suria

Tiba senja ada sesuatu berlari di bumbung, mata ibu terbeliak sebelum menjerit ketakutan... seksa disihir keluarga sendiri kerana harta pusaka!

Bukan sahaja sihir, individu yang berdendam turut menaman kain kuning di luar pagar rumah Firdaus. - Gambar Sekadar Hiasan

BUNTU seorang anak mengenangkan nasib ibunya yang terlantar di katil seperti mayat hidup sejak beberapa bulan lalu disebabkan perbuatan khianat ahli keluarganya sendiri.

Sudah pelbagai pakar perubatan Islam yang ditemui Firdaus Mohd Fattah, 39, untuk merawat ibu tersayang akibat sihir namun pulihnya cuma sekejap sebelum kembali sakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Teka-teki banglo sewa RM100 terjawab! Penyewa dihempap, makhluk budak perempuan tunjuk diri selepas anak patung dibuang

Setiap kali kembali sakit, keadaan ibunya bertambah teruk dan kini warga emas itu hanya mampu terbaring di katil, tidak berdaya untuk bergerak.

Nafasnya tercunggap-cunggap, matanya sentiasa terbeliak memandang ke arah siling seperti ketakutan memandang sesuatu.

"Begitulah keadaan ibu sejak beberapa bulan sebelum ini, sayu hati saya melihat keadaannya. Usianya pun bukan muda dan apa yang perlu ditanggungnya tidak sepatutnya berlaku.

553

Bukan sekali tetapi setiap kali ibunya kembali pulih, individu berkenaan kembali menghantar sihir kepadanya.

"Sudah beberapa ustaz memberitahu sihir yang terkena pada ibu adalah perbuatan orang terdekat kami," katanya.

Imbau Firdaus, ketika berubat dengan salah seorang ustaz, ibunya tiba-tiba dirasuk oleh sesuatu dan meminta rawatan dihentikan kerana ia tetap akan kembali.

Malah 'pengantara' itu memberitahu apa dialami ibunya kerana keceluparan mulutnya menasihati salah seorang saudara mereka tentang pengurusan harta pusaka.

"Mendengarkan perkara itu, jadi saya terus tahu siapakah dalang di sebalik penderitaan yang berlaku pada ibu saya.

"Saya tidak sangka nasihat yang diberikan dipandang serong sehingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu berulang kali dan paling menyedihkan individu itu adalah saudara rapat kami.

Pengalaman yang tak dapat saya lupakan apabila 'benda' itu cuba memasuki badan saya atas arahan penghantar sihir melalui pengantaranya.

FIRDAUS MOHD FATTAH

"Nasihat diberikan ibu bukan kerana ingin membolot harta pusaka tetapi sekadar menasihatkan agar ia diuruskan dengan cara paling berhemah dan menurut perintah agama, itu sahaja," jelasnya.

Pulih sekejap, sihir semakin ganas!

Firdaus memberitahu keadaan ibunya akan pulih selepas mendapat rawatan membuang sihir namun keadaan itu tidak akan kekal lama seperti dapat dihidu oleh pihak tersebut.

Peliknya katanya, selepas membuang sihir, keadaan ibunya akan pulih seperti sedia kali walaupun keadaannya sebelum itu seperti menanti ajal.

"Apabila ibu sakit, dia akan meracau apabila tiba waktu senja, badannya seperti terbakar dan ada masa-masanya akan ada 'benda' merasuk dirinya.

"Apabila benda itu merasuk dirinya, ia akan menyampaikan pelbagai pesanan daripada pihak satu lagi sehinggakan sanggup mengugut untuk membunuh dan menyihir ahli keluarga yang lain," katanya.

1500310

Gangguan demi gangguan diterima Firdaus sekeluarga hanya disebabkan rasa tidak puas hati.

Tidak cukup dengan itu, Firdaus berkata, dia beberapa kali terjumpa beberapa benda seperti jarum, rambut, kuku dan patung kecil yang dibungkus di dalam kain kuning yang ditanam di luar pagar rumahnya.

Lebih menyeramkan, setiap kali tibanya waktu senja, seperti ada sesuatu yang berlari di atas bumbung rumahnya dan mata ibunya akan melilau dan menjerit ketakutan seperti ternampak sesuatu.

"Pada awalnya ibu hanya sakit-sakit biasa tetapi selepas berubat, sihir yang kembali lebih kuat dan bertambah ganas... Sebagai seorang anak sudah tentu saya tidak sanggup melihat keadaannya begitu," katanya.

Seminggu berubat di utara tanah air, diri sendiri hampir dirasuk!

Namun kata Firdaus, pertemuan dengan salah seorang ustaz di utara tanah air telah mengubah keadaan apabila rawatan dilakukan berjaya memulihkan keadaan ibunya.

Pun begitu, rawatan yang berlangsung selama hampir seminggu itu penuh dengan perkara mendebarkan sehingga dia sendiri pernah jatuh pengsan apabila pengantara sihir itu cuba menyerang dan memasuki tubuhnya.

553 (1)

Meskipun keadaan ibunya semakin pulih namun mereka sekeluarga masih menerima gangguan.

"Ia barangkali pengalaman yang tak dapat saya lupakan apabila 'benda' itu cuba memasuki badan saya atas arahan penghantar sihir melalui pengantaranya.

"Saya pengsan hampir setengah jam sebelum berjaya dipulihkan oleh ustaz dan benda itu tidak berjaya memasuki badan saya.

"Paling penting ustaz berjaya menangkap makhluk itu dan membuat perjanjian dengannya agar tidak mengganggu ibu saya lagi," katanya.

Firdaus berkata, ibunya yang sebelum itu lemah tak berdaya dan kulitnya kelihatan kusam beransur pulih dan mendapat kembali seri wajahnya.

"Buat masa sekarang kami masih berjumpa dengan ustaz tersebut untuk rawatan susulan kerana tidak mahu benda itu kembali menyerang ibu saya.

"Kejadian pelik masih berlaku termasuk gangguan tetapi paling penting, ibu saya dapat bertahan daripada kembali di sihir," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain