suria

Terlupa azan lepas masuk homestay, 5 keluarga ‘ditegur’ perempuan mengilai! Entiti hitam dalam foto rungkai jawapan

Gambar yang sempat dirakam memaparkan kehadiran entiti aneh pada sebelah kiri di tangga.

BAGI mereka yang mempunyai ahli keluarga besar, penginapan di homestay sering kali menjadi pilihan ketika bercuti atau pulang beraya di kampung halaman.

Teruja untuk berkumpul bersama seluruh keluarga sempena Aidiladha yang lalu, lelaki ini bersama keluarga besarnya sepakat untuk menginap di sebuah homestay di Melaka.

Namun siapa sangka, penginapan mereka selama tiga hari dua malam berakhir dengan kejadian yang tidak disangka-sangka.

"Kami lima family membuat satu trip holiday beserta aktiviti sukaneka di sebuah homestay (nama dan lokasi dirahsiakan) di Melaka. Hari pertama masuk rumah memang tak terfikir nak azan atau nak buat pendinding sebab terlalu excited.

"Tapi ada lah baca-baca sikit. Alhamdulliah semua okay dan tak ada apa-apa yang berlaku.

"Hari kedua, semua berjalan dengan smooth je. Kami siap buat barbeku dan sebagainya," kongsi lelaki menggunakan akaun @pkyracer di laman TikTok.

Namun ujarnya, pada malam kedua iaitu menjelang Aidiladha, bermulalah episod menyeramkan buat seluruh penghuni homestay berkenaan.

PIC 3

Kelihatan entiti aneh sedang menuruni anak tangga.

"Nak dijadikan cerita, malam raya, kami baru balik dari bandar Melaka berjalan-jalan. Kami empat family dah masuk bilik, memang nak tidurlah. Satu family lagi lepak di tingkat bawah tengok TV.

"Dalam masa yang sama, isteri aku dengar perempuan mengilai dekat luar bilik. Dalam fikiran dia mungkin family yang bawah melawak la kot atau cuba-cuba nak menakutkan anak-anak mereka. Isteri aku pun malas fikir and tidur," kongsinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Singgah R&R pagi buta, rupanya hutan! Beli otak-otak dapat baki duit daun kering, mujur tak sempat makan

Keesokannya iaitu pada pagi raya, seluruh keluarga kecoh ketika bercerita mengenai 'insiden' yang berlaku pada malam sebelumnya.

"Esok bangun-bangun dah kecoh satu rumah. Barulah start mereka buka cerita. Cerita pertama yang isteri aku dengar (mengilai). Kedua, cerita family dekat bawah tu pun dengar perempuan mengilai tu juga. Mereka fikir isteri aku yang gelak.

"Family lagi satu tengah layan phone malam tu, pun dengar mengilai dan ingat orang bawah. Mereka cakap mengilai tu kuat," kongsinya lagi.

Disebabkan masing-masing sudah mula rasa lain macam, maka kesemua lima keluarga berkenaan sepakat untuk berangkat lebih awal.

"Semua mandi dan bersiap-siap, bawa barang semua turun masuk kereta. Makan breakfast dulu dekat bawah. Sebelum keluar, salah seorang pergi double-check dekat atas untuk make sure semua dah clear.

"Memang tak ada barang atau orang dah dekat atas. Kemudian kami pun bergambar raya. Selepas bergambar, kemas apa yang patut, bersihkan semua benda.. baru kami check out.

PIC 2

Kehadiran entiti aneh itu hanya disedari oleh salah seorang daripada mereka sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

"Sebelum balik KL, ada seorang perasan ada gambar yang tak kena," katanya yang turut berkongsi foto yang dimaksudkan.

Berdasarkan gambar itu, dapat dilihat satu lembaga hitam menuruni tangga ketika tujuh orang lelaki sedang bergambar mengelilingi sofa yang diduduki seorang bayi perempuan.

Bagaimanapun dia dan keluarga bersyukur kerana kerana tiada kejadian yang buruk menimpa mereka.

"Bagi aku rumah tu best gila, rumah besar, swimming pool pun ada. Cuma biasalah, taman baru, rumah pun baru.

"Kami pun main serbu masuk tak azan, tak buat apa," akhirinya.

Sehingga kini perkongsian lelaki berkenaan meraih sehingga 1.3 juta jumlah tontonan di laman TikTok.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain