suria

Pesakit wad bersalin jadi takut muncul wanita bermain loceng atas katil ketika lampu ditutup

Kejadian mistik di hospital bukan sesuatu yang baharu dan ramai pernah mengalaminya. - Gambar Sekadar Hiasan

KETERUJAAN Khalisa Inara untuk menyambut kelahiran anak ketiga sepatutnya diabadikan dengan memori indah namun sebaliknya yang berlaku.

Mengimbau kenangan tersebut, Khalisa memberitahu dia terpaksa dimasukkan ke sebuah hospital ketika kandungannya mencecah usia lapan bulan akibat berlaku pendarahan.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 tahun tiada anak, Diyana asyik keguguran setiap kali hadir mimpi ngeri... ”Ketika terjaga, kaki saya dalam keadaan terkangkang, keluar darah”

Meskipun sudah berpengalaman melahirkan dua cahaya mata namun pendarahan itu pertama kali dialaminya membuatkan dia dan suami mengambil keputusan untuk ke hospital.

Bagai dijangka, Khalisa terpaksa ditahan di wad bagi memastikan kandungannya berada dalam keadaan baik namun tidak menyangka ada perkara lain yang membuatkan dirinya trauma sehingga ke hari ini.

"Katil saya berhampiran kaunter jururawat dan ketika itu ada lapan katil. Saya ditempatkan di katil nombor tiga di sebelah kiri.



Kelibat wanita di atas katil sambil membunyikan loceng menimbulkan tanda tanya. - Gambar Sekadar Hiasan

"Katil nombor satu ada ibu yang baru melahirkan cahaya matanya manakala katil sebelah kanan bernombor satu dan dua sedang menunggu waktu bersalin.

"Pada awalnya tiada apa yang pelik berlaku sehinggalah saya terlelap sebelum terjaga apabila jururawat datang untuk mengambil tekanan darah," ceritanya.

Wanita duduk bersila, bunyikan loceng

Khalisa memberitahu dalam keadaan mamai, dia memandang sekeliling sebelum ternampak seorang wanita duduk bersila sambil menundukkan wajahnya di katil nombor empat di sebelah kanan tempatnya.

Ceritanya, dia berasa pelik apabila wanita itu kerap membunyikan loceng dibawanya namun tidak mengesyaki sesuatu yang luar biasa.

"Saya masih ingat, dia memakai baju berwarna putih dan seluar pendek hitam. Fikir saya dalam hati mungkin wanita itu baru dimasukkan ke wad ketika saya terlelap tadi.

Apabila mereka membuka cerita, ada berlainan versi... Ada yang ternampak kelibat wanita terbaring kejung. Ada pula melihat wanita itu berada dalam posisi duduk dan menggoyangkan kepala dengan laju.

KHALISA INARA

"Ketika saya cuba lelapkan mata, saya terdengar wanita itu menangis... Sayup dan mendayu bunyinya. Semasa wanita itu menangis dia tetap membunyikan loceng.

"Memang agak terganggu tetapi saya malas layan dan berharap jururawat akan menegur wanita itu," jelasnya.

Khalisa memberitahu, dia bagaimanapun yang mengharapkan agar dapat berehat tidak dapat berbuat demikian akibat tangisan wanita itu. Dia membuat keputusan bangun untuk minum air.

Pesakit menangis, jururawat rapatkan katil

Sambung Khalisa, dia sempat memandang ke arah katil wanita itu dan mendapati dia tetap dalam posisi sama seperti mana mula-mula melihatya sebelum ini.

"Ketika saya cuba meneka apa sebenarnya yang berlaku terhadap wanita itu, tiba-tiba pesakit di katil nombor satu memanggil jururawat. Saya memandang ke arah jururawat yang berjalan ke arah kami sambil membuka lampu.



Ada pesakit yang melihat kelibat itu dalam keadaan terkujur di atas katil. - Gambar Sekadar Hiasan

"Apabila saya berpaling kembali ke arah katil wanita itu, saya lihat katil itu kosong," ujarnya.

Tanpa mengesyaki apa-apa, Khalisa bertanya kepada jururawat mengenai wanita berkenaan dan dia terkejut apabila diberitahu katil itu tiada pesakit.

"Saya terdiam seketika dan minta jururawat jangan tutup lampu. Pesakit katil sebelah kanan saya, tiba-tiba minta menukar katil, takut katanya.

"Pesakit di sebelahnya juga sudah mula menangis dan minta dipindahkan ke tempat lain. Jururawat yang bertugas itu terdiam seperti memahami sesuatu," katanya.

Tanpa bertanya lanjut, Khalisa berkata, jururawat itu merapatkan katil mereka sebelum mengambil kerusi serta meja kecil dan diletakkan di tengah wad untuk memerhatikan pesakit dengan lebih dekat.

Malah Khalisa sangat terhutang budi dengan jururawat itu kerana sanggup menemami pesakit ke bilik air dan memastikan semua pesakit berasa selesa.



Wad di hospital sering dikaitkan dengan kisah misteri.

Rupa-rupanya semua ternampak kelibat di katil sama!

Keesokan harinya kata Khalisa, kesemua pesakit di wad itu membuka mulut menceritakan apa yang telah mereka lihat pada malam sebelumnya.

Rupa-rupanya kesemua pesakit yang berada di wad itu sebenarnya ternampak kelibat di katil sama namun mendiamkan diri kerana berasa takut.

"Apabila mereka membuka cerita, ada berlainan versi... Ada yang ternampak kelibat wanita terbaring. Ada pula melihat wanita itu berada dalam posisi duduk dan menggoyangkan kepala dengan laju.

"Manakala ada pula nampak wanita itu mengendong patung... tetapi satu perkara yang sama adalah mereka lihat wanita itu memegang loceng dan berasa terganggu dengan bunyi loceng itu," katanya.

Jelasnya, tindakan salah seorang pesakit yang baharu bersalin memanggil jururawat mungkin telah menakutkan kelibat itu sebelum menghilangkan diri.

"Kalau dia tak panggil jururawat, mungkin sampai ke pagi kelibat itu ada di situ. Syukur tiada apa yang buruk berlaku namun kejadian itu tetap dalam memori saya sehingga ke hari ini," katanya.

Bagi Khalisa, sehingga kini peristiwa itu menjadi misteri dalam hidupnya selain tertanya-tanya mungkin ada sesuatu yang menyebabkan munculnya entiti berkenaan di wad tersebut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain