suria

Budak hostel degil cuba bongkar misteri aras 3 asrama, akhirnya terus pindah sekolah - “Ada perkara lebih elok tak diketahui”

Setiap asrama pasti mempunyai kisahnya yang tersendiri. -Gambar hiasan

KEBERANIAN seseorang untuk keluar dari kepompong selesa sememangnya mampu menjadikan diri lebih matang.

Namun, berlaku situasi sebaliknya kepada pemuda ini apabila keputusannya belajar di sekolah berasrama meninggalkan trauma yang mendalam.

Pemuda itu berkongsikan kisah hitam 10 tahun lalu mengenai asramanya yang digambarkan mempunyai tiga tingkat dan terletak jauh di hujung negeri.

Sekolah asrama sering dikaitkan dengan kisah mistik. -Gambar hiasan

Misteri bermula apabila aras ketiga bangunan asrama tersebut dibiarkan kosong tidak berpenghuni, sekali gus meninggalkan 1001 dalam fikiran pemuda itu.

"Sesi akademik yang aku masuk waktu tu tak ramai sangat pengambilan pelajar baharu. Jadi keadaan di sekitar asrama tu agak hening seingat aku.

"Bilik aku di aras bawah, setiap kali aku nak balik ke bilik, aku selalu pandang ke tingkat tiga, seperti ada aura yang tidak kena di situ, aku dapat rasakan dari kejauhan ini. Sudah hampir sedekad tingkat tiga tu dikosongkan, tapi kenapa?

"Aku tanya senior tapi mereka lebih rela untuk membisu tentang hal itu. Seolah-olah satu rahsia yang macam tidak boleh disebut langsung.

"Senior siap pesan, ada 'perkara' yang lebih elok untuk tidak diketahui. Seram bunyinya, tapi aku sikit pun tak 'goyang' dengar benda mistik mengarut ni," kata pemuda itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pak guard bertugas ganti rakan hairan blok sekolah, asrama meriah tengah malam! Cabut lari selepas dapat tahu pelajar sedang cuti

Walaupun begitu, keangkuhan pemuda tersebut ternyata makan diri apabila dia ditemukan dengan kebenaran yang hanya membawa malang.

"Ada satu hari ni kawan aku kurang sihat, jadi dia tak pergi prep (ulang kaji) dekat kelas. Aku ambil keputusan nak jaga dia dekat asrama. Sambil tu aku terdetik dalam hati nak guna peluang ni pergi tengok suasana di aras tiga.

"Sementara orang lain tengah sibuk prep di bilik bacaan waktu petang, aku boleh menyelinap ke situ. Aku tertanya-tanya apa kisah yang ada dekat aras tiga ni sampai semua orang takut nak cerita. Sini kejap aku datang terjah.

"Tapi belum sempat aku nak melangkah keluar dari bilik untuk menjelajah aras tiga, tiba-tiba badan aku rasa mengantuk semacam. Ini sangat aneh, tadi segar je. Automatik aku terus lompat ke katil dan tidur dulu.

"Tak lama selepas tu aku terbangun, aku dengar sayup-sayup ada orang ketuk pintu. Aku alih pandangan tengok jam dinding, baru pukul 3:30 petang. Tak kan budak-budak ni dah balik dari prep," fikir pemuda itu, janggal.

Kini aku faham, misteri aras tiga biarlah kekal misteri, kerana itu adalah yang lebih baik.

PEMUDA

Lebih mengejutkan apabila pemuda itu mendapati rakannya yang sedang sakit itu juga sudah hilang tanpa jejak.

"Member aku tu dah lesap. Bilik aku sunyi je rasa, dekat luar pun macam senyap yang luar biasa. Suara penghuni asrama lain tak kedengaran, bunyi haiwan atau burung pun tak ada, seakan-akan aku dalam ruang vakum di angkasa.

"Aku pulas tombol pintu untuk keluar dari bilik aku, alangkah terkejutnya aku apabila dekat luar sudah malam, gelap gelita, padahal baru tadi je aku tengok jam pukul 3:30 petang. Asrama aku tu dah kosong, seakan-akan waktu cuti sekolah.

"Aku seorang je makhluk bernyawa yang ada di perkarangan asrama pada ketika itu. Badan terasa dingin apabila bayu malam bertiup sepoi-sepoi bahasa. Aku tengok ke langit, bulan atau bintang pun tak kelihatan, gelap seperti kicap.

"Nasib baik lampu di kaki lima asrama masih menyala, itu pun banyak yang dah kelip-kelip macam nak tamat hayat. Gerak-geri tubuh aku tiba-tiba seperti diprogramkan untuk ke tingkat tiga, aku pun mengorak langkah," kata pemuda itu.

Ternyata apa yang ditemukan di aras tiga itu mengubah hidup pemuda berkenaan buat selama-lamanya.

Kisah seram di sekolah asrama seperti sudah menjadi tradisi. -Gambar hiasan

"Satu-persatu anak tangga aku daki, keadaan di setiap aras memang sesunyi-sunyinya. Akhirnya aku tiba di aras tiga, bulu roma di badan aku terus meremang. Keadaan di situ sangat sejuk.

"Sejuk yang sampai keluar asap putih dari mulut aku setiap kali aku bernafas. Menggigil badan. Aku sedang cuba proses apa yang sedang berlaku ni.

"Secara mengejut, tiba-tiba aku direntap dari belakang, leher aku dijerut dengan sesuatu. Aku tak dapat kenal pasti apakah 'sesuatu' itu sebab aku tak dapat nak tengok, kuat sungguh cengkamannya.

"Aku terus macam lemas. Sambil itu juga ada bau tengik menusuk ke hidung aku ni, dan ada suara garau cuba bercakap di tepi telinga aku. Tapi aku tak dapat nak faham sebab ia macam dalam bahasa asing," imbas pemuda itu.

Dalam detik cemas itu, pemuda tersebut bergelut untuk menyelamatkan dirinya.

"Aku dalam kesakitan yang tak terperi. Sesak nafas ni rasa kena cekik. Adakah ini rasa kematian? Aku dapat rasa ajal aku menghampiri. Aku cuba melawan tapi aku semakin melemah.

Setiap sekolah berasrama mempunyai kisah seram yang tersendiri. -Gambar hiasan

"Nyawa aku seperti sedang ditarik keluar dari jasad ni. Memori-memori kehidupan bermain di hadapan aku seperti sebuah video ulang tayang. Aku bersedia untuk menyerah.

"Tiba-tiba telinga aku dapat menangkap alunan bacaan ayat suci Al-Quran yang entah datang dari mana. Ia tak berapa jelas tapi aku boleh mendengarnya. Serentak dari itu juga, jerutan di leher aku dilepaskan dan aku terjunam ke bawah.

"Terjunam jauh ke dalam lautan kegelapan. Aku terjatuh ke dalam gaung yang tidak ada penghujungnya. Pandangan mata menjadi kabur dan aku terus tidak sedarkan diri," kata pemuda itu.

Pemuda itu akhirnya terbangun dan kejutan besar menantinya.

"Badan aku tersentak, aku dapat rasa tubuh aku basah kuyup dengan peluh. Aku cuba buka mata, aku terkejut, aku lihat aku ada di dalam surau asrama.

Misteri di setiap sekolah asrama pasti ada sejarahnya. -Gambar hiasan

"Aku dikelilingi pelajar asrama yang lain, mereka membentuk bulatan di keliling aku. Mereka seperti sedang membacakan sesuatu ke arah aku. Rasa panik mula menyerap ke dalam tubuh aku, apakah maksud semua ni?

"Kemudian ada seorang lelaki berkopiah dan berserban putih datang mendekati aku, memperkenalkan dirinya sebagai pengamal perubatan Islam. Dia memberitahu aku sedang dirawat kerana gangguan makhluk halus.

"Selepas keadaan aku stabil, aku dihantar pulang ke rumah dan aku tidak kembali semula ke sekolah itu. Aku terus masuk sekolah harian biasa. Sampai ke hari ni, 'hijab' aku masih terbuka kerana insiden itu.

"Kini aku faham, misteri aras tiga biarlah kekal misteri, kerana itu adalah yang lebih baik," kata pemuda itu menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain