suria

Hati-hati tidur malam tingkap terbuka... Pemuda kongsi kisah ngeri peluk kelibat disangkanya isteri

Orang tua pesan jangan tidur buka tingkap, bimbang ada 'benda' yang mengintai kita.

ORANG tua-tua selalu berpesan, kalau tidur jangan buka tingkap bilik kerana bimbang akan ada 'benda' menghendap tapi biasanya teguran itu tidak pernah dipedulikan.

Apatah lagi kalau tinggal di rumah kampung, pasti tingkap bilik akan dibuka seluas-luasnya bagi membolehkan udara malam kampung yang menyegarkan masuk ke dalam rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Emas hilang selepas muncul depan mata, darah busuk atas lantai... Ayu nyaris jadi mangsa Tok Guru berselindung di sebalik imej agama

Seperti dikongsi Mohammad Saiful Amri, dia selalu juga terdengar pesanan orang tua mengenai perkara itu tetapi jarang dia mengambil pusing momokan tidur tingkap terbuka.

Bagaimanapun kata Saiful, kejadian di rumah mertuanya membuatkan dia menjadi pucat lesi apabila mengalami sendiri gangguan seperti yang sering didengarinya sebelum ini.

Ceritanya, ketika kejadian, dia membuka tingkap bilik kerana berasa panas selain ingin melihat pemandangan langit memandangkan dia tidak boleh melelapkan mata.



Saiful memberitahu dia terkejut apabila isterinya menjerit meminta tolong. - Gambar Sekadar Hiasan

Terbangun isteri sarat mengandung minta tolong

"Mula-mula tingkap bilik itu tidaklah terbuka luas, sekadar bagi lepas angin masuk tapi saya pula gatal tangan buka tingkap luas-luas sebab nak tengok pemandangan malam sambil baring.

"Cerah juga langit malam itu sampai nampak pokok-pokok hutan dan serangga terbang di langit. Tenang rasa menghadap suasana kampung sampailah saya terlelap," ceritanya.

Syafiq ketika sedang lena itu, dia tiba-tiba terjaga apabila mendengar jeritan isterinya yang sedang sarat mengandung meminta tolong.

Dalam keadaan terpingga-pingga, dia melihat isterinya sudah berada di sebelahnya sambil memegang erat bahunya.

"Isteri mengoncang bahu saya sambil menjerit minta tolong, dalam keadaan 'mamai' saya cuba tanya apa yang telah berlaku namun tiada jawapan dan dia hanya menjerit meminta tolong.

Sudahlah saya peluk benda itu erat, wajahnya pula rapat dengan muka saya. Bayangkan perasaan saya ketika itu.

MOHAMMAD SAIFUL AMRI

"Saya terkejut apabila dia tiba-tiba bangun dan memanjat dan bertenggek dekat tingkap bilik. Bayangkan isteri saya sedang sarat mengandung, terus saya menggelupur sebab bimbang isteri terjatuh ke bawah," katanya.

Saiful memberitahu dia dapat memeluk isterinya daripada belakang sebelum wanita itu sempat terjun ke bawah meskipun bingung dengan apa sedang berlaku kepada isterinya.

"Dalam keadaan masih bertenggek pada tingkap, dia menjerit meminta tolong. Saya pegangnya erat bimbang jika terjatuh memandangkan rumah mertua tinggi dan dibina atas tiang. Kalau jatuh, saya tidak tahu apa nasib isteri saya dan bayi yang dikandung," katanya.

'Isteri' bertukar wajah hodoh, gigi bertaring

Dalam Saiful bergelut memeluk erat isterinya, tiba-tiba dia mendengar suara seorang wanita memanggil namanya namun suara itu datang daripada arah katil bilik tersebut.

Apabila menoleh ke belakang, Saiful melihat isterinya dalam keadaan terpingga-pingga sambil memberi pandangan pelik kepadanya.

Saiful menolak makhluk yang memeluknya sekuat hati.

"Dalam berdebar saya toleh kembali kepada susuk yang sedang saya peluk... Ia menunjukkan dirinya yang sebenar! Giginya bertaring, hitam berbulu, hidung merah... memang mengerikan.

"Sudahlah saya peluknya erat, wajahnya pula rapat dengan muka saya. Bayangkan perasaan saya ketika itu," ceritanya.

Saiful memberitahu dia cuba melepaskan pelukan namun makhluk itu pula memeluknya membuatkan dia berasa cemas sebelum menggunakan sekuat tenaganya menolak ia jatuh keluar daripada tingkap.

"Makhluk tersebut jatuh sebelum ia toleh memandang ke arah saya dan ketawa sebelum tiba-tiba menghilangkan diri seperti bayang-bayang. Paling menyeramkan hilai ketawanya sayup-sayup kedengaran walaupun telah menghilangkan diri," kata Saiful yang mulanya menyangka makhluk itu ialah isterinya

Apa yang pelik kata Saiful, isterinya tidak melihat kelibat yang bertenggek dekat tingkap bilik mereka dan kejadian itu kekal menjadi misteri buatnya.

"Sejak itu memang saya serik tidur buka tingkap dan paling bersyukur isteri dan anak dalam kandungan tidak diganggu," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain