suria

Rahsia ilmu hitam si ibu mentua terbongkar, siapa sangka di sebalik rajin solat, mengaji... tubuhnya mengerekot, air liur meleleh umpama anjing ketika diserang sawan

Ingatlah perbuatan syirik dan menyekutukan Allah adalah berdosa besar.

SEPANJANG mengenali ibu mentuanya, Fazilah (bukan nama sebenar) memberitahu wanita itu seorang yang menjaga solat selain rajin mengaji walaupun hubungan mereka tidak begitu mesra sejak dia berkahwin dengan anaknya.

Bagaimanapun rahsia ilmu hitam wanita separuh abad itu mula terbongkar apabila dia tiba-tiba diserang angin ahmar ketika tinggal bersama kakak dan abang iparnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah diketuk pintu terbuka, suami bergurau panggil masuk tapi tiada orang... Bermulalah episod duka keluarga ini

Cerita Fazilah, seminggu selepas ibu mentuanya dibenarkan keluar hospital, wanita itu tiba-tiba mengeluarkan darah yang banyak ketika membuang air besar dan membuatkan dia berasa bimbang dengan keadaan wanita itu.

"Bayangkan dua helai kain batik buat lap darah yang keluar, terus kami bawa ibu mentua ke hospital. Walaupun memakai lampin, setiap kali membuang air besar, darah akan keluar berlambak-lambak sehingga membuatkan saya berasa takut.

"Darah yang keluar bukan sahaja banyak tetapi berwarna hitam, siap bau hanyir seperti darah ikan. Doktor beritahu ada kemungkinan berlaku pendarahan dalaman tetapi keputusan menunjukkan tiada sebarang masalah pada bahagian usus dan sistem penghadamannya," katanya.



Ibu mentua Fazilah tidak mengakui ada menyimpan keris kecil sebagai salah satu benda yang 'menjaganya'. - Gambar sekadar hiasan

Gelisah tengok kehadiran ustaz, merapu tentang 'orang hitam'

Fazilah memberitahu dia berasa tidak sedap hati dengan keadaan ibu mernuanya sehingga dia terpanggil untuk mencuba rawatan secara perubatan Islam dan tradisional kerana mengesyaki ada sesuatu disembunyikan wanita itu.

Bagai diduga, ketika ustaz itu menghampiri ibu mentuanya, Fazilah memberitahu wanita itu kelihatan gelisah selepas ustaz menyelitkan lada hitam di celah jari kakinya.

"Ustaz tanya mak sama ada dia pernah menyimpan apa-apa barang lama seperti keris atau kain kuning tapi mak tak mengaku... Ustaz beritahu mak ada sorokkan sesuatu.

"Petang selepas solat Asar kepala saya terasa berat, rasa meremang... Saya hubungi ustaz beritahu keadaan saya dan ustaz memberitahu 'benda' itu sudah mengetahui tentang apa kami sedang lakukan dan ustaz ajar bacaan untuk melindungi diri daripada gangguan," ceritanya.

Dia sekali lagi cuba berbual-bual dengan ibu mentuanya mengenai perkara itu sebelum wanita itu mengakui ada menyimpan keris namun tidak mengetahui di mana ia diletakkan.

Fazilah memberitahu selepas ibu mentuanya dibenarkan keluar hospital, kejadian pelik terus berlaku apabila wanita itu sering bercakap sendirian dan merapu tentang kelibat 'orang hitam' di luar tingkap yang dikatakan ingin menangkapnya.

Mak mengaku dan beritahu dia tanam dalam botol dibawah tangga dan 'benda' itu penemannya dan menjaga rumahnya.



FAZILAH (Bukan nama sebenar)

Ilmu kecantikan, beruk menyerupai ibu mertua

Beberapa hari kemudian kata Fazilah ustaz sama datang ke rumah bersama enam pembantunya ingin merawat ibu mentuanya dan jelasnya bermulalah episod seram dan misteri dalam hidup mereka sekeluarga.

Selepas melakukan solat hajat dan doa, ustaz itu meminta ibu mentuanya memberitahu tentang keris yang disimpannya dan mereka sekeluarga terkejut apabila wanita itu tiba-tiba menyanyi membaca mentera memanggil keris itu datang.

"Peliknya keris itu tidak muncul, kami geledah satu rumah tapi tak jumpa. Ustaz baca ayat-ayat al-Quran sambil mencari keris itu sebelum abang ipar tiba-tiba menjerit seperti dirasuk sesuatu.

"Abang ipar menjerit suruh semua orang berhenti mencari keris itu sambil menghalau ustaz dan pembantunya... Bagaimanapun ustaz mendedahkan abang ipar bersikap demikian kerana keris berkenaan ada padanya," jelasnya.

Usaha Fazilah membantu ibu mentuanya 'membersihkan' diri daripada sebarang elemen mistik tidak terhenti di situ, apabila dia sekali lagi bertemu dengan seorang pengamal perubatan tradisional dikenali sebagai Mami yang kemudiannya memberitahu wanita itu turut menggunakan ilmu kecantikan untuk menjaga badan.



Gangguan demi gangguan terus diterima Fazilah sekeluarga sehinggalah ibu mertuanya meninggal dunia. - Gambar sekadar hiasan

Kali ini katanya, ibunya mengakui apa diperkatakan oleh bomoh itu sebelum cucu kepada bomoh itu masuk memberitahu melihat seekor beruk yang menyerupai ibu mentuanya berdiri dekat dengan keretanya.

Sebelum pulang, Mami turut berpesan agar dia mengambil gambar di setiap penjuru rumah untuk ditunjukkan kepada cucunya yang boleh melihat perkara ghaib.

"Selepas kami kembali ke rumah Mami pada temu janji berikutnya, cucunya melihat gambar yang diambil, dia memberitahu dalam setiap gambar itu penuh dengan beruk. Rupa-rupanya itulah belaan mak.

"Bagi menangkap 'beruk' itu, Mami datang ke rumah dan berbekalkan sebotol air mineral dan kayu sugi, Mami 'mengutip' makhluk yang berada di rumah ibu mentuanya.

"Dalam percaya atau tidak, memang nampak makhluk berbulu hitam bertaring dalam botol itu, berpuluh-puluh ekor sebelum ia ditanam," katanya.

Paling menyedihkan kata Fazilah, Mami memberitahu kebiasaannya selepas beberapa hari ibu mentuanya akan meninggal dunia dan mereka sekeluarga reda jika itu ketentuan Allah.



Mami berjaya menangkap 'beruk' belaan ibu mertuanya. - Gambar sekadar hiasan

Mengaku guna ilmu minyak dagu, mengerekot seperti anjing

Bagaimanapun, dalam mereka berasa bimbang wanita itu akan pergi, ibu mentuanya masih kukuh di atas katilnya seperti ada sesuatu yang menjaga dan mempertahankannya.

Merasakan sesuatu tidak kena dengan keadaan ibu mentuanya itu, mereka sekeluarga sekali lagi memanggil ustaz dan dia memberitahu masih ada 'benda' bersama ibunya selain wanita itu ada menanam minyak dagu.

"Mak pula selepas itu semakin menjadi-jadi merapu, suruh buka pintu, katanya ada orang datang nak tengok dia sakit... Saya tanya padanya sama ada benar apa dikatakan ustaz tentang minyak dagu?

"Mak mengaku dan beritahu dia tanam dalam botol dibawah tangga dan 'benda' itu penemannya dan menjaga rumahnya.

"Patutlah sebelum ini ada jiran pernah bercerita, malam-malam pernah nampak beruk di atas siling rumah mak dan ia sebiji menyerupai mak. Saya tak percaya sebab tak pernah diganggu belaan mak," katanya yang memberitahu selepas minyak dagu itu dibuang, ibu mentuanya menjadi kurus kering.

Pada suatu petang, selepas solat Asar, Fazilah membaca surah Yasin dan selepas selesai dia cuba menyuapkan air kepada ibu mentuanya sebelum wanita itu tiba-tiba diserang sawan.



Fazilah memberitahu masih menerima gangguan meskipun ibu mertuanya sudah meninggal dunia.

"Tangan dan kakinya mengerekot, apabila saya pandang... Subhanallah, Ya Allah, tidak ubah seperti seekor anjing. Nauzubillah, saya panggil suami minta baca ayat al Quran dan sapu kepala mak dengan air.

"Dalam setengah jam badannya mengerekot, air liurnya meleleh dan memberikan pandangan tajam... nak tenung dia lama-lama memang rasa takut," katanya.

Genap 100 hari selepas pelbagai cubaan merawat ibu mentuanya, wanita itu akhirnya dijemput Ilahi meskipun jelas kelihatan pada wajahnya rasa sakit, pedih, seksa ketika bertarung dengan sakaratulmaut.

"Tak sanggup saya tengok keadaan mak namun Alhamdulillah akhirnya mak pergi dengan tenang. Apa menimpa mak memang cukup memberi kesan mendalam kepada kami sekeluarga.

"Malah gangguan daripada 'belaannya' masih menghantui kami sehingga saya sendiri pergi berubat bagi memulihkan semangat dan mengelak daripada sebarang gangguan.

"Alhamdulillah, selepas tiga tahun, keadaan semakin reda dan semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain