suria

Puas cari, wanita pelik entah dari mana jeritan si bulus... tiba-tiba bau busuk pula dalam bilik, mungkinkah sebab gangguan waktu senja

Bau busuk menusuk ke dalam hidung ketika masuk ke dalam bilik.

JAUH Rozita mengelamun sementara menunggu solat Isyak, malah telekung yang dipakai ketika sembahyang Maghrib tadi masih belum dilepaskan.

Tetapi lamunannya terganggu apabila terdengar jeritan anak kucing daripada luar rumah yang membuatkan Rozita tercari-cari arah suara si bulus itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini orang atau apa sebenarnya?” - Pemuda terkejut ada kelibat dalam gambar pegang tangan kekasih di kebun getah

Rasa kasihan mula terbit dalam dirinya apatah lagi ketika itu hujan sedang turun dan fikirnya mungkin anak kucing itu bersendirian dan terpisah daripada ibunya.

"Saya capai lampu suluh dan keluar mencari anak kucing itu... Dengar ia menjerit dari dalam parit seberang rumah dan saya suluh ke arah bunyi jeritannya.

"Tetapi yang peliknya, apabila saya suluh lampu ke arah suara yang kedengaran, tidak pula kucing itu menjerit dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk masuk ke rumah memandangkan sedang hujan," katanya.

Bagaimanapun kata Rozita, ketika dia berpusing untuk berjalan ke rumah, dia terdengar suara jeritan anak kucing itu lagi dan bunyi itu betul-betul dalam parit di tepi rumahnya.

Suluh Lampur

Jenuh rozita mencari arah jeritan anak kucing tetapi tidak menemuinya.

Merasakan sesuatu yang tidak kena, Rozita tiba-tiba menggigil namun tetap memberanikan diri untuk kembali ke luar rumah mencari anak kucing itu.

"Puas saya suluh tapi tidak nampak apa-apa pun. Dua kali saya ronda dari hujung ke hujung rumah tetapi tetap tidak jumpa anak kucing itu," imbaunya.

Pelik dengan keadaan itu, Rozita bagaimanapun enggan terlalu memikirkan perkara itu dan kembali ke rumah sebelum ke dapur untuk memberi makan malam kepada dua ekor kucing kesayangannya.

Bau busuk dalam bilik, bulu tengkuk meremang

Selesai tugas memberi kucingnya makan, Rozita kembali ke bilik namun sebaik sahaja membuka pintu, bau busuk yang disifatkan luar biasa menerpa masuk ke lubang hidungnya.

Sukar dia menggambarkan bau itu tetapi ia agak kuat dan berbau busuk malah dia tidak pernah menghidu aroma sedemikian seumur hidupnya.

"Puas saya fikir apa yang menyebabkan bau itu ada dalam bilik saya? Bilik saya bersih, tidak pernah pula saya buang sisa makanan dalam tong sampah bilik atau menyimpan pakaian kotor dalam bilik.

Puas saya fikir apa yang menyebabkan bau itu ada dalam bilik saya?

ROZITA

"Jadi mana datangnya bau pelik dan busuk itu?," soalnya.

Enggan berfikir banyak mengenai perkara itu, Rozita terus ke bilik air untuk mandi apatah lagi dia tadi terkena hujan dan turut mengambil wuduk untuk solat Isyak.

Meskipun rasa ada sesuatu yang pelik berlaku namun melihat reaksi salah seekor kucingnya masuk ke bilik dalam keadaan bersahaja, Rozita merasakan bau itu bukanlah disebabkan gangguan makhluk halus.

"Cookie masuk rileks sahaja, tidak pula ia pandang sana-sini atau berubah sikap, siap tidur lena di atas katil.

"Tetapi ketika saya solat Isyak bulu tengkuk saya asyik meremang, rasa seperti ada sesuatu menjalar di belakang saya. Sepanjang sembahyang saya berdoa dalam hati agar Allah selamatkan saya daripada sebarang gangguan dan malapetaka.

"Selesai solat saya berdoa dalam suara yang kuat dan tegas agar sesiapa bukan penghuni rumah ini kehadirannya tidak dialu-alukan dan tidak mendapat keizinan saya. Sekiranya berdegil saya akan panggil orang untuk menghalaunya," katanya.

Kucing Tidur

Kucingnya nyenyak tidur seperti tiada apa-apa berlaku.

Rozita turut menyudahkan doa itu dengan bacaan al-Fatihah, 3 Qul sebelum menghembus ke arah biliknya dan bau itu beransur-ansur hilang selepas itu.

Terfikir penyebab bau busuk

Sebelum tidur pada malam itu, Rozita cuba mengenang kembali apa menyebabkan dia menerima gangguan itu dan mula teringat ketika dia keluar mencari arah jeritan kucing, waktu itu masih senja.

Rozita teringat pesanan ibunya, sekiranya keluar rumah pada waktu senja, jangan terus masuk ke rumah. Sebaik-baiknya, duduk di luar sebentar dan baca surah tertentu sebagai pelindung sekiranya ada benda mengikutinya untuk masuk ke dalam rumah.

"Saya pula ketika keluar tidak fikir lain, hanya ingin selamatkan kucing dan terus masuk ke dalam rumah selepas itu.

"Baca Bismillah dan memberi salam sebelum melangkah masuk ke rumah pun tak... Mungkin ada benda ikut saya masuk dan menyorok di dalam bilik," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain