RUANG peribadi pastinya diperlukan untuk beristirahat dan melakukan aktiviti secara sendirian. Demikianlah punca kemarahan meluap-luap Zafran apabila dimaklumkan bahawa datuk dan nenek akan berpindah masuk ke rumahnya. Menambah rasa geram Zafran apabila biliknya dipilih untuk menjadi tempat penginapan sementara bagi pasangan warga emas terbabit, susulan rumahnya tidak mempunyai kamar tidur yang kosong "Umi... mana boleh macam ni, tak akan adik kena tidur sekali dengan tok wan dan opah. Tiba-tiba je datang sini, apa jadi dekat kampung tu?," soal Zafran yang merupakan anak bongsu berusia 18 tahun. Si ibu kemudiannya menjelaskan telah berlaku kacau-bilau sehingga menyebabkan datuk dan nenek terpaksa meninggalkan rumah desa mereka sesegera mungkin. Rumah usang menimbulkan rasa gerun. -Gambar hiasan "Zaf ini hal kecemasan, tolong la faham. Abah kamu tengah bergegas balik jemput opah dan tok wan. "Takkan nak biar mereka tidur dekat ruang tamu, panas. Angah dan along ada bayi, bilik kamu je yang sesuai," ujar wanita pertengahan usia itu dalam keadaan kelam-kabut. Enggan berdalih, Zafran hanya menganggukkan kepala tanda setuju, namun masih terpinga-pinga memproses maklumat yang baru diterimanya itu. Bagi mendapatkan jawapan, Zafran lantas mencapai telefon pintarnya yang sebelum itu dimatikan supaya tidak mengganggu ketenteramannya bermain permainan video. ARTIKEL BERKAITAN: Budak kampung bagi hint padang ‘keras’ tak dihirau, remaja bandar baru pindah ke utara dipanah petir ketika main futsal "Aku ni asyik main game je, langsung tak sempat ambil tahu apa jadi dekat dunia, sini la tengok berita jap. "Eh! Lima beranak ditemukan mati tergantung dalam rumah?," Zafran bermonolog di dalam hatinya sambil membaca tajuk artikel. Persoalan demi persoalan mula bermain di dalam benak fikiran Zafran. "Punca kematian akibat jerutan pada leher. Lokasi di Kampung Alor Inai. Suspek sedang diburu. "Memang betul la kampung opah, tapi rumah mana satu ni? Keluarga yang mana satu? Aku balik kampung memang tak bergaul, terperuk dalam bilik dengan gajet. "Tapi kenapa sampai seluruh kampung jadi huru-hara? Aduh pening," kusut fikiran Zafran bersembang dengan isi hatinya. Malam yang panjang Sesudah Maghrib, datuk dan nenek Zafran tiba di rumah setelah mengharungi perjalanan yang agak jauh. Zafran pantas turun ke bawah untuk menyambut ketibaan tok wan dan opah, namun tergamam apabila melihat wajah mereka pucat lesi serta keadaan tubuh yang kelihatan lesu. Bapa Zafran kemudiannya turut memasuki rumah selepas mengunci kereta, dia melabuhkan punggung pada sofa sambil menghela nafas panjang, mukanya nampak berkerut seolah dibebani seribu satu masalah. Along dan Angah bersama suami juga sudah berkumpul di ruang tamu, Zafran merupakan ahli keluarga terakhir untuk menyertai perjumpaan tergempar itu. "Maaf anak-anak, opah dan tok wan perlu buat apa yang perlu demi kelangsungan keluarga kita. Kamu semua mungkin sudah tahu apa yang berlaku di kampung kami, zaman internet ni semua cepat je. "Ia tidak seperti yang kamu sangka. Bukan kes pembunuhan, tapi bunuh diri. Mereka sekeluarga adalah pengamal ilmu hitam. Dalam beberapa hari lagi, mereka akan dilahirkan kembali sebagai 'sesuatu' yang bukan manusia. Mensyirikkan Allah merupakan satu dosa besar. -Gambar hiasan "Pihak berkuasa belum sedar akan perkara ini, tapi opah dan orang kampung lebih mengetahui. Dengan bantuan abah kamu dan beberapa ahli kariah yang lain, kami dah 'pagar' keseluruhan mukim. "Apa yang terjadi di kampung itu selepas ini insya-Allah hanya akan kekal di dalam. Kita panjatkan doa kepada Allah supaya pertahanan yang didirikan berkekalan untuk keselamatan kita semua," jelas opah panjang lebar. Zafran terlopong mulutnya cuba menghadam perihal alam ghaib yang baru diceritakan si nenek, sama sekali bercanggah dengan dunia digital yang dia sudah sekian lama terlalu selesa. Selama ini Zafran sedia cakna yang keluarganya ada mewarisi kesaktian sejak turun-temurun tetapi tidak menyangka sebegitu hebat permainan mereka. "Lindungilah kami sekeluarga Ya Allah," doa Zafran yang tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam itu. Zafarn turut memeluk erat sosok tubuh neneknya yang sudah lena di sebelah, kini hilang perasaan marah sebaliknya digantikan dengan rasa kesyukuran. 10 tahun kemudian Berlalunya waktu, nama Kampung Alor Inai sudah dipadam daripada peta negara dan kian pudar dalam memori masyarakat. Perimeternya dilengkapkan dengan tembok tinggi dan jerangkap samar untuk menghalang orang luar daripada memasuki kawasan terlarang. "Desas-desus berkata keseluruhan kampung itu sudah ditelan perut bumi, selepas disumpah kerana kecelakaan yang berlaku di dalamnya," cerita Zafran kepada anaknya sebelum masuk tidur. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube