suria

Angkara khianat guna bomoh Siam... restoran dibuka tapi pelanggan tak nampak! Pemilik kedai pelik ada orang masak pukul 3 pagi

Ramai pelanggan mengadu setiap kali datang ke restorannya ia ditutup dan rupa-rupanya ia perbuatan sihir.

SEJAK membuka sebuah restoran di Shah Alam, Selangor bersama rakan kongsi pada Disember tahun lalu, kehidupan Khairizal berubah sepenuhnya kerana dia perlu memberi perhatian kepada perniagaan.

Beritahu Khairizal, tidak mudah menguruskan sebuah restoran yang besar malah rutin harian bermula seawal 5 pagi dan hanya berakhir sekitar pukul 2 pagi hari esoknya namun dia gembira apabila pelanggan berpuas hati dengan menu dan layanan diberikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap kali terima tempahan buat kuih, ibu mimpi dibelit ular, 'Kecik' mati jadi mangsa

"Meskipun Covid-19 melanda namun kami masih mampu bertahan dan Alhamdulillah pelanggan berpuas hati. Makanan yang pelbagai, enak dan paling penting bersih serta mengikut SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan mengenai penjarakan sosial untuk mengelak penyebaran wabak itu.

"Alhamdulillah pelanggan semakin ramai terutamanya pada hari Khamis hingga Isnin. Tidak kira sama ada untuk bersarapan, makan tengah hari mahupun makan malam. Syukur restoran sentiasa penuh dengan pelanggan," katanya.



Khairizal memberitahu dia diganggu ketika bersendirian di restorannya.

Seorang diri di restoran, bunyi orang masak sampai ke pagi

Bagaimanapun kata Khairizal, operasi restorannya sedikit terganggu pada Ogos lalu apabila ada pekerja yang berhenti secara mendadak memaksanya menguruskan sendiri pelbagai tugas termasuk membeli stok barangan mentah, kerja membersih dan sebagainya.

Namun, itu bukanlah satu-satunya cabaran perlu dihadapinya kerana sejak itu juga dia berhadapan pelbagai kejadian pelik di restorannya.

"Saya pernah bersendirian di restoran kerana masih ada perkara perlu diuruskan sehingga saya mengambil keputusan untuk tidur sahaja di restoran.

"Saya masih ingat, ketika itu jam menunjukkan pukul 3 pagi dan tiba-tiba saya dengar dengan jelas meja dan kerusi seperti ditarik orang. Di dapur pula seperti ada orang sedang memasak.

"Ketika itu saya sedang buat kerja di surau... memandangkan saya tak kenal takut, saya keluar untuk periksa tetapi tiada apa yang pelik. Apabila saya kembali masuk ke surau, bunyi itu berterusan pula sehingga ke pagi," ceritanya.

Bukan sahaja saya dan pekerja mengalami perkara pelik, anak kepada tukang masak yang sering singgah ke restoran juga pernah mengadu melihat perempuan berambut panjang dibelakang kedai sebelum masuk waktu Maghrib.

KHAIRIZAL

PEMILIK RESTORAN

Kedai buka, pelanggan kata tutup!

Sementara itu, Khairizal memberitahu tukang masaknya juga pernah mengadu terlihat daging yang sedang direbus tiba-tiba timbul dalam keadaan berbulu namun dia tidak mengambil serius mengenai aduan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, pekerja yang tinggal di asrama turut memberitahu ada orang mengetuk pintu bilik mereka dengan kuat namun apabila dibuka tiada orang.

"Paling saya hairan, ada pekerja beritahu terdengar suara budak pada awal pagi malah mereka sering terlihat kelibat kanak-kanak dalam lingkungan empat ke lima tahun berlari-lari dalam suasana kelam di asrama," ceritanya.

Sejak pelbagai kejadian menimpa pekerjanya, Khairizal memberitahu kesihatannya juga mula terganggu dan sering mengalami sakit dibahagian siku, tangan dan kaki.

"Bukan sahaja saya dan pekerja mengalami perkara pelik, anak kepada tukang masak yang sering singgah ke restoran juga pernah mengadu melihat perempuan berambut panjang di belakang kedai sebelum masuk waktu Maghrib," ujarnya.



Ustaz yang merawatnya memberitahu dia sudah terpegang dan terpijak tanah kubur yang ditabur di restorannya.

Paling pelik kata Khairizal, ada beberapa pelanggan pernah bertanya melalui seseorang kenapa restorannya sering tutup tetapi dia tidak mengambil endah tentang perkara itu sehinggalah ada seorang pelanggan datang berjumpa dengannya.

Pelanggan itu ingin mendapatkan kepastian tentang hari kedainya ditutup kerana beberapa kali dia datang sebelum ini, restorannya tidak pernah dibuka.

"Tak terjawab saya tentang soalan itu kerana restoran memang dibuka setiap hari dalam tempoh seminggu yang lalu," ceritanya.

Terpegang, terpijak tanah kubur... disihir bomoh Siam!

Sementara itu, Khairizal yang sudah tidak tahan dengan sakit tangan dialaminya mengambil keputusan untuk mencuba perubatan secara Islam selepas rawatan di hospital tidak memberikan sebarang kesan.

Dia memberitahu terkejut apabila dimaklumkan ada pihak berniat tidak baik terhadap perniagaannya dan lebih menakutkan dia sudah terpijak dan memegang benda yang ditabur di restorannya.

"Saya berjumpa dengan dua pakar perubatan Islam di Seremban dan Ijok. Mereka memberi pandangan yang sama selain memberitahu kedai saya sudah ditabur dengan tanah kubur.

"Lebih menakutkan, katanya saya sudah terpegang dan terpijak tanah kubur yang ditabur di kedai," katanya.



Sihir yang dikenakan kepada restorannya mungkin disebabkan rasa cemburu oleh pesaing.

Salah seorang pekerjanya yang juga warganegara Indonesia turut membuat ikhtiar dengan berjumpa pengamal perubatan tradisional dan memberitahu pesaing perniagaannya telah melakukan perkara buruk tersebut dengan menggunakan bomoh Siam.

Sihir yang dikenakan membuatkan pelanggan tidak dapat melihat restorannya selain penyebab kepada kesakitan dialaminya.

"Malam esoknya saya pergi ke rumah kawan di Sungai Buloh, kira-kira pukul 12 tengah malam. Sebaik saya berdiri di pintu pagar, rakan saya itu bertanya siapa saya bawa ke rumahnya dan saya terdiam.

"Sedar ada sesuatu yang pelik, rakan saya bawa saya berjumpa dengan seorang Imam di kawasan tempat tinggalnya dan ustaz itu memberitahu ada benda ikut saya namun ia hanya menunggu di luar pintu.

"Peliknya 'benda' itu tidak mengikut saya masuk ke rumah imam. Ketika dirawat oleh imam itu, dia mengurut belakang badan saya sambil membaca ayat al-Quran. Tiba-tiba saya rasa sangat mengantuk dan urutannya terasa sangat sakit dan perit," jelasnya yang masih berubat meskipun kesihatannya semakin pulih.

Enggan bermain dengan 'permainan' kotor itu, dia mengambil keputusan menutup restoran itu.

"Biarlah saya mengalah. Tak sangka ada orang sanggup buat perkara khurafat begini hanya demi wang," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain