suria

Gadis derita sakit misteri selepas rawat kongkang berdarah muncul di rumah waktu maghrib... Tiba-tiba perut rasa ditoreh, jari dicucuk jarum!

Kongkang sering digunakan untuk tujuan sihir. -Gambar TikTok Ainiey

BERADA pada zaman moden dengan kepesatan teknologi setiap hari tidak bermakna amalan syirik seperti sihir dan santau pupus dalam kalangan masyarakat.

Hakikatnya ia masih dilakukan segelintir individu yang tidak pernah puas dengan nikmat yang diterima selain dipenuhi perasaan hasad dengki.

Disebabkan itulah Ainie menderita dan terlantar sakit selama tiga bulan.

Paling menyedihkan apabila dalam tempoh tersebut, dia perlu melalui pelbagai jenis ujian yang tidak terjangkau dek akal fikiran.

Segalanya bermula apabila rumahnya tiba-tiba didatangi seekor kongkang yang dalam keadaan cedera dan dahi berlubang seolah-olah dipukul dengan objek seperti tukul.

Kongkang muncul di tingkap rumah pada waktu Maghrib. -Gambar TikTok Ainiey

Kongkang muncul di tingkap rumah pada waktu Maghrib. -Gambar TikTok Ainiey

"Binatang ni sampai di cermin tingkap pada waktu Maghrib. Keadaan yang berdarah membuatkan aku berasa kasihan dan ingin merawatnya.

"Meskipun waktu Maghrib, aku gagahkan diri untuk keluar rumah dan menghampiri kongkang itu... minyak angin dituang bagi mengurangkan kesan cedera yang dialami," kata Ainie.

Adiknya pula membantu menangkap haiwan itu dan diletakkan di dalam sangkar supaya dapat dirawat.

Selepas melihat keadaannya sedikit baik, ia dilepaskan jauh ke kawasan bukit.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan pasang lagu tu! Gadis kolej dirasuk ‘roh’ puteri bunian Ulek Mayang... Tiba-tiba buka langkah tarian lemah gemalai

"Sejurus ia dilepaskan, malam itu jugalah aku tiba-tiba mengalami sakit demam panas.

"Malah keadaan semakin teruk dan demam yang dialami tidak menunjukkan tanda-tanda untuk baik," katanya.

Pada malam yang sama Ainie sekali lagi dikejutkan dengan kehadiran kongkang yang sama ke rumah mereka.

"Aku yang pasti dia tidak akan kembali lagi kerana berada jauh di dalam bukit, tiba-tiba dikejutkan dengan kehadirannya pada tengah malam.

"Keadaan sama seperti sebelumnya yang berdarah-darah," luahnya lagi.

Adik kembali menangkapnya dan menghantar semula ke hutan yang lebih jauh dari kawasan rumah.

Aini dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit dalam perut. -Gambar TikTok Ainiey

Aini dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit dalam perut. -Gambar TikTok Ainiey

Entah macam mana, dia sekali lagi kembali ke rumah dengan keadaan yang sama.

Tiga kali didatangi kongkang, malam yang sama kedengaran seperti orang membaling pasir ke atas bumbung.

"Pada masa sama, aku terdengar bunyi orang menangis depan pintu bilik.

"Tiba-tiba lipan bara berada di bawah bantal kepala aku. Paling mengejutkan apabila segala jenis haiwan berbisa seperti ular dan biawak masuk ke rumah," ceritanya.

Keadaan yang berlaku itu membuatkan diri Ainie bertambah sakit dan terus menderita.

Lipan bara tiba-tiba muncul di dalam rumah.

Lipan bara tiba-tiba muncul di dalam rumah. -Gambar hiasan

Malah kesakitan yang dialaminya itu tidak dapat digambarkan seperti perut ditoreh dari dalam.

"Jari pun terasa sakit seperti dicucuk dengan jarum dan tanpa berlengah, aku terus dibawa ke hospital pada pukul 3 pagi.

"Namun kira-kira pukul 12 tengah hari keesokannya barulah aku ditempatkan di dalam wad selepas muntah yang banyak kerana terlalu sakit di dalam perut," katanya.

Apa yang menghairankan adalah pihak hospital tidak dapat mengesahkan penyakit yang dialami kerana keputusan imbasan x-ray pada bahagian perut menunjukkan semua organ berada dalam keadaan baik.

Keadaan yang berlaku menyebabkan keluarga membuat keputusan untuk mencuba rawatan perubatan Islam dan tradisional.

Pelbagai ikhtiar dilakukan sehingga Ainie sendiri berasa putus asa untuk kembali pulih.

Pun begitu, dengan izin Allah, dia akhirnya sembuh daripada penyakit misteri yang dialami.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain