suria

Mimpi dipatuk ular ketika hamil, terkam suami selepas bersalin... puncanya ada makhluk kiriman sihir pemisah menyorok di dapur rumah

Nur Hidayah tidak menyangka ada orang yang menghantar sihir pemisah kepadanya dan suami.

SELEPAS enam tahun berkahwin akhirnya, Nur Hidayah cukup gembira apabila disahkan hamil anak kedua meskipun berasa agak bimbang mengandung dalam suasana pandemik.

Dirinya sentiasa berasa gelisah kerana bimbang dijangkiti Covid-19 sehinggalah pada suatu hari wanita itu berasa tidak sedap badan.

ARTIKEL BERKAITAN: Asal masuk bilik tidur bau bangkai, berderau darah terasa kelibat hitam sentuh bahu... pemuda buntu ada sesuatu mahu 'mendekatinya'

Fikirnya dirinya telah dijangkiti wabak itu namun selepas beberapa kali membuat ujian hasilnya tetap negatif namun rasa tidak sedap badan masih menyelubungi dirinya.

Pengalaman mengandungkan anak sulungnya juga tidak seperti ini dan Nur Hidayah mula berasa pelik dengan keadaan dirinya.

"Apa yang lebih pelik, setiap malam saya akan mimpi benda sama... saya berada di dalam sebuah kebuh getah yang sangat luas dan dipenuhi ular hitam berbisa.

"Dalam mimpi itu, saya dipatuk di bahagian kaki dan leher. Setiap kali terjaga, saya akan berpeluh satu badan dan berasa tidak sihat," katanya.

553

Nur Hidayah sering melihat kelibat di dalam rumahnya.

Benci tengok suami sendiri, kelibat hitam munculkan diri

Pun begitu, Nur Hidayah memberitahu dia selamat melahirkan anak keduanya tanpa sebarang masalah pada penghujung 2020 dan tiada lagi mimpi buruk dialaminya.

Tetapi entah mengapa, dia mula berasa benci melihat wajah suaminya sendiri dan berasa serba tidak kena setiap kali lelaki itu menghampirinya.

"Saya tidak tahu mengapa perasaan itu berlaku tetapi saya fikir mungkin disebabkan saya sedang berpantang dan perubahan hormon dalam badan.

"Saya memang langsung tak boleh pandang wajah suami... rasa benci dan meluat setiap kali melihat kelibatnya di hadapan saya. Mujur suami faham dengan keadaan saya yang sedang berpantang," ceritanya.

Apa membuatkan dia mula terfikir ada sesuatu tidak kena apabila dia mula melihat kelibat hitam di dalam rumahnya terutamanya apabila dia bersendirian di dalam bilik.

Saya meracau sehingga empat orang lelaki pegang pun saya masih berjaya lepaskan diri membuatkan semua di dalam rumah ketakutan melihat saya.

NUR HIDAYAH

Pada awalnya Nur Hidayah cuba tidak mengendahkan perkara itu kerana kisah seram di taman perumahannya bukan perkara baharu namun mula berasa ada sesuatu tidak kena apabila kerap diganggu dengan 'kemunculan' kelibat tersebut.

"Lima tahun saya duduk di kawasan ini, Alhamdulillah belum pernah lagi saya dan keluarga menerima sebarang gangguan meskipun sudah banyak cerita daripada jiran-jiran mengenai perkara mistik di sini," ujarnya.

Tidak cukup dengan memunculkan diri, Nur Hidayah mendedahkan apabila sedang dia sedang leka melakukan sesuatu atau sedang tidur, dia sering terdengar ada seseorang menyeru namanya.

Setiap kali perkara itu berlaku, bulu romanya akan meremang kerana seruan itu seolah-olah dibisik di tepi telinganya.

"Bila hendak lelapkan mata, ada seseorang panggil nama... Saya cuba buat tak tahu tetapi lagi saya berdiam diri, suara itu semakin jelas dan dekat seperti di tepi telinga," katanya.

1500310

Gangguan diterima telah membuatkan hidupnya kucar-kacir.

Dirasuk sehingga terkam suami sendiri, sihir pemisah jadi punca

Sehingga pada satu malam, Nur Hidayah berkata, dia dirasuk oleh sesuatu sehingga hilang kawalan dan tidak dapat ditenangkan oleh suaminya.

"Bayangkan saya nak terkam suami sendiri dan apabila ibu mentua dan adik ipar datang, saya dalam keadaan tidak sedar turut menyerang mereka berdua.

"Adik ipar yang panggil seorang ustaz datang ke rumah juga mengambil masa selama dua jam sebelum dapat memulihkan saya daripada terus dirasuk oleh makhluk halus.

"Kami sendiri tidak tahu apa puncanya tetapi kata ustaz saya terkena buatan orang iaitu sihir pemisah... apabila saya kenangkan perasaan benci terhadap suami, mungkin ada betul apa diberitahu ustaz," jelasnya.

Kembali dirasuk, ustaz beritahu ada ramai 'orang' dalam rumah

Selepas kejadian itu, Nur Hidayah berkata, dia dan suami bersepakat untuk mendapatkan rawatan Islam selain 'membersihkan' rumah mereka daripada sebarang anasir jahat.

Tidak sempat ustaz datang ke rumah untuk proses rawatan, kata Nur Hidayah dirinya tiba-tiba dirasuk betul-betul ketika masuk waktu senja dan meracau seperti orang gila.

1500308

Salah satu makhluk yang merasuknya mendakwa ia tidak berniat jahat malah menjaga anak-anaknya.

"Kebetulan ustaz tidak jadi datang kerana ada urusan kecemasan, keadaan saya jadi luar kawalan sehingga saya mencekik ibu sendiri yang turut berada di rumah.

"Saya meracau sehingga empat orang lelaki pegang pun saya masih berjaya lepaskan diri membuatkan semua di dalam rumah ketakutan melihat saya," katanya.

Tidak menunggu lama, suaminya meminta ustaz lain datang ke rumah dan mula berinteraksi dengan makhluk yang merasukinya.

Dalam perbualan itu, makhluk itu memberitahu tidak pernah mengganggu Nur Hidayah sebaliknya ada benda lain yang menyorok di bahagian dapur yang cuba merosakkan rumah tangganya.

"Menurut cerita suami, makhluk itu beritahu sudah lama tinggal di rumah kami tetapi tidak pernah mengganggu malah sering menjaga anak-anak kami.

"Dia minta jangan dihalau sebaliknya minta tangkap makhluk yang menyorok di bahagian dapur.

"Selepas dipujuk dan ustaz membacakan ayat al-Quran, makhluk itu bersetuju dipindahkan dan keadaan saya kembali pulih," katanya.

Namun apa membimbangkan kata Nur Hidayah, ustaz tersebut memberitahu ada ramai 'orang' di dalam rumahnya dan proses memulihkan rumah itu perlu dibuat beberapa kali.

"Dalam proses seterusnya ustaz pernah terjumpa bungkusan kuning yang terdapat rambut dan jarum di dalamnya iaitu tanda ada seseorang cuba menghantar sihir kepada kami sekeluarga.

"Sehingga kini saya masih berubat untuk memulihkan semangat dan cuba bersihkan rumah kami daripada anasir-anasir jahat," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain