suria

Buat baik dengan pengemis, dapat bungkusan putih sebagai hadiah! Lelaki bingung, puas minta nasihat ustaz cari jawapan

Satu kisah misteri dilalui seorang lelaki ketika berbuat baik dengan peminta sedekah. -Gambar hiasan (kanan)

BERHATI-HATI dengan pemberian daripada mereka yang tidak dikenali kerana niat dalam hati manusia tiada siapa yang tahu.

Begitulah apa yang dilalui lelaki ini apabila dia bermurah hati untuk menderma kepada seorang peminta sedekah tetapi kemudiannya mengalami satu pengalaman penuh misteri.

Dalam satu perkongsian kisah di TikTok oleh KOIE, pengemis itu yang berkemungkinan terhutang budi dengan kebaikan lelaki tersebut memberikan satu bungkusan yang kandungannya menimbulkan 1,001 persoalan.

Melakukan amal jariah adalah satu tuntutan dalam agama. -Gambar hiasan

Mengimbas semula kejadian, lelaki itu dan rakannya pada mulanya dikatakan sedang menikmati hidangan tomyam di bahagian luar sebuah restoran Thai.

"Waktu tu lewat petang, dah nak dekat Maghrib, tiba-tiba ada makcik peminta sedekah datang dekat aku dan minta duit sebab nak beli susu anak.

"Aku macam rasa kesian, jadi aku pun keluarkan duit dari dompet mengikut kemampuan aku dan berikan kepada makcik itu. Makcik tu cakap terima kasih dan beredar pergi, aku dengan kawan pun sambung makan.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak hostel degil cuba bongkar misteri aras 3 asrama, akhirnya terus pindah sekolah - “Ada perkara lebih elok tak diketahui”

"Kemudian, tak lama selepas tu, ada seorang lagi peminta sedekah datang menghampiri kami. Tapi peminta sedekah yang kali ni, aku dapat rasa ada kelainan sikit.

"Sebab dia seorang lelaki muda dan badannya berbungkus dengan kain panjang yang warna-warni. Kemudian dia ada serban warna hijau dekat kepala, janggut dia pula panjang, memang ada aura yang pelik," kata lelaki itu.

Menurut lelaki itu, pemuda tersebut tidak bercakap walau sepatah perkataan dan hanya menghulurkan tangan ke arahnya.

Ada juga yang cakap benda tu tak bahaya dan aku boleh je simpan. Harap tak ada benda buruk la terjadi dekat hidup aku.

LELAKI TANPA NAMA

"Aku sebenarnya waktu tu dah penat, asal nak makan je asyik kena kacau dengan peminta sedekah. Aku terus 'sembur' dekat dia cakap kalau duit, aku memang tak boleh bagi, tapi kalau kau lapar, aku boleh belanja kau makan.

"Kau order je apa yang kau nak, aku bayarkan. Tapi kalau nak duit semata, kau boleh pergi kerja sendiri. Banyak cantik nak duit mudah. Lepas aku cakap begitu, aku nampak pemuda tu pergi masuk ke kedai, mungkin nak order makan kot.

"Aku pun biarkan je la pemuda tu. Cuma yang geramnya, lima minit selepas tu, dia datang balik dekat aku sambil hulur tangan lagi. Aku tanya la dah order makan ke belum, dia geleng kepala je menandakan belum.

Insiden alam ghaib boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk kedai makan. -Gambar hiasan

"Sebab dah malas nak layan dia duduk meminta dekat aku, aku bagi pemuda tu makanan yang pada asalnya aku order bungkus untuk bawa balik rumah. Kawan aku yang kesian pun tumpang bagi dia RM10," cerita lelaki tersebut.

Bersyukur atas pemberian lelaki itu dan kawannya, pemuda tersebut menunjukkan tanda terima kasih dengan kedua-dua telapak tangannya.

"Pemuda tu nampak gembira dan tersenyum-senyum. Kemudian dia keluarkan satu benda dari poket dia dan letakkan atas meja, macam hadiah untuk diberikan kepada aku. Benda tu ialah sesuatu dalam bungkusan kain putih.

Makhluk halus boleh menyerupai sesiapa sahaja. -Gambar hiasan

"Aku waktu tu tak cakap apa sebab ingat tu sampah kot dia saja letak dekat meja aku. Jadi aku biar je, benda tu pun kecil. Tak lama selepas pemuda tu pergi, aku ambil bungkusan putih tu nak tengok.

"Bila aku pegang, rupanya bukan sampah, aku pun cuba buka. Dalam bungkusan tu ada duit syiling 10 sen tahun 1981 dan batu geliga berwarna merah yang kecil. Aku macam terpinga-pinga, apa benda semua ni, peliknya.

"Aku terus sapa seorang pelayan kedai yang duduk makan di sebelah aku dari tadi, aku tanya dia, pemuda kain warna-warni yang bagi barang dekat aku ni, dia selalu ke datang meminta sedekah kawasan sini?

"Pelayan kedai tu cakap yang mana satu? Dia cuma nampak makcik tadi yang mula-mula datang minta sedekah dekat aku. Dah sudah, aku mula gelabah. Pemuda kain warna-warni tu betul ada kot, kawan aku pun nampak," kata lelaki itu.

Duit syiling misteri yang diberikan seorang peminta sedekah.

Lelaki ini kemudian terus cuba menjejaki dan mengejar semula pemuda peminta sedekah tersebut.

"Aku pergi nak cari balik pemuda tu tapi tak jumpa dah. Puas aku pusing kawasan rumah kedai tu tapi tak nampak langsung kelibat pemuda tu, mana dia pergi? Baru sekejap je dia tinggalkan kami. Tak terjawab soalan tu sampai hari ni.

"Tiga hari selepas tu, aku ada pergi rujuk dengan beberapa pakar perubatan Islam nak tanya apa benda yang aku dapat tu sebenarnya. Risau takut ada apa-apa. Masing-masing ada jawapan berbeza-beza.

"Ada juga yang cakap benda tu tak bahaya dan aku boleh je simpan. Harap tak ada benda buruk la terjadi dekat hidup aku," kata lelaki itu menutup bicara. - KOIE

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain