suria

Benci suami tanpa sebab selepas sebulan nikah, 3 tahun kemudian baru tahu puncanya - “Patutlah nenek tak bagi saya kongsi makanan”

Sihir pemisah menjadi amalan mereka yang mempunyai hasad dengki. -Gambar hiasan

KEBANYAKAN pasangan suami isteri yang berdepan krisis rumah tangga cenderung untuk mengakhirinya dengan penceraian tanpa berfikir panjang atau mengambil kira punca kepada tidak lagi ada persefahaman.

Dalam masa sama, ramai yang menafikan 'kewujudan' sihir pemisah disebabkan tidak percaya amalan kurafat itu masih dilakukan sehingga kini.

Seperti yang dialami Ning Suria, dia menderita sakit selama bertahun-tahun disebabkan hasad dengki manusia.

Malah pernah beberapa kali dia berasa seperti mahu hilang nyawa kerana menanggung beban derita.

Kejadian aneh yang menimpanya bermula selepas sebulan dia bergelar isteri.

Bekal makanan yang diberikan khusus untuk Fahmi sahaja. -Gambar hiasan The Star/Chua Kok Hwa

Bekal makanan yang diberikan khusus untuk Fahmi sahaja. -Gambar hiasan The Star/Chua Kok Hwa

"Ah, mungkin aku belum mengenali Fahmi lagi. Ya lah, mustahil cinta terus berputik selepas akad dilafazkan.

"Lagipun perkahwinan ni diatur oleh orang tua dan pertemuan pertama pun semasa hari pertunangan sahaja. Selepas itu aku dan dia tidak pernah berhubung sehinggalah hari pernikahan," fikirnya sendirian.

Meskipun perkahwinan sudah memasuki usia tiga tahun, dia masih tidak mempunyai rasa cinta mahupun sayang terhadap suami.

Pantang bertemu, pasti ada sahaja perasaan tidak puas hati timbul dan mulalah pertengkaran berlaku.

Bahkan perasaan benci terhadap suaminya semakin membuak-buak walaupun suaminya hanya mendiamkan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis derita sakit misteri selepas rawat kongkang berdarah muncul di rumah waktu maghrib... Tiba-tiba perut rasa ditoreh, jari dicucuk jarum!

Bagi Ning Suria, dia hanya menyedari tentang situasi pelik ini selepas bayang suaminya tidak kelihatan.

"Kenapa setiap kali Fahmi ada, aku dan dia akan bergaduh? Kadang-kadang isu yang ditimbulkan tak masuk akal.

"Keinginan untuk bersama juga tidak ada dan kadang kala terpaksa layankan sahaja kerana takut berdosa," luahnya sendirian sambil menangis.

Pergaduhan yang semakin kerap berlaku membuatkan dia cuba mendiamkan diri apabila Fahmi berada dekat dengannya.

Namun selepas beberapa minggu dia mengamalkan sikap berdiam diri, hadapan pintu rumahnya dipenuhi dengan taburan garam kasar bersama tanah kubur.

Tanah kubur sering digunakan sebagai bahan untuk menghantar sihir. -Gambar hiasan

Tanah kubur sering digunakan sebagai bahan untuk menghantar sihir. -Gambar hiasan

Bukan itu sahaja, terdapat juga percikan air yang berbau busuk sehingga membuatkannya termuntah setiap kali membuka pintu.

Keadaan dirinya juga seperti mayat hidup, tubuh yang berisi dahulunya semakin kurus kerana kehilangan selera.

Pada masa sama wajah menjadi pucat selain sering mengalami sakit urat dan belikat pada waktu Maghrib.

Pernah beberapa kali Ning Suria dimasukkan ke hospital kerana berasa sakit pada pangkal rahim seperti dihiris pisau.

Pelik dengan keadaan yang dialami itu, dia menceritakannya kepada Fahmi dengan harapan mendapat jalan penyelesaian.

"Abang, kenapa depan rumah kita selalu ada garam dan tanah... kadang-kadang berbau busuk apabila terdapat kesan simbahan air. Selepas bersihkan, mesti saya akan sakit.

Rawatan perubatan Islam dilakukan selepas Ning Suria sering sakit. -Gambar hiasan

Rawatan perubatan Islam dilakukan selepas Ning Suria sering sakit. -Gambar hiasan

"Saya tak percaya pada sihir ni, tapi ada kawan-kawan nasihatkan supaya saya mendapatkan rawatan Islam. Abang okay tak?" ajunya kepada Fahmi.

Tanpa disangka suaminya bersetuju dan mereka mula berikhtiar dengan perubatan Islam dan tradisonal.

Rawatan pertama yang dilakukan di Gombak, Selangor menyatakan ia dilakukan oleh orang terdekat bahkan merupakan darah daging Fahmi sendiri.

Disebabkan itu, Fahmi berhenti dan mencari perawat kedua yang berada jauh di utara tanah air.

"Abang, kat sini pun cakap perkara yang sama. Agak-agak abang siapa yang 'kenakan' kita ni? Nanti kita cuba tanyakan siapa yang lakukan ya," pujuk Ning Suria.

Kata-katanya itu dituruti Fahmi meskipun hatinya berbelah bahagi.

Mana tidaknya, siapa sanggup menerima apabila sihir dilakukan oleh keluarga sendiri.

Kali ketiga bertemu dengan perawat kedua itu, Fahmi pun bertanya siapakah yang melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Namun, mereka tidak dimaklumkan supaya keharmonian keluarga dapat dikekalkan.

Disebabkan ingin mendapatkan jawapan mereka berdua mendapatkan rawatan lanjut dari seorang bomoh di Batu Pahat, Johor.

Tanpa diduga, bomoh itu menceritakan keseluruhan yang berlaku dan pelakunya adalah nenek Fahmi sendiri selepas permintaan untuk menjodohkannya ditolak.

"Patutlah nenek rajin bagi abang bekal dan tak bagi saya kongsi sekali makanan tu. Rupanya dia letak benda kotor kat dalam supaya abang dan saya bercerai.

"Tapi kenapa dia tak bantah perkahwinan kita pada awalnya dan sanggup seksa saya?

"Walau macam mana sekalipun, saya harap abang bersabar dan tidak membenci nenek ya.

"Kita buatlah seperti sebelum ini apabila berada di rumah nenek cuma abang perlu menjaga pemakanan," nasihat Ning Suria kepada suaminya yang sedih dengan apa yang menimpa rumah tangganya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain