PASANGAN yang baru berkahwin ada kalanya terpaksa memulakan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan. Antara keperluan penting dan wajar dipenuhi adalah mencari tempat tinggal bagi meneruskan kehidupan sebagai suami isteri. Namun melalui satu hantaran di laman TikTok, seorang lelaki dikenali sebagai Fahmi berkongsikan kisah hitam dilalui dia dan isteri ketika menyewa sebuah rumah. Dalam kejadian pada empat tahun lalu itu, Fahmi menggambarkan segalanya kelihatan biasa ketika mereka cuba menyesuaikan diri dengan suasana di dalam kediaman baharu itu. Rumah yang baru didiami mungkin mempunyai kisah silam tersendiri. -Gambar hiasan "Waktu mula-mula masuk semua rasa macam normal. Tapi selepas beberapa hari, kami mula kena kacau. Cuma syukur Alhamdulillah sepanjang pengalaman paranormal kami tu 'dia' tak pernah menjelmakan diri lagi. "Insiden pertama terjadi ketika kami nak pergi kerja waktu pagi. Untuk makluman kami duduk rumah teres dua tingkat, sebelum keluar ke mana-mana memang jadi tabiat kami untuk tutup tingkap bilik tidur di aras atas. "Tapi entah macam mana, waktu hari kejadian tu aku nampak tingkap bilik tidur kami tu terbuka semula walaupun aku yakin aku dah tutup sebelum tu. Tapi sebab tak nak takutkan isteri, aku buat cool je. "Lagi satu, gangguan yang selalu berlaku adalah 'benda' tu suka main alih-alih barang dekat dapur. Waktu kami bangun pagi je mesti nampak perkakas dapur seperti tin susu dibawa keluar dari kabinet," imbas Fahmi. ARTIKEL BERKAITAN:Budak kampung bagi hint padang ‘keras’ tak dihirau, remaja bandar baru pindah ke utara dipanah petir ketika main futsal Tidak cukup setakat itu, Fahmi berkata dia juga ada mendengar bunyi-bunyian aneh di dalam rumah tersebut. "Aku dan isteri pada awalnya malas nak ambil port sangat, kami senyapkan je. Kalau 'benda' tu sepahkan barang kami kemas semula. Tapi aku mula rasa lain macam bila ada dengar bunyi-bunyi. "Ada sekali tu waktu tengah malam kami sedang tidur, tiba-tiba dengar bunyi air berkocak dalam tandas macam ada orang tengah guna, siap batuk-batuk lagi. "Tapi itu semua tak boleh dibandingkan dengan kejadian paling seram kami pernah lalui dekat rumah sewa tu. Sini saya ceritakan," jelas Fahmi penuh debaran. Sebelum tu memang susah aku nak percaya benda hantu ni, sekali dah kena baru tahu. FAHMI Menurut Fahmi, dia dan isteri pulang lewat ke rumah sewa pada suatu malam apabila mereka menyedari sesuatu yang ganjil keesokan harinya. "Isteri aku sebelum masuk rumah dia tanggalkan kasut dan letak di hadapan pintu. Waktu tu ada sepasang kasut isteri aku dan sepasang lagi selipar. Apabila kami keluar esok pagi nak pergi kerja, kasut belah kiri isteri aku hilang. "Manakala yang selipar tu pula belah kanan hilang. Aku cuba la tolong carikan sekitar rumah, mungkin kucing ambil bawa lari ke. Tapi alangkah terkejutnya apabila aku jumpa kedua-dua kasut dan selipar tu di dalam kereta aku yang berkunci. "Macam mana boleh ada di situ? Muka isteri terus pucat, memang ada benda yang tak kena dengan rumah ni. Kami cekalkan hati dan pergi juga kerja. Balik rumah malam tu, kami nampak jiran sebelah ada ustaz-ustaz datang. "Aku pun tanya la abang tu apa cerita. Abang tu cakap rumah dia ada gangguan, tengah buat ikhtiar halau hantu dengan bacaan doa. Maksudnya bukan kami seorang la yang terkena," ujar Fahmi sedikit lega. Gangguan makhluk halus boleh meninggalkan stres mendalam. -Gambar hiasan Walau bagaimanapun, Fahmi nekad untuk berpindah keluar kerana risau akan keadaan isterinya yang sedang hamil. "Tak kisah la kalau aku baru dua bulan duduk situ, tapi aku nak berambus juga. Keselamatan isteri aku lebih penting. Cuma itulah, beberapa hari sebelum berpindah kami sekali lagi diganggu, mungkin sebab 'benda' tu marah, "Dalam pukul 2 pagi, siling bilik tidur kami bergegar macam nak roboh sampai kami terbangun daripada tidur. Sebab geram punya pasal, aku pergi maki benda tu suruh senyap. Kemudian aku demam hampir dua minggu. "Itu pengalaman mistik kali pertama yang aku tempuhi dalam hidup ni. Sebelum tu memang susah aku nak percaya benda hantu ni, sekali dah kena baru tahu. "Syukur Alhamdulillah, paling penting saya, isteri dengan anak dah selamat sekarang," kata Fahmi menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube