suria

Guru tuisyen terpaksa lalu Highland Towers demi rezeki halal... Rasa seram beri petanda buruk munculnya lembaga berbalut putih

Cikgu Asraf terkejut apabila ada kelibat mengikutnya pulang ke rumah selepas melalui Highland Towers.

SUDAH 27 tahun tragedi runtuhan kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor berlalu namun pelbagai kisah seram mengenainya sering diperkatakan.

Bukan hanya ia tragedi runtuhan pertama dan terburuk di Malaysia dicatatkan malah kisah-kisah misitk penampakan makhluk, dan terdengar suara meminta tolong dikatakan berlaku di kawasan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap kali terima tempahan buat kuih, ibu mimpi dibelit ular, 'Kecik' mati jadi mangsa

Ada juga yang mendakwa kononnya melihat kelibat, suara wanita menangis dan tidak kurang tempat itu dijadikan sarang penagih dadah.

Seperti diceritakan seorang guru dikenali Cikgu Asraf, dia sendiri pernah mengalami kejadian pelik setiap kali melalui di kawasan tersebut malah dia pernah terlihat lembaga muncul di hadapannya.

"Sebelum ini saya sering ke daerah Ulu Klang setiap minggu pada waktu malam memandangkan saya mengajar tuisyen secara peribadi di rumah pelajar.



Highland Towers terbiar dan tidak berpenghuni.

"Memandangkan SPM sudah tidak lama lagi saya memenuhi permintaan ibu kepada pelajar saya untuk pergi ke rumahnya. Biasanya setiap kali ke sana, tiada sebarang masalah memandangkan pukul 8 malam kenderaan masih sesak di lebuh raya MRR2.

"Tapi setiap kali lalu di kawasan Highlands Towers untuk ke rumah pelajar pasti meremang bulu roma sambil terkenangkan kejadian yang cukup menyayat hati itu," katanya.

Sehinggalah pada suatu malam kata Cikgu Asraf, ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai mengajar, seperti biasa dia akan melalui tapak kondominium tersebut namun perasaannya bukan sahaja takut tetapi sedih dan berasa tidak sedap hati.

Enggan memikirkan perasaan bercampur baur itu, Cikgu Asraf memberitahu dia meneruskan perjalanan seperti biasa pulang ke rumahnya di Kajang sebelum berlaku kejadian yang tidak dapat dilupakannya.

Ketika keluar daripada kenderaannya yang diparkir di luar rumah, Cikgu Asraf memberitahu tiba-tiba terlihat satu lembaga yang berbalut kain putih dan berlumuran darah seperti pocong.

"Biasanya sampai ke rumah saya akan berehat seketika dalam kereta kerana saya teringat pesan ustaz, sebelum masuk rumah bila balik lewat malam, jangan terus masuk rumah.

"Sebaik-baiknya duduk di luar dalam beberapa minit, baca ayat Kursi dan tiga Qul kemudian masuk rumah tanggalkan pakaian dan terus mandi.

Setiap kali lalu di Highlands Towers untuk ke rumah pelajar pasti meremang bulu roma.

CIKGU ASRAF

"Tapi tak sangka pula dalam saya rasa tak sedap hati, rupa-rupanya ada 'benda' ikut saya balik," katanya.

Terkejut dengan apa dilihat, Cikgu Asraf memberitahu lidahnya seperti menjadi kelu sehingga tidak dapat meluahkan apa berlaku kepada ahli keluarganya.

Bagi mendapatkan kembali semangatnya, selesai mandi, dia terus solat dan membaca al-Quran bagi melindungi diri dan ahli keluarga daripada sebarang kejadian tidak diingini.

"Esoknya badan saya masih rasa tak sedap seperti hendak demam tetapi saya kuatkan hati bercerita kepada bapa mertua. Dia berpesan agar setiap kali keluar malam banyakkan ingat Allah dan jadikan solat berjemaah dan al-Quran sebagai pelindung diri.

"Sejak hari itu, dan setiap kali lalu di hadapan blok Highland Towers saya akan beringat dan berdoa supaya tiada yang ikut saya pulang ke rumah. Walaupun perasaan takut itu ada tapi demi rezeki yang halal dan demi mendidik anak bangsa, saya gagahkan juga," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain