SEJAK kematian ibu dan bapa sekitar setahun lalu, Aiman tidak lagi pulang ke kampung halamannya di Kulai, Johor. Namun pada awal Jun baru-baru ini anak tunggal itu terbuka hati dan memutuskan untuk balik ke rumah peninggalan arwah yang kian usang kerana tidak dijaga. Memandangkan musim buah-buahan juga sudah tiba, pastinya jejaka bujang ini tidak mahu lepaskan peluang mencari durian kampung untuk dibawa pulang ke rumah sewanya di ibu kota. “Dulu waktu kecil, saya selalu teman abah tunggu buah durian luruh sampai pukul 4 pagi di dusun belakang rumah yang gelap tu. Ada 10 pokok durian, dua pokok manggis dan satu pokok rambutan. “Saya ingat lagi arwah abah pernah cakap dia minta saya ikut sebab takut ada ‘benda lain’ teman dia. Kalau berdua dia berani sikit. Saya tak faham lagi apa maksud dia. “Saya ingatkan abah bergurau saja nak minta anak dia teman. Sampailah baru-baru ni saya ‘terkena’ sendiri. Barulah faham apa yang dimaksudkan abah,” ujarnya. Lelaki ini sudah sekian lama tidak pulang ke kampung halaman sejak kematian ibu bapanya. Aiman yang begitu teruja ingin menikmati durian kesukaannya terus pulang ke kampung selepas habis waktu kerja di Wangsa Maju pada satu petang Jumaat itu. Setelah tiba pada malamnya, tanpa berlengah jejaka ini terus mencapai guni dan lampu suluh di dalam but kereta Perodua Bezza merahnya lalu menuju ke dusun menunggu durian luruh. Sewaktu berjalan melintasi semak samun dipenuhi lalang, angin tiba-tiba dia terasa desiran angin di telinga kiri selain kedengaran bisikan kecil memangil sayup namanya. “Belakang tengkuk rasa meremang macam ada orang perhati. Ada juga terhidu bunga melur kuat sangat tapi ada terbaca di Facebook orang cakap sekarang memang musim bunga tu mekar jadi saya endahkan sajalah. ARTIKEL BERKAITAN: “Ini orang atau apa sebenarnya?” - Pemuda terkejut ada kelibat dalam gambar pegang tangan kekasih di kebun getah “Ada beberapa biji durian sudah luruh, saya terus kutip dan masukkan ke dalam guni dan bawa ke pondok kecil dalam dusun. Masa tengah usung, guni berat tu tiba-tiba jadi makin ringan. Macam ada yang tolong bawa juga. “Jam menunjukkan pukul 2 pagi jadi saya berehat di pondok saja sambil menunggu durian luruh. Mujurlah malam tu bulan mengambang jadi suasana cerah, tak bakar lilin pun. Tengah baring-baring sambil main telefon saya tertidur,” ujarnya. Tiba-tiba Aiman dikejutkan dengan dentumah kuat dari atas bumbung pondok berkenaan. “Dum!” bunyi ‘sesuatu’ jatuh di bumbung pondok. Dusun milik arwah bapa Aiman dipenuhi dengan pokok buah-buahan. -Gambar hiasan Kemudian bunyi tersebut semakin ‘rancak’ seolah-olah sedang bergolek ke depan dan belakang tanpa henti. Dalam keadaan terpinga-pinga Aiman terus menjerkah dengan nada marah kerana dia menganggap bunyi itu datangnya daripada seekor musang atau tupai. “Woi diamlah! Shuh! Saya cuba halau tapi bunyi tu tetap tak berhenti malah semakin teruk. Tiba-tiba dengar suarai gelak mengilai. “Saya terus capai telefon bimbit dan kunci kereta lalu keluar dari pondok. Bunyi mengilai tu masih tak berhenti malah semakin jelas. “Saya hala lampu suluh untuk tengok di atas bumbung. Tepat-tepat cahaya lampu tu menyuluh muka benda tu. Wajahnya sangat buruk seolah-olah bangkai reput dimakan ulat,” imbasnya lagi. Macam tak cukup tanah saya berlari sampai selipar pun tak sempat nak pakai. AIMAN Pada ketika ini, barulah Aiman faham apa dimaksudkan arwah bapanya sejak dahulu setiap kali diminta teman mencari durian waktu malam. Berkemungkinan arwah bapanya, Hamid Rejab pernah mengalami situasi sama diganggu makhluk halus, yang dikatakan langsuir itu di dusun seluas dua ekar milik mereka. “Apa lagi, saya terus pecut tinggalkan guni berisi durian. Benda tu siap tegur 'dah nak balik ya Aiman... tak nak bawa balik durian ke? lepas tu sambung mengilai. “Masa berlari tu saya toleh dan sempat tengok susuk tubuh 'benda' tersebut berbaju putih dan rambutnya panjang mencecah tanah dari atas bumbung. Nak jerit panggil jiran pun semua dah tidur. “Macam tak cukup tanah saya berlari sampai selipar pun tak sempat nak pakai. Punyalah takut masa tu andai kata dia terbang nak kejar. Mujurlah tak terkencing dalam seluar,” cerita Aiman lagi. Entiti tersebut berada di bumbung pondok Aiman tertidur. Dengan ‘tangan kosong’, Aiman yang bekerja sebagai arkitek ini pulang ke rumah sewanya sebelum sempat menjamah seulas durian pun. Malah, pengalaman pertama kalinya berjumpa makhluk halus ini menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti sakit akibat mengalami demam secara mengejut. “Orang lain demam sebab makan durian banyak. Saya ni tak sempat makan durian pun demam. Ini semua langsuir tu punya fasal! “Teringat pula durian dalam guni yang dah dikutip tu. Cuti minggu depan nak ajak kawan saya teman. Harap dah tak kena kacau lagilah nanti,” ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube