suria

Setiap kali terima tempahan buat kuih, ibu mimpi dibelit ular, 'Kecik' mati jadi mangsa

Kecik mati sering dijerut sesuatu selepas ibu Man bermimpi dibelit ular.

SIKAP busuk hati dan dengki dengan kejayaan orang lain boleh dikatakan perkara biasa dalam masyarakat kita sehinggakan ada sanggup menggunakan ilmu hitam bagi menjatuhkan orang lain.

Itu belum lagi ada yang menggunakan pelaris bagi menarik minat pelanggan sehingga membunuh perniagaan orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja R&R alami detik cemas sewaktu syif malam... Makhluk berkain kapan muncul ketika suasana sunyi pukul 3 pagi

Perkara sama terjadi kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai Man (bukan nama sebenar) yang berkongsi kisah pelik yang berlaku kepadanya sekeluarga.

Man memberitahu ibunya seorang peniaga kecil-kecilan dari rumah yang mengambil tempahan pelbagai kuih muih sejuk beku.



Setiap kali ibu Man menerima tempahan membuat kuih sejukbeku, pasti akan ada haiwan peliharaan mereka mati.

Boleh dikatakan, ibunya sanggup bersengkang mata sekiranya mendapat tempahan pelanggan yang mempercayai kebolehannya menyediakan kuih muih Melayu.

"Jika diikutkan di kawasan tempat tinggal saya ini kebanyakannya jenis orang berniaga dan mungkin timbul rasa kurang senang melihat perniagaan orang lain mula berkembang.

"Sebenarnya mak saya sudah terbiasa terkena gangguan setiap kali menerima tempahan. Sampaikan tengah menguli tepung tengah malam pun terdengar orang berjalan belakang rumah, bunyi cakaran malah kadang-kadang ternampak kelibat," katanya.

Cerita Man, pada awalnya mereka sekeluarga berasa takut dengan kejadian menimpa mereka namun lama kelamaan situasi itu seperti sudah menjadi kebiasaan.

Ibu kerap bermimpi pelik

Dalam pada itu, Man memberitahu setiap kali ada kejadian buruk bakal menimpa keluarganya, ibunya akan mengalami mimpi buruk iaitu seekor ular datang membelit kakinya.

Apabila ibu bermimpi dibelit ular, saya tahu kesengsaraan keluarga kami belum berkahir.

Man

Paling pelik kata Man, ikan yang dibelanya di dalam akuarium pasti akan mati setiap kali ibunya bermimpi seram.

"Ikutkan kami sekeluarga suka bela haiwan seperti kucing, ayam, ikan, burung tetapi disebabkan mereka asyik mati, saya pun rasa serik hendak bela lagi," katanya.

Namun kata Man, apabila semua ikan dibelanya mati, ibunya akan menjadi mangsa dan jatuh sakit setiap kali didatangi mimpi serupa.

"Bayangkan ibu akan demam panas, meracau-racau... Kami bawa ke klinik doktor kata tiada apa, sehinggalah kami bawa ibu berubat secara Islam.

"Kata ustaz ada orang dengki dan menghantar benda tidak elok kepada keluarga kami," katanya.

Sejak itu kata Man, ibunya tidak lagi menerima sebarang tempahan membuat kuih dan sepanjang tempoh itu juga tiada sebarang gangguan berlaku kepada mereka sekeluarga.



Setiap kali ibu Man bermimpi, pasti ada kejadian buruk menimpa keluarga mereka.

Mimpi dibelit ular, 'Kecik' yang terjerut sampai mati

Bagaimanapun sangkaan episod hitam itu telah berakhir ternyata salah apabila pada suatu malam ibunya tiba-tiba didatangi mimpi seekor ular cuba mematuk kaki namun berjaya dihalang.

Dalam mimpi itu kata Man, ibunya memberitahu kakinya dibelit ular tersebut sehingga kakinya lebam dan berasa sakit seolah-olah kejadian itu benar-benar berlaku.

"Mimpi itu datang selepas ibu menerima tempahan membuat kuih selepas sekian lama berehat... Kejamkan manusia?

"Apabila ibu bermimpi dibelit ular, saya tahu kesengsaraan keluarga kami belum berkahir," katanya.

Selang beberapa hari kemudian, Man terkejut apabila mendapati kucing kesayangan keluarganya meraung berguling-guling menahan kesakitan namun tiada sebarang kesan ia dilanggar atau pun mengalami kecederaan.

"Badan Kecik (nama kucing) menjadi kejung seperti menahan kesakitan, saya urut badannya dan bisik ke telinganya agar dia pergi dengan tenang dan mengucapkan terima kasih kerana telah menyelamatkan ibu saya.

"Selang setengah jam kemudian, saya tengok nafas Kecik mula menurun dan mati," katanya.

Man memberitahu dia pernah terdengar cakap-cakap orang dahulu bahawa sekiranya ada seseorang ingin membuat khianat, binatang peliharaan akan sanggup berkorban demi tuan mereka.

"Kalau tiada Kecik, mungkin mak saya yang akan sakit... Saya pelik kenapa ada manusia sanggup bersekutu dengan syaitan?

"Tidakkah mereka takut dengan Allah? Rezeki Allah itu luas dan kenapa perlu berdengki dengan rezeki orang lain... Wallahualam," katanya.

Artikel Lain