suria

Sakit belakang dialami budak 10 tahun ini bukan biasa-biasa, cubaan berubat punca Rayyan berubah... kata ustaz ada yang 'menumpang' kerana dendam

TAK senang hati Rahayu mendengar perkhabaran anak saudara kesayangannya sudah beberapa hari mengadu sakit seperti ada sesuatu mengepit belakang badannya.

Sudah pelbagai cara dilakukan untuk menghilangkan rasa sakit itu tetapi semuanya tidak berhasil hingga menyebabkan dia merasakan ada sesuatu tidak kena dengan kanak-kanak lelaki itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Padah bertenggek di pintu gerabak kereta api di tengah malam, pemuda seram sejuk nampak kelibat makhluk berwajah buruk dalam semak... tiba-tiba ia ada di tingkap!

Rahayu cuba meneliti gambar belakang badan Rayyan, 10, yang dihantar kakaknya dengan harapan dapat mengesan sesuatu tetapi gagal, cuma dia merasai tenaga yang cukup kuat ketika menatap foto itu.

"Saya sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan hanya melihat gambarnya, 'tenaga' pada foto itu luar biasa, perlu berdepan denga gangguan bukan perkara main-main," katanya.

Resah mengenangkan anak saudaranya itu, Rahayu bergegas ke rumah kakaknya untuk memeriksa sendiri bahagian yang dikatakan sakit sebelum meletakkan tapak tangannya ke badan kanak-kanak tersebut.

"Dengan bacaan Bismillah, saya mula berdoa memohon Allah merungkai jawapan dan seperti biasa tangan saya bagaikan mempunyai magik dan seolah-olah bergerak sendiri mencari bahagian mana harus saya tekan bagi mencari punca kesakitan Rayyan.



Keadaan Rayyan sangat membimbangkan.

"Jari-jemari saya menari laju... menekan titik-titik yang hanya 'dia' tahu. Tak cukup satu, tangan saya sebelah lagi membantu. Seperti ada sesuatu mengganggu tubuhnya!," katanya.

Rahayu tersenyum apabila melihat Rayyan mula menunjukkan reaksi ketika badannya dipegang dan diurut - dia mula menundukkan kepala dan tiba-tiba bertukar menjadi pendiam walaupun pada awalnya mulutnya tak henti-henti memberitahu sakit setiap kali badannya ditekan.

Itu katanya tanda 'benda' yang menumpang di dalam badannya sedang menahan marah. Semakin laju tangan Rahayu memicit sambil menyelit antara sendi dan tulang.

Dia kemudian memeluk kepala Rayyan dan menggosoknya dari belakang kepala ke arah depan melalui muka... Rayyan mula mendengus dan tiba-tiba memarahi sepupunya yang sedang bermain di hadapannya.

"Saya lepaskan kerana 'dia' sudah mula menunjukkan rupa sebenar dan inilah yang menyakiti anak saudara saya," ceritanya.

Selepas melihat Rayyan seperti tidak dirinya, Rahayu meminta kakaknya mengambil segelas air sebelum membaca ayat al-Quran dan kemudiannya diberikan kepada kanak-kanak itu.

Belum sempat dia memberikan air itu kepada Rayyan, kanak-kanak itu tiba-tiba terhoyong-hayang sebelum rebah di atas sofa.

“Saya cuba bangunkan Rayyan yang dalam keadaan mamai dan cuba menyuap air tetapi pandangannya kosong. Selepas minum air yang diberikan Rayyan tiba-tiba tersedar dan menangis teresak-esak, memberitahu dia takut... wajahnya pucat,” ceritanya.

Tidak lama selepas itu kanak-kanak itu kembali pengsan sebelum terbangun semula, mula mengeluarkan suara yang kasar dan minta dilepaskan.

Cubaan memegangnya juga tidak berjaya apabila Rayyan seperti mempunyai kekuatan luar biasa untuk melawan sehingga tangan Rahayu lebam akibat dicengkam anak saudaranya itu.

"Saya tidak tahu apa yang merasukinya tetapi dia seperti berubah menjadi orang yang lain... tidak membuang masa, kami terus memanggil ustaz yang tinggal di rumah sebelah untuk melihat keadaannya.



Dendam punca ada orang khianat kepada keluarga Rayyan.

"Pelbagai cara dilakukan untuk memulihkan keadaannya tetapi tidak berjaya namun ustaz dapat bertanya tentang latar belakang 'benda' yang masuk menumpang di dalam badannya.

"Makhluk itu tidak mahu keluar kerana diarahkan tuannya untuk terus 'tinggal' di dalam badan Rayyan kerana dendam dengan salah seorang ahli keluarga kami, tetapi tidak diberitahu siapa," ceritanya.

Selepas pelbagai cubaan, ustaz akhirnya berjaya mengeluarkan 'benda' itu daripada badannya namun keadaan Rayyan lemah dan badannya terdapat kesan lebam terutamanya di bahagian belakang tempat dia mengadu berasa sakit seperti dikepit.

Kata ustaz, makhluk itu berpaut pada bahagian belakang kanak-kanak itu yang menyebabkan dia berasa sakit.

"Hampir seminggu Rayyan lemah tidak bermaya tetapi Alhamdulillah keadaannya beransur pulih... cumanya dia trauma dan seperti tahu dan nampak apa benda yang menganggunya sebelum ini.

"Kami juga tidak dapat jawapan punca benda itu dihantar kepada Rayyan dan ingin menyeksanya, tetapi menganggap ia dugaan buat kami sekeluarga," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain