suria

Tirai mandi ditarik, ada bunyi air dibancuh! Misteri di bilik hotel terjawab, wanita bergaun putih akhirnya tunjuk diri dalam cermin

Seorang pramugari berdepan pengalaman penuh misteri di sebuah hotel di Borneo. -Gambar hiasan

BERKUNJUNG ke luar negeri atas tujuan kerja biasanya memerlukan seseorang itu untuk menginap di hotel.

Bagaimanapun tidak dapat dinafikan hotel amat sinonim unsur mistik atau gangguan terutamanya tempat penginapan yang sudah usang atau terbiar kerana dimamah usia.

Begitulah kisah Fiza (bukan nama sebenar) apabila dia diganggu oleh jembalang yang muncul di cermin bilik hotelnya.

Hotel usang seperti sudah menjadi 'rumah' entiti paranormal. -Gambar hiasan

Insiden bermula apabila Fiza yang bekerja sebagai pramugari ditugaskan untuk menyelia satu penerbagan ke sebuah daerah di Borneo yang enggan dinamakan secara khusus.

"Saya mengemas beberapa helai seragam dan beberapa peralatan dandanan diri. Minyak wangi Escape By Calvin Klein disembur ke nadi dan harumannya menyebar ke seluruh ruangan bilik tidur saya, wangi semerbak.

"Hari ini saya perlu ke satu bandar yang terletak di Borneo. Saya menunggu van yang telah disediakan oleh pihak penerbangan untuk menjemput dan menghantar pulang anak kapal seperti saya.

"Saya kena report duty pada pukul 6.30 pagi. Akhirnya pengangkutan yang ditunggu tiba, kelihatan suluhan lampu van dari kejauhan. Saya memberi salam secara lembut ke arah pemandu van.

"DI dalam van ada juga First Officer dan seorang pramugara. Saya menyapa juga mereka berdua secara lembut," ujar Fiza membuka cerita.

hantu 2

Tempat penginapan Fiza di Borneo dirasakan seperti ada aura yang meremangkan bulu roma. -Gambar hiasan

Fiza akhirnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mula membuka langkah ke arah pintu perlepasan dalam negeri.

"Sebelum ke Borneo saya ada beberapa destinasi yang saya perlu pergi dahulu. Aliran penerbangan saya pada masa itu ialah Kuala Lumpur-Alor Setar, Alor Setar-Kuala Lumpur, Kuala Lumpur-Kuantan, akhirnya Kuantan-bandar Borneo.

"Saya berada di bandar Borneo selama satu hari sahaja kerana keesokan harinya saya ada destinasi lain yang perlu dikejar.

"Setelah mendapat bilik hotel, kumpulan kru saya seramai tujuh orang pergi ke bilik masing-masing. Kami dapat bilik seorang satu. Saya juga ada berjanji dengan Emma iaitu rakan sepenerbangan saya untuk makan malam bersama.

"Selepas makan di restoran yang terletak tidak jauh dari hotel kami, kami segera pulang ke bilik kerana ingin berehat setelah penat seharian di udara melayan bermacam ragam kerenah penumpang," luah Fiza.

Keadaan hotel Fiza seperti ada sesuatu yang tidak kena. -Gambar hiasan

Malangnya malam tersebut menjadi satu malam yang cukup panjang untuk Fiza kerana dia ditemani 'rakan' dari alam ghaib.

"Saya apabila sampai di bilik terus pergi mandi dulu. Pili paip diputar dan pancuran air panas dari atas kepala menghujani saya, sangat menyegarkan. Saya mandi dalam bathtub.

"Bathtub itu dipisahkan dengan tirai shower diperbuat dari plastik yang harus ditarik bagi mengelakkan lantai di sekitar bathtub dan ruang mandi basah.

"Tengah asyik saya mandi tiba-tiba terdengar ada orang menarik tirai shower. Saya terus memulas tombol shower bagi mematikan aliran air. Saya mahu lihat siapa pula yang masuk ke dalam bilik saya, pintu tak dikunci ke?

"Terlihat ada bayang orang di sebalik tirai shower jelas kelihatan. Tapi apabila saya menarik tirai, hilang, tiada siapa. Saya cuba sedapkkan hati dengan mengatakan itu bayang-bayang dari tuala barangkali," kata Fiza.

Dari sebalik tirai mandi, Fiza melihat seperti ada seseorang di dalam bilik airnya. -Gambar hiasan

Fiza kemudian segera meneruskan mandiannya kerana dia sudah mengantuk dan ingin melompat serta berselimut di atas katil.

"Saya membalut rambut dengan tuala. Bila rambut dah kering saya menyimpulnya agar selesa nak tidur nanti. Badan dilabuh di atas tilam dan mata pun ditutup perlahan-lahan.

"Tapi ketika sedang separa sedar, saya terdengar bunyi kocakan air, macam orang tengah melagakan sudu pada cawan untuk membancuh teh. Saya mengabaikan bunyi tersebut dan berfikiran ia mungkin dari bilik sebelah.

"Saya biarkan lampu bilik air terbuka agar ada limpahan cahaya sedikit untuk menerangi bilik tidur. Makin gusar saya dibuatnya, bunyi seperti orang sedang mengacau teh itu semakin kuat kedengaran, rasa seram sejuk tiba-tiba.

"Macam betul-betul berada di sebelah telinga saya. Tak boleh biar ni, saya bingkas bangun sebab bunyi tu memang dari dalam bilik ni. Tapi apabila mata saya dah terbuka luas, bunyi tersebut hilang," ujar Fiza buntu.

Bunyi bancuhan air itu datang dari pantri di dalam bilik tidur Fiza. -Gambar hiasan

Fiza lantas mencapai gagang telefon di dalam biliknya untuk bercakap dengan petugas di meja hadapan hotel.

"Saya beritahu receptionist tu saya dari bilik 519, saya tanya kalau bilik sebelah saya ada orang. Tersirap darah saya apabila dia cakap yang kiri kanan bilik saya semua kosong.

"Saya cakap terima kasih dan letak telefon semula, saya cuba positif yang itu mungkin bunyi dari terowong air penghawa dingin. Tapi waktu saya nak pusing ke belakang dari tempat telefon tu, saya perasan sesuatu.

"Tergamam kejap saya, macam nak gugur jantung ni. Di dalam cermin dekat dinding, ada satu susuk wanita bergaun putih sedang melihat ke arah saya. Tajam jelingan dia saya nampak dekat dalam pantulan cermin tu.

"Wanita tu sedang duduk di kerusi dekat meja sambil menghadap cermin, tapi apabila saya tengok kerusi tu sendiri, tak ada siapa pula dekat situ. Wanita itu sedang menyisir rambutnya perlahan-lahan," kata Fiza yang ketakutan.

Lembaga itu hanya kelihatan melalui pantulan seakan-akan ada alam lain di sebalik cermin. -Gambar hiasan

Namun beberapa saat selepas itu, wanita itu terus menghilangkan diri dari pandangan Fiza.

"Ia menghilang, serentak dengan itu juga kerusi merapat ke meja yang berada di hadapan cermin, seolah-olah ada orang menolak kerusi agar rapat kembali ke ruang bawah meja.

"Saya menghidupkan semua lampu di dalam bilik tidur dan buka radio jam di tepi katil. Saya menekan mana-mana frekuensi radio yang bersiaran, walaupun saluran tu menggunakan bahasa tempatan di Borneo yang sukar saya nak fahami.

"Sapa pastikan bilik itu bising agar nanti kalau ada bunyi-bunyi lagi, saya boleh sedapkan hati yang ia datang dari radio.

"Saya terus tidur dan berharap agar cepatlah terbit matahari. Nasib baik semalam je tidur sini," kata Fiza mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain