PENDUDUK tempatan pastinya lebih mengetahui tentang keadaan sesebuah lokasi di tempat mereka. Bagi mereka yang baru berpindah masuk, adalah lebih baik untuk mematuhi saranan warga setempat bagi menghindari perkara tidak diingini. Begitulah pengajaran diperoleh seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang mesra dikenali sebagai Eiman, ketika dia sedang menyesuaikan diri dengan kawasan kejiranan baharunya di utara tanah air. Walaupun banyak perkara dirasakan kekok dan asing, namun Eiman bersyukur kerana rakan sebayanya di kawasan tersebut dilihat berkongsi minat yang sama iaitu untuk bermain futsal. Aktiviti luar popular dalam kalangan warga desa. -Gambar hiasan "Ibu, bosannya tempat ni... kekampungan sangat. Macam tak ada benda yang Man boleh buat, pusat beli belah pun jauh nak pergi. Tapi nasib baik petang semalam Man nampak budak-budak sini ada yang main bola. "Nanti kejap lagi Man nak cuba join, tak sabar dah ni nak beraksi. Biar mereka tahu Man dulu jaguh sekolah, memang 'berasap' semua Man kerjakan. "Cuma satu benda la, padang yang mereka main tu nampak daif. Rumput dah botak, tiang gol pun pakai batang kayu je. Tak syok la," kata Eiman sambil mencebik bibirnya. ARTIKEL BERKAITAN: Singgah R&R pagi buta, rupanya hutan! Beli otak-otak dapat baki duit daun kering, mujur tak sempat makan Si ibu kemudiannya cuba menenangkan Eiman yang kelihatan sugul. "Maaf la nak, lepas ayah tinggalkan kita, ibu memang hidup sehelai sepinggang je. Nasib baik ibu boleh dapat kerja dan sewa rumah dekat sini. Kita susah sekejap buat masa ni, nanti lama-lama okay, ibu janji. "Petang kejap lagi pergi la keluar main futsal, buat kawan baharu. Ada kenalan ramai nanti mesti tak kesunyian dah," kata wanita pertengahan usia itu kepada anak tunggalnya. Ajakan berpindah padang "Aku Hafiz, aku Aiman, aku Amirul," demikian kata tiga orang remaja sambil berjabat tangan dengan Eiman, seraya menyambut ketibaannya ke gelanggang futsal mereka. "Boleh ke aku main sekali dengan kalian?" kata Eiman merendah diri. "Sila, sila, tiada masalah. Kau masuk pasukan sana. Kita ada enam orang hari ni, jadi tiga lawan tiga," ujar Hafiz kelihatan dominan. Permainan bermula, serentak itu juga terserlah kelincahan Eiman mengawal bola. Tanah perkuburan merupakan tempat beristirahat bagi mereka yang sudah dijemput Ilahi. -Gambar hiasan Dalam masa 10 minit sahaja, Eiman sudah menjaringkan empat gol, Hafiz dan Aiman selaku pasukan lawan sama sekali tidak mampu menandingi kehebatan Eiman bermain futsal. "Power weh, memang bertuah aku dapat satu team dengan kau," kata Amirul berbangga kerana menang bergaya. Jam menunjukkan pukul 5.30 petang, Eiman sedang berehat sebentar bersama kawan baharunya sebelum menyambung permainan. "Tak ada la, aku ni main biasa je. Alang-alang tu, aku nak tanya sikit, kalian tak nak ke pindah main dekat kawasan lapang sebelah surau tu? Rumput situ nampak lawa lagi, tak la sakit sangat badan ni kalau terjatuh. Kau tu orang baharu dekat sini, beringat sikit. Kalau orang cakap sesuatu, dengar je. AIMAN "Jom la kita cuba main sana, sementara masih awal lagi," kata Eiman pantas memperoleh pengaruh dalam kumpulan rakannya. Namun pelawaan itu ditentang oleh Aiman yang merupakan anak ketua kampung. "Tak boleh la main situ, orang sini tak bagi. Kalau ikut cakap ayah aku, katanya situ dulu tanah perkuburan orang Asli, kita kena hormat," jelas Aiman. "Eh jangan percaya sangat la benda tahyul begitu. Kita gerak je jom, apa-apa hal aku tanggung," kata Eiman cuba memberi keyakinan. Keputusan membawa padah Gelak tawa keriangan jelas kedengaran tatkala Eiman dan rakannnya 'merasmikan' padang baharu untuk mereka bermain futsal. Namun Aiman diperhatikan tidak menyertai permainan dan hanya berdiri di tepi, wajahnya penuh kerisauan. "Geng aku tak sedap hati la, jangan la main dekat sini. Kalau ayah aku tahu, mesti kita semua kena marah," rayu Aiman bersungguh-sungguh. "Eh kau ni, apa yang lembik sangat? Sini aku..." serentak dengan itu juga panahan petir menyambar Eiman yang bercakap besar, satu kejadian aneh kerana langit ketika itu kelihatan cerah. Eiman tercampak ke belakang sehingga tidak sedarkan diri dan sebahagian bajunya hangus terbakar. Larangan penduduk tempatan pasti mempunyai sebabnya. -Gambar hiasan Dalam pada itu, tiupan angin sejuk menderu ke arah kumpulan remaja terbabit dan gempa bumi kecil dapat dirasai pada permukaan tanah yang dipijak. "Cepat papah dia (Eiman) keluar, yang lain semua lari segera! Allahuakbar, Allahuakbar," Aiman melaungkan azan sebagai ikhtiar, dipercayai kemarahan alam susulan keingkaran mereka. Mereka semua kemudiannya menuju ke rumah Aiman bagi mendapatkan perlindungan. Nasib Eiman sedikit baik apabila tubuhnya tidak terkena panahan kilat secara langsung dan hanya mengalami beberapa kecederaan ringan. "Kau tu orang baharu dekat sini, beringat sikit. Kalau orang cakap sesuatu, dengar je," pesan Aiman kepada Eiman yang perlahan-lahan membuka matanya semula. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube