suria

Badan kembung seperti belon, air bisa bau hanyir meleleh apabila dipegang... Jururawat imbas saat urus mayat mangsa sihir

Sihir yang dikenakan kepada Uncle membuatkan dalaman tubuhnya 'membusuk'.

PENGALAMAN menguruskan seorang pesakit warga emas berbangsa Cina yang satu ini tidak mungkin dilupakan jururawat dikenali sebagai Miss Mira.

Kata Miss Mira ketika memulakan bicara, dia pada mulanya tidak percaya pesakit berkenaan terkena buatan orang atau sihir.

Namun ujar Miss Mira, situasi di depan mata mengubah persepsi bahawa amalan jahat seperti itu berlaku tanpa mengenal kaum atau agama.

Menggelar pesakit yang dirawat sebagai Uncle, ujarnya, warga emas terbabit dimasukkan ke wad dalam keadaan yang sangat teruk.

Badannya membengkak seperti belon, tangan kiri dan kanan pula sudah dipotong daripada paras siku.

Pun begitu, Miss Mira tidak mengetahui punca kenapa kedua-dua tangan Uncle terbabit dipotong.

Amalan sihir tidak terhad kepada masyarakat Melayu semata-mata.

Jauh dilubuk hati, dia tidak yakin ‘kehilangan’ anggota tersebut disebabkan penyakit diabetes.

Lebih menyedihkan apabila sepanjang kemasukan dia ke wad, tiada siapa yang datang melawat di hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga terima parcel berdarah, bunjut kuning... Mula episod diganggu haiwan berbisa! Pakcik jubah putih pula muncul tiba-tiba

Sepanjang tempoh rawatan, keadaan Uncle semakin hari semakin merosot.

Menurut Miss Mira, keadaan yang dialami itu digelar sebagai poor prognosis.

Pegang badan Uncle serupa aku pegang span basah... baru pegang tangan, air dah meleleh.

MISS MIRA

Mungkin kerana Uncle berkenaan sudah lama menderita, dia kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital.

Sihir yang dikenakan keadaannya tidak terhenti begitu saja.

Badannya mula mengeluarkan air bisa yang berbau busuk dan hanyir setiap kali dipegang.

Cabaran menguruskan mayatnya sangat dirasai, malah mengambil masa yang sangat lama.

Uncle akhirnya meninggal dunia akibat daripada sihir yang dialaminya.

Uncle akhirnya meninggal dunia akibat daripada sihir yang dialaminya. -Foto hiasan

“Urusan mayatnya sangat mencabar, memang sangat lama nak diuruskan.

“Kenapa aku cakap mencabar, mana taknya pegang badan Uncle serupa aku pegang span basah... baru pegang tangan, air dah meleleh.

“Aku tak tahu dari mana air tu datang. Tapi apabila sentuh sahaja badan Uncle memang akan mengeluarkan air bisa yang hanyir dan busuk dengan banyaknya,” luah Miss Mira mengimbas pengalaman menguruskan mayat yang disihir.

Disebabkan keadaan yang teruk itu, dia terpaksa menampal kapas memenuhi badan Uncle bagi mengelakkan kain yang membalutnya basah sehingga airnya meleleh ke bekas mayat.

Malah, tiga keping kain putih digunakan untuk membalut mayat Uncle sedangkan kebiasaannya hanya sehelai kain putih sudah memadai.

Seusai menguruskan mayat, Miss Mira dikejutkan dengan kehadiran isteri Uncle yang mahu menuntut tubuh kaku itu.

Namun dia hadir tanpa ditemani sesiapa, dan riak wajahnya nampak tenang sahaja.

Menurut Miss Mira, perkara yang tidak dapat dilupakan adalah kata-kata isteri Uncle yang sayu dan menyedihkan.

Dia turut mengucapkan terima kasih kerana membantu menguruskan mayat suaminya sambil berkata ‘sudah lama dia menderita sakit... ada orang buat bagi dia sakit. Biarlah dia mati daripada tanggung sakit.’

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain