DERINGAN telefon mengejutkan Dr Kamarul Ariffin yang baharu sahaja mahu melelapkan mata. Namun mengenangkan dia sedang bertugas dalam mode on call pada malam itu, panggilan telefon akhirnya disambut juga. "Hello, boleh bercakap dengan Doktor Kamarul?" soal pemanggil di hujung talian. "Ya, saya bercakap," jawab doktor berkenaan. "Saya dari bilik keselamatan. Doktor on call kan malam ni?" soal pemanggil tersebut lagi. "Ya saya yang on call. Ada apa ya, bilik keselamatan telefon?" soal Dr Kamarul semula. Satu perkara sahaja terlintas di kepalanya ketika itu, iaitu memikirkan kemungkinan sesuatu berlaku kepada pesakit. "Tadi doktor orang terakhir dalam pejabat di Jabatan Rehab ke?" soalnya lagi. "A'ah. Saya orang terakhir. Kenapa? Saya lupa kunci pejabat ke?" Masih berbalas-balas pertanyaan. Seorang wanita membuat panggilan mengatakan dirinya terkunci di dalam sebuah bilik pejabat di hospital. -Gambar hiasan Namun sangkaan awal Dr Kamarul meleset. Menurut pengawal bilik keselamatan, mereka menerima panggilan telefon daripada seorang wanita memaklumkan dia terkunci di dalam Jabatan Rehab. "Hah? Ye ke? Saya orang terakhir tadi. Saya ada check juga pejabat sebelum saya kunci pintu jabatan tadi. Tak ada orang lain pun rasanya," jawab Dr Kamarul. ARTIKEL BERKAITAN: Gadis cerita pengalaman ‘hijab terbuka’, entiti wajah hitam muncul selepas angin kuat! 7 hari disampuk badi orang mati Timbul rasa serba salah dalam hatinya kerana kecuaiannya menyebabkan ada rakan sekerja pula yang terkunci pada waktu malam begini. Disebabkan hanya dia sahaja mengetahui lokasi simpanan kunci untuk Jabatan Rehab, Dr Kamarul mengambil keputusan untuk kembali ke hospital. Sepanjang perjalanan, sempat juga dia memeriksa perbualan grup WhatsApp, kalau-kalau ada rakan sekerja yang terperangkap itu ada menghantar mesej, namun tiada pula. Sebaik tiba di bilik keselamatan, Dr Kamarul dengan ditemani seorang pengawal keselamatan lelaki menapak ke Jabatan Rehab untuk membuat pemeriksaan. Ketika baharu mengambil kunci yang diletakkan di bilik Ketua Unit Jurupulih Carakerja, Puan Nora, tiba-tiba walkie talkie di pinggang pengawal keselamatan itu berkeriut. "Perempuan tadi tu telefon lagi. Dia kata dia dengar suara kau orang," kata pengawal keselamatan wanita yang berada di bilik keselamatan. "Tanya dia, dia kat mana?" balas pengawal lelaki. "Dia kata dengar suara kau orang macam kat bilik sebelah bilik dia," jawab pengawal keselamatan wanita di hujung talian. Dr Kamarul dan pengawal keselamatan lelaki itu kemudian menapak ke bilik pejabat bersebelahan bilik Puan Nora. Aku pun mati kalau macam tu, sebab aku yang on call. Lampu tak tutup. Pintu tak kunci. Aku yang patut bertanggungjawab kunci pejabat hari ni. DR KAMARUL Bilik pejabat itu adalah bilik Encik Mus, Ketua Unit Jurupulih Fisioterapi. Dr Kamarul membuka kunci bilik itu dan menguak daun pintu luas-luas. Dia sudah bersedia untuk meminta maaf kepada insan yang terperangkap dalam bilik itu kerana kecuaiannya. Namun kedua-duanya kehairanan apabila bilik berkenaan kosong dan sepi, tiada tanda-tanda seseorang berada di dalamnya. Dr Kamarul memetik suis lampu. Mata kedua-dua mereka melilau di segenap bilik untuk mencari kelibat individu yang khabarnya terkunci itu. Dr Kamarul perasan gagang telefon tidak terletak pada perumahnya dan hanya terjuntai ke bawah meja. Hatinya sudah berasa kurang enak. Tiba-tiba walkie talkie di pinggang pengawal keselamatan berbunyi sekali lagi. "Ok dah! Perempuan tu kata dia dah nampak kau orang," kata pengawal keselamatan wanita di hujung talian. Dr Kamarul dan pengawal keselamatan lelaki itu saling berpandangan sebelum kedua-duanya lari lintang pukang seperti tidak cukup tanah! "Kenapa kau orang lari-lari macam kena kejar hantu ni?" tanya pengawal perempuan dalam bilik keselamatan, sebaik kedua-duanya tiba tercungap-cungap. Mereka pun menceritakan apa yang berlaku kepada pengawal keselamatan wanita tersebut. "Kita kena patah balik. Kita tak kunci balik pejabat tu. Mampus saya kalau esok ada apa-apa hilang," kata pengawal keselamatan lelaki apabila nafasnya reda. "Betul juga. Aku pun mati kalau macam tu, sebab aku yang on call. Lampu tak tutup. Pintu tak kunci. Aku yang patut bertanggungjawab kunci pejabat hari ni," jawab Dr Kamarul pula. Dengan ditemani dua pengawal keselamatan lain, mereka menapak ke Jabatan Rehab untuk kali kedua. Sebaik sahaja tiba, mereka berempat membuat pemeriksaan sekali lagi. Ramai yang berkongsi kisah misteri yang berlaku di hospital. -Gambar hiasan Tiada benda hilang, tiada benda pelik, kecuali gagang telefon di bilik Encik Mus tadi sudah diletakkan semula ke perumahnya. Sebaik menutup lampu dan mengunci Jabatan Rehab, mereka berempat kembali semula ke bilik keselamatan dan bersembang-sembang seketika. Tiba-tiba telefon berdering. "Hello! Bilik keselamatan, boleh saya bantu?" jawab pengawal keselamatan wanita sebaik mengangkat gagang telefon. "Terima kasih..." kedengaran suara wanita di hujung talian dan disusuli derai tawa dan hilaian sebelum talian diputuskan. Serta-merta semuanya berhenti bercerita. Bulu roma masing-masing tegak berdiri. Masing-masing terpaku dan berfikir gerangan pemanggil misteri yang terkunci dalam bilik di Jabatan Rehab. Entah benda apa yang mereka lepaskan dari bilik itu tadi. Namun tiada jawapan, semuanya hanya mampu membisu! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube