SUDAH seminggu bau busuk yang entah datang dari mana menusuk hidungnya sehinggakan membuatkan berada di dalam rumah sendiri berasa tidak selesa. Paling menyeramkan kata Khairy Ariffin, 25, bau itu bertambah teruk pada tengah malam terutamanya apabila dia berada di dalam biliknya.ARTIKEL BERKAITAN: Tiba senja ada sesuatu berlari di bumbung, mata ibu terbeliak sebelum menjerit ketakutan... seksa disihir keluarga sendiri kerana harta pusaka! Jenuh dia memeriksa sekitar rumahnya, takut-takut ada bangkai haiwan yang mati tetapi tiada yang mencurigakan ditemui. Khairy pernah melihat kelibat di tingkap bilik tidurnya. "Masuk sahaja bilik tidur, akan terbau benda busuk, seperti bangkai haiwan. Jenuh saya periksa tetapi tidak jumpa apa-apa yang pelik. "Tetapi bau itu datang dari satu arah yang sama iaitu dari tingkap bilik dan apabila tingkap dibuka untuk saya periksa, bau itu hilang pula," katanya. Khairy berkata, dia merasakan bau itu ada kena mengena dengan kejadian misteri yang berlaku di rumahnya. Ini kerana beberapa hari sebelum itu, dia sering terlihat ada kelibat hitam yang samar-samar di sebalik langsir tingkap. "Pada suatu malam, lebih kurang pukul 3 pagi, saya baru hendak tidur dan ke bilik air terlebih dahulu. Tetapi sejurus saya masuk, bulu roma terus meremang. Tapi saya bersyukur kerana setakat ini hanya diganggu dengan bau busuk dan sesekali ia memunculkan diri tetapi tidak pernah berlaku sebarang kejadian buruk seperti dirasuk dan sebagainya. KHAIRY ARIFFIN "Apabila saya pandang ke arah tingkap bilik air, saya terpandang ada sesuatu sedang mengintai dan saya beranikan diri memandang tepat ke arah kelibat itu namun ia terus menghilangkan diri," ceritanya. Entah dari mana keberanian yang datang dalam dirinya, Khairy menceritakan dia keluar untuk memeriksa keadaan sekeliling rumahnya dan tidak melihat sebarang petanda kehadiran makhluk itu. "Tetapi darah saya terus berderau apabila rasa ada sesuatu menyentuh bahu ketika hendak masuk ke dalam rumah dan membuatkan saya tersentak dan tidak mampu bergerak."Saya kuatkan semangat untuk tidak mempedulikan apa yang berlaku dan terus masuk ke dalam rumah," katanya. Bau busuk yang dihidu seolah-olah mengekorinya. Khairy berkata, sehingga ke hari ini dia masih diganggu dengan bau busuk itu yang adakalanya bertukar menjadi bau seperti stoking busuk. Katanya, bau itu seolah-olah sentiasa mengekorinya sehingga membuatkan dia buntu dengan keadaan itu. "Tapi saya bersyukur kerana setakat ini hanya diganggu dengan bau busuk dan sesekali ia memunculkan diri tetapi tidak pernah berlaku sebarang kejadian buruk seperti dirasuk dan sebagainya," jelasnya. Tidak tahu punca gangguan itu, Khairy bagaimanapun memberitahu menerusi perkongsian rakan-rakan, ramai percaya ada sesuatu yang sedang 'mendekatinya' dan bau busuk tersebut adalah tanda ia berada di sekitarnya. "Setakat ini ada beberapa kali saya berjumpa ustaz untuk memulihkan keadaan tetapi nampaknya masih ada gangguan dan bau busuk yang menusuk hidung dari masa ke semasa," ujarnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI