suria

Suami tak ‘selera’ tengok isteri kusut, badan berbau... Tok imam syak buatan orang! - “Kalau aktif main media sosial, kurangkan”

Sihir pemisah ditujukan kepada pasangan dengan niat mahu mereka bercerai-berai. -Gambar hiasan

SELEPAS kira-kira 20 minit berehat sambil membelek media sosial di telefon bimbitnya, Hanafi mematikan pendingin hawa dan enjin keretanya.

Terasa berat untuk melangkah masuk ke dalam rumah biarpun waktu Maghrib sudah berada di hujung-hujung.

Entah kenapa sejak kebelakangan ini, Hanafi merasakan dia seperti tidak betah berada di rumah.

Suara riuh dua anaknya yang berusia tujuh dan tiga tahun seperti membuatkan dia tertekan.

Kalau lantai ruang tamu penuh dengan mainan yang berterabur, mulalah wajahnya menyinga dan mangsanya, tidak lain tidak bukan adalah isterinya, Wana.

Dijerkah Wana kerana tidak mengemas dan melayan kedua-dua anak mereka sehingga bingit telinganya mendengar pergaduhan kecil berebut mainan dan sebagainya.

Wana hanya diam apabila dijerkah biarpun hatinya tersentap, namun dia memujuk hati dan menyangka berkemungkinan Hanafi terbawa-bawa kerana stres dengan kesibukan kerja sebagai jurutera.

Bukan sahaja pulang ke rumah lewat daripada biasa, Wana perasan suaminya sudah mula meringankan solat, selain suka menghabiskan masa di bilik bacaan sehingga tertidur, kononnya menyiapkan kerja.

"Abang, bangun... dah pukul 6 pagi. Wana rindulah nak berjemaah sama-sama. Kejap lagi kita sarapan sekali sebelum anak-anak ke sekolah. Wana buat nasi lemak hari ni," kejut Wana dengan lembut.

sihir 3

Ada kalanya keadaan di rumah boleh menjadi penyebab pasangan bertengkar. - Gambar hiasan

Hanafi hanya mendengus kasar kerana tidurnya terganggu.

"Alahhhh dia ni... awak solatlah dulu," jawab Hanafi sambil terus mengalih badannya menghadap dinding dan menyambung tidur.

Wana cuba memujuk lagi namun dia mengalah selepas Hanafi hanya membatukan diri di tempat tidur.

Beberapa hari kemudian, Wana cuba memberanikan diri masuk ke bilik bacaan selepas melihat suaminya tidak menghadap komputer riba.

Niatnya hanya mahu berbincang mengenai hal anak-anak dan juga situasi dingin mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Arwah ibu larang mandi air terjun, bimbang disorok bunian... Bapa tak sangka ‘nenek tua’ muncul tuntut janji selepas 10 tahun!

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor ‘on call’ tak sedap hati, gagang telefon terjuntai bawah meja... Paling tak masuk akal dengar suara wanita mengilai dalam talian!

Baru sahaja melabuhkan punggung di katil, Hanafi sudah memberikan jelingan tajam.

"Abang... Wana nak cakap sikit boleh?

"Hurmmm cakap je lah," balas Hanafi acuh tak acuh.

"Wana perasan, sebulan dua ni, abang macam lain sangat. Tak rajin main dengan anak-anak. Wana pun abang tak endah. Abang stres fikir hal kerja ke? Ataupun Wana ada buat silap? Wana hanya mahu suami Wana yang dulu," tutur Wana sambil air mata mulai mengalir di pipi.

Hanafi hanya memandang Wana dengan ekor mata, perhatiannya hanya lebih kepada telefon bimbit.

"Tak ada apa la! Awak je fikir lebih-lebih. Iya, penat sikit sekarang kerja banyak," jawab Hanafi dalam nada suara yang sedikit tinggi.

"Saya mengantuk, esok nak bangun awal sebab outstation ke Perlis. Tiga hari," ujar Hanafi lalu bangun menuju bilik air, isyarat mahu menghentikan perbualan dengan isterinya.

Keesokan pagi, Hanafi dan rakan sepejabatnya, Rashid bertolak ke Perlis menaiki kereta lelaki tersebut.

Sewaktu sudah memasuki sempadan Kedah, Rashid berhajat mahu singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat Zohor terlebih dahulu sebelum mengisi perut menikmati makan tengah hari.

Hanafi hanya mengikut daripada belakang sahaja.

Sebaik mahu melangkah naik anak tangga masjid tersebut, Hanafi terasa kakinya seakan-akan berat. Peluh mula merenik-renik di dahi dan belakang badannya.

Rashid yang sudah ke depan menuju ke tempat wuduk perasan Hanafi menyarung kembali kasut.

"Nak membuanglah tu," getus hatinya kerana menyangka Hanafi mahu ke tandas yang terletak di bahagian tepi masjid.

Selesai urusan di masjid, mereka meneruskan perjalanan untuk mengisi perut sebelum mendaftar masuk ke hotel di Perlis.

Urusan kerja mereka berjalan lancar dan tibalah masa untuk bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

"Hanafi, aku tengok kau macam lain... macam tak fokus pun ada. Ke perasaan aku je? Kalau kau ada nak cerita apa-apa, aku sedia dengar. Kita dah kawan lebih 10 tahun kot. Dari bujang sampai dah kahwin masing-masing," kata Rashid ketika mereka baru memulakan perjalanan.

Hanafi hanya memandang Rashid kosong, sebelum memulakan cerita dari awal sehinggalah perubahan dirinya seperti yang dirungutkan oleh isterinya.

"Wana la jadi mangsa kalau anak menangis, mainan tak kemas. Aku rasa macam... benci pun ada apabila duduk rumah. Kadang-kadang dia mesej atau call untuk beritahu benda penting, sebab aku selalu mengelak dia.

"Kadang-kadang aku rasa Wana ni sibuk sangat kot urus anak-anak dan rumah, sampai nampak kusut dan badan berbau.

sihir 2

Keghairahan berkongsi gambar di media sosial ada kalanya boleh mengundang rasa iri hati orang lain. -Gambar hiasan

"Senang cerita, aku memang mengelak... aku rasa macam dia buat aku stres," luah Hanafi.

Rashid yang tekun mendengar luahan hati Hanafi, akhirnya bersuara.

"Aku cakap ni, kau jangan ingat aku nak sibuk hal rumah tangga kau. Tapi aku rasa, ada baiknya kau cuba berubat. Kita ikhtiar.

"Kau tahu kan kampung aku dekat Parit Buntar. Kalau kau nak, on the way balik ni, kita singgah kejap. Tok imam masjid kampung aku ni, boleh kata pandai juga bab-bab yang kita tak nampak," cadang Rashid.

Hanafi tanpa banyak soal terus bersetuju dengan cadangan Rashid.

Mereka tiba di rumah tok imam yang dipanggil Haji Usman oleh orang kampung Rashid, sekitar pukul 4 petang.

Selepas bersembang kosong, Rashid pun membuka bicara dan menyatakan tujuan mereka.

"Ceritalah... yang boleh saya bantu, saya bantu. Kita ikhtiar," kata Haji Usman.

Hanafi pun bercerita kisah rumah tangganya sebagaimana yang diceritakan kepada Rashid sebelum itu.

"Kita ni tak tahu hati orang... ada yang suka, ada yang tak suka. Daripada tak suka, jadi timbul iri hati, dan mulalah hilang pedoman buat perkara syirik.

"Daripada apa yang kamu cerita, kemungkinan ada gangguan sihir... sihir pemisah. Orang yang terkena ni 'panas' saja kalau dengan pasangan. Rasa benci, benda kecil nak bergaduh.

"Sihir ni boleh ditujukan dengan mudah je sekarang. Hanya ada gambar, dah cukup. Kalau tak ada gambar betul, dari media sosial pun boleh dah buat.

"Kalau aktif main media sosial, kurangkanlah. Bukan saja habiskan masa, tapi boleh undang benda tak elok. Ada pasangan jumpa saya beberapa bulan lepas... masalah sama macam kamu, cepat 'panas'. Sampai dah terdetik nak bercerai," cerita Haji Usman.

Mendengar kata-kata Haji Usman, Hanafi seperti tersentak.

"Isteri saya aktif juga. Selalu upload gambar keluarga bercuti atau aktiviti-aktiviti. Untuk kenangan... tapi memang dia pernah cerita dulu, ada kawan lama dia suka perli-perli.

"Tapi memang tak ambil endah sangat... isteri pun tak ada balas marah-marah," balas Hanafi.

"Tak apalah, kita tak perlu tuduh... hanya ambil pengajaran. Ni saya tuliskan kamu beberapa doa. Amalkanlah setiap hari. Satu lagi yang wajib amal, jangan tinggal solat, sibuk macam mana sekalipun. Dan kurangkanlah muat naik gambar di media sosial," ujar Haji Usman lagi.

Hanafi dan Rashid berangkat pulang selepas menunaikan solat Asar bersama Haji Usman.

Dalam hati Hanafi, dia tidak henti-henti bersyukur kerana lekas tersedar sebelum keadaan rumah tangganya menjadi semakin parah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain