suria

Peniaga terima parcel berdarah, bunjut kuning... Mula episod diganggu haiwan berbisa! Pakcik jubah putih pula muncul tiba-tiba

Parcel berdarah yang diterima Sya.

HARI itu terasa sangat pelik, perasaan melihat pekerja kurier penghantaran datang ke rumah tidak seperti kebiasaan.

Kali ini perasaan tanda tanya menebal dalam hati.

“Kenapa ada dua bungkusan?” gumam Syafiqah dalam hati selepas melihat parcel yang ditinggalkan pihak kurier pagi itu.

Barang yang ditempah secara online bukanlah banyak dan besar.

Enggan terus berfikir panjang, wanita berusia 25 tahun yang mesra dipanggil Sya terus membuka kedua-dua bungkusan berkenaan.

Bungkusan pertama adalah barang yang dipesannya beberapa hari lalu dan sama seperti nombor tracking yang diberikan penjual.

ARTIKEL BERKAITAN: Penghuni asrama histeria, pocong ikut solat Maghrib! Pelajar menjerit, menggelupur tengok wajah hitam berbungkus

ARTIKEL BERKAITAN: Entiti bayi merangkak, kelibat hitam dirakam CCTV! Bukan disihir tapi premis jadi ‘laluan’ makhluk halus

Namun bungkusan kedua kelihatan sangat aneh kerana hanya nama dan alamatnya sahaja tertera manakala ruangan alamat pengirim kosong berbeza daripada kebiasaan ketika membeli barang secara atas talian.

Pun begitu, Sya tetap membuka kerana ingin mengetahui isi kandungan di dalamnya.

Sejurus dibuka, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati bahagian dalam bungkusan itu dipenuhi darah!

Bungkusan tanpa nama pengirim dipenuhi darah.

Bungkusan tanpa nama pengirim dipenuhi darah.

Bau busuk dan hanyir darah serta merta memenuhi ruang tamu rumahnya.

Di sebalik darah, turut terselit bunjut berwarna kuning.

Meskipun berasa seram dan takut kerana bersendirian di rumah, dia tetap membuka ikatan bunjut berkenaan dalam keadaan tangan menggigil.

Sekali lagi Sya terkejut melihat kandungan di dalam bunjut kerana kelihatan seperti serangga beserta ranting kayu kering.

Badannya mula terasa lemah dan panas.

Bimbang keadaan lebih teruk berlaku, dia kemudian keluar rumah dan cuba mencari bantuan.

Tanpa disangka, kelihatan seorang pakcik tua duduk bersendirian di kawasan parkir motosikal berhampiran rumahnya.

Sya menghampiri pakcik berjubah putih berkenaan yang dilihatnya sangat alim dan mempunyai rupa paras bersih lembut.

Menceritakan setiap yang berlaku, pakcik tersebut kemudian melihat bungkusan yang dibawa Sya dan mengamati setiap kandungannya.

Bunjut kuning yang diterima mengandungi serangga dan ranting kering.

Bunjut kuning yang diterima mengandungi serangga dan ranting kering.

Lantas dia menyatakan bahawa darah yang diisi dalam bungkusan tersebut adalah darah haiwan dan bertujuan untuk menakut-nakutkan Sya.

Bagi Sya, tindakan pakcik tersebut mungkin kerana tidak mahu dia berasa takut dan bersangka buruk.

“Pakcik cakap yang dia akan uruskan semuanya dan ambil bungkusan tersebut. Dia ada cakap yang Sya akan demam kerana buka dan sentuh bunjut kuning tu.

“Pada masa sama, dia ajar Sya cara untuk rawat diri seperti cuci tangan dan mandi dengan air garam sambil membaca ayat al-Quran yang diberikan,” katanya ketika dihubungi mStar.

Apa sahaja yang saya masak mudah basi, sedangkan sebelum ini tiada masalah seperti itu.

SYA

Tidak berlengah, Sya melakukan ’rawatan’ seperti yang diajar pakcik tersebut.

Apabila selesai, dia yang berniaga secara online ingin berjumpa semula dengan pakcik berkenaan tapi malangnya kelibat warga emas itu sudah tiada.

Sangkaan bahawa tiada kejadian aneh akan berlaku terhadapnya akibat bungkusan berdarah itu meleset sama sekali.

Sya dan suaminya demam beberapa hari, malah kaki dan pahanya dipenuhi lebam seperti digigit.

“Lagi pelik adalah rumah yang dihuni lebih tiga tahun ini ‘diganggu’ haiwan berbisa seperti ular dan lipan... bukan sahaja di ruang belakang rumah tetapi turut kelihatan dalam bilik air dan jamban.

Sya berniaga online dan sering melakukan siaran langsung.

Sya berniaga secara online dan sering melakukan siaran langsung di platform media sosial.

“Apa sahaja yang saya masak mudah basi, sedangkan sebelum ini tiada masalah seperti itu,” ujar anak jati Bukit Bunga, Kelantan yang kini menetap di Gombak, Selangor.

Disebabkan bimbang keadaan lebih buruk, dia dan suami berjumpa dengan beberapa ustaz yang mengamalkan perubatan Islam.

“Sya ceritakan setiap yang berlaku dan kewujudan pakcik berjubah putih kepada ustaz yang ditemui.

“Mereka cakap yang Sya bertuah kerana berjumpa dengan pakcik tersebut dan berkemungkinan pakcik itu sedang ‘proses’ bungkusan berkenaan bagi membantu.

"Sebab itu segala binatang berbisa keluar di sekitar rumah,” katanya sambil menambah keadaan berlarutan sehingga beberapa hari.

Selepas hampir seminggu, Sya didatangi pakcik terbabit menerusi mimpi dan dia sekadar meninggalkan pesan supaya merapatkan diri dengan Allah.

Susulan daripada mimpi itu, Sya dan suami kembali pulih malah keadaan pelik yang dialami sepanjang tempoh singkat itu hilang sepenuhnya.

Pun begitu, Sya masih tertanya-tanya tentang pengirim misteri bungkusan berdarah kerana dia bukanlah individu ramah yang mempunyai ramai kawan melainkan pelanggan bisnes sahaja.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain