suria

Dah lama orang pesan hati-hati lalu Pondok Tanjung... Pemuda dari Baling terima habuan jumpa keranda diusung tengah malam

Zack melalui pengalaman seram dan pelik apabila orang ramai berhimpun di jalan raya mengusung keranda pada pukul 2 pagi. - Gambar Sekadar Hiasan

SUDAH hampir setahun Zack terpaksa berjauhan dengan keluarga selepas dia ditukarkan ke cawangan syarikatnya di Taiping, Perak kerana kenaikan pangkat.

Meskipun berjauhan, Zack tidak pernah melupakan tanggungjawab terhadap isteri serta anak-anaknya dan akan pulang ke Baling, Kedah setiap hujung minggu untuk bersama keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Pondok Tanjung? Selepas 10 malam orang dah tak lalu... ada wanita cantik ajak mandi

Namun dia mengakui perjalanan dari Taiping ke Kedah memang memenatkan apatah lagi terpaksa berulang alik setiap minggu.

Jadi bagi menjimatkan masa perjalanan dan petrol, Zack mengambil keputusan untuk menggunakan jalan pintas sehinggalah satu kejadian yang menyeramkan berlaku kepadanya.



Pelbagai kisah seram diceritakan mengenai laluan di Pondok Tanjung.

Cerita bermula apabila Zack tertanya-tanya mungkin ada jalan pintas jika mahu pulang ke Baling dari Taiping sehinggalah rakan sepejabat mencadangkan beberapa laluan iaitu melalui kawasan kampung jika enggan menggunakan lebuh raya.

Namun begitu kita sedia maklum, biasanya kalau laluan di kawasan kampung, keadaannya agak berbahaya pada waktu malam khususnya jika ia kawasan hutan atau estet kerana dikhuatiri haiwan liar seperti babi dan tapir melintas.

Tidak pun haiwan ternakan seperti kerbau dan juga lembu yang suka tidur di atas jalan.

"Rakan sekerja saya tanya jalan pintas untuk balik ke Kedah dari Taiping namun ada juga mereka nasihat memang cepat tapi bahaya kalau memandu waktu malam.

"Kata mereka pelbagai kejadian aneh berlaku dan menasihatkan saya menggunakan lebuh raya atau memandu di jalan lama pada waktu siang sahaja," katanya.

Mendengar nasihat rakan-rakannya, Zack pulang ke Kedah pada awal pagi melalui Kamunting menuju ke Pondok Tanjung sebelum menempuh Selama di Perak.

Dari Selama, dia memasuki negeri Kedah yang bersempadan dengan daerah itu menuju ke Mahang, Karangan dan seterusnya Kuala Ketil sebelum sampai daerah Baling.

Orang ramai berjalan kaki di jalan pukul 2 pagi!

Cerita Zack, perjalanan pada waktu pagi berjalan lancar meskipun jalannya agak berbahaya selain banyak selekoh tajam dan monyet berkeliaran sepanjang jalan.

"Namun perjalanan agak tenang kerana pemandangan dipenuhi dengan pokok kelapa sawit sepanjang perjalanan," ujarnya.

Saya masih berfikiran positif dan kembali mengikut kumpulan itu daripada belakang dan membuka lampu tinggi kerana keadaan memang gelap tetapi saya pelik kerana tiada seorang pun di antara mereka yang menoleh ke arah saya.

ZACK

Lama-kelamaan kata Zack, dia mula terbiasa dengan laluan tersebut dan mula yakin untuk pulang ke Taiping pada waktu malam menggunakan jalan yang sama dari Baling.

Kebetulan ketika itu cerita Zack, dia terpaksa pulang pada lewat malam kerana menghadiri majlis kenduri di Baling dan tindakan itu satu keputusan yang salah.

"Pada awalnya perjalanan lancar sehinggalah saya tiba di Pondok Tanjung menghala ke Kamunting. Ia lebih kurang 30 minit untuk sampai ke Taiping. Jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 2 pagi.

"Entah kenapa saya rasa seram tetapi saya teruskan pemanduan seperti biasa sebelum saya lihat ada ramai orang sedang berjalan kaki di jalan raya," jelasnya.

Zack memberitahu dia mulanya tidak mengesyaki apa-apa yang pelik kerana mereka berjalan kaki dalam jumlah yang ramai sehingga dia terpaksa memperlahankan kenderaan memandangkan kumpulan itu berjalan di tengah jalan raya.



Zack berasa pelik apabila orang ramai mengusung keranda pada pukul 2 pagi. - Gambar Sekadar Hiasan

"Bayangkan dalam gelap itu, pukul 2 pagi mereka berjalan kaki beramai-ramai. Saya sampai terpaksa perlahankan kereta dan turunkan lampu tinggi yang saya guna sebelum itu.

"Memang tak dapat nak celah, kerana jumlah mereka amat ramai dan saya ambil keputusan untuk menandu mengikut sahaja mereka perlahan-lahan dari belakang," katanya.

Bagaimanapun Zack memberitahu selepas beberapa minit dia mula tertaya-tahya kenapa begitu ramai kumpulan itu pada waktu tersebut di jalan raya?

Orang ramai usung jenazah, Zack mula menggeletar

Kata Zack dia memberanikan diri dengan memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum membuka lampu tinggi ketika melihat kumpulan itu sedang mengusung keranda jenazah.

Darahnya mula berderau dan mula terfikir tiada siapa di antara mereka dalam kumpulan itu yang membawa lampu suluh atau pelita bagi mengiringi jenazah ke kawasan perkuburan.



Zack serik memandu pada waktu malam menggunakan jalan lama.

"Saya masih berfikiran positif dan kembali mengikut kumpulan itu dari belakang dan membuka lampu tinggi kerana keadaan memang gelap tetapi saya pelik kerana tiada seorang pun di antara mereka yang menoleh ke arah saya.

"Saya toleh kiri, kanan dan saya mula teringat, ini kawasan hutan! Mana ada rumah dekat kawasan ini?

"Terketar-ketar saya pegang stereng kereta dan cuba himpit bahu jalan untuk pintas kumpulan itu dan memang tak pandang kiri kanan lagi dah," ceritanya.

Sampai di rumah kata Zack, dia terus mengunci diri dalam bilik namun tidak dapat melelapkan mata kerana berasa terganggu dengan kejadian itu.

Keesokan harinya, kata Zack dia mengalami demam selama beberapa hari dan sejak itu dia tidak lagi berani menggunakan jalan itu pada waktu malam.

Menurut cerita orang lama, banyak kejadian pelik pada waktu malam berlaku di Pondok Tanjung yang dikelilingi kawasan hutan simpan dan juga estet.

Pada waktu siang kawasan itu banyak dipenuhi monyet yang menanti makanan dariapda pengguna jalan raya yang gemar memberi makanan ketika melalui kawasan berkenaan.

Pada waktu malam pula dikatakan ia merupakan kawasan perkampungan orang Bunian. Jadi, tidak hairlanlah sesiapa yang melalui kawaasan itu pada tengah malam, jika nasib kurang baik akan terjumpa macam-macam kelibat.

Antara yang kerap menjadi buah mulut orang ialah bertemu kumpulan manusia mengusung keranda, ibu berjalan dengan dua anak dan terdengar ada ramai orang sedang mandi di anak sungai kawasan itu.

Pernah juga terjadi seorang penunggang motosikal nyaris terbabas kerana ketika jauh, lampu motosikalnya menunjukkan jalan itu lurus namun apabila sudah dekat, ia rupa-rupanya selekoh tajam.

Penunggang motosikal itu bernasib baik kerana pada waktu kejadian iaitu kira-kira 11 malam, dia tidak menunggang laju motosikalnya.

Selalunya orang yang jarang melalui kawasan berkenaan akan berdepan dengan pelbagai kejadian ganjil berbanding penduduk setempat yang kerap menggunakan laluan itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain