lebih berhati-hati lagi jika mahu melakukan percutian bersama rakan-rakan. “Sudah tentu kali ini saya akan lebih berhati-hati dan menempah penginapan lebih awal,” ujarnya.