SEJAK kebelakangan ini sebuah homestay (inap desa) di sebuah negeri di Pantai Timur menjadi tumpuan setelah viral di media sosial. Mana tidaknya, tarikan utama tempat penginapan itu adalah suasana pantai yang mendamaikan hingga membuatkan golongan artis juga teruja untuk bercuti ke sana. Tidak melepaskan peluang semestinya Syazana yang memilih homestay berkenaan untuk meluangkan masa bercuti bersama keluarganya pada awal Julai lalu. "Kami menyewa tiga buah homestay, satu untuk saya dan keluarga yang kecil dan dua lagi untuk mak serta adik-beradik lain. "Malam itu kebetulan hari lahir anak saya jadi suami ada belikan kek. Kami menikmati makan malam di kawasan berhampiran. Setelah selesai makan, kami duduk santai di depan homestay. "Kami menikmati angin sepoi-sepoi sambil berbual dengan ibu saudara yang tinggal berhampiran... dia datang singgah jumpa kami," ujarnya memulakan cerita. Syazana mendakwa pintu bilik air seolah-olah diterajang makhluk tersebut. -Gambar hiasan Sekitar pukul 10 malam, mereka yang keletihan selepas penat dengan aktiviti di siang hari masuk ke bilik masing-masing untuk berehat. Seperti biasa, Syazana tidak tidur awal kerana suaminya suka menonton rancangan di aplikasi Netflix. Masa berlalu tanpa disedari sehingga jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Ketika itu terdetik di hati Syazana tentang inap desa berkenaan yang cantik dengan ciri-ciri seperti rumah kampung namun agak menggerunkan. "Pintu bilik air boleh diselak dari luar menggunakan selak kayu. Homestay ini juga tidak mempunyai laluan angin, hanya berpendingin hawa. "Tiba-tiba pintu bilik air bergegar dengan kuat. Saya melihat suami yang masih fokus dengan Netflix. Saya cuma anggap itu mungkin disebabkan angin. ARTIKEL BERKAITAN: Rumah berpenghuni dikata berhantu, satu Malaysia kena tipu! Kain kuning, insiden rasuk cuma rekaan ARTIKEL BERKAITAN: Pindah dari Kelantan ke PJ, rumah sewa murah rupanya berhantu! Mulanya nak bertahan sebab ‘sayang deposit’, akhirnya ‘cabut’ juga "Tapi bunyi angin semakin kuat membuatkan saya rasa tidak selesa. Saya beritahu suami supaya jangan tidur dulu sebab saya dah mula merasa seram. Malangnya tak sampai 10 minit, suami sudah tertidur," katanya lagi. Pada malam itu pelbagai kejadian aneh berlaku namum ia terpaksa ditanggung Syazana sendirian. "Panggggggg!" bunyi kuat memecah kesunyian malam dari arah pintu bilik air seolah-olah ditendang seseorang hingga membuatkan jantung wanita itu berdegup kencang. Syazana cuba menyedapkan hatinya dengan mengatakan bunyi tersebut disebabkan angin kuat memandangkan kediaman mereka itu berada berhampiran laut. "Tapi saya cuba untuk berpikir secara logik... kalau angin kuat, kenapa pintu utama tidak bergerak sedangkan ia juga daripada kayu? Pada ketika itu, rasa tidak sedap hati mula menyelubungi diri. "Saya rasa seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan diri ini. Saya takut jika pintu bilik air itu terbuka, apa yang mungkin keluar? Sesuatu yang merangkak? Atau mungkin terbang?," kata Syazana. Tidak terhenti di situ, Syazana kemudiannya terus diganggu apabila dia mula merasakan seolah-olah katilnya digoncang dengan kuat. Ina menggambarkan entiti tersebut dalam keadaan berbulu dan berwajah bengis. -Gambar hiasan Dalam ketakutan, wanita ini cuba memerhatikan sekeliling biliknya lalu terlihat kelibat satu makhluk berbulu berada di hujung katil. Menurut gambaran diberikan Syazana, entiti tersebut dikatakan memandang Syazana dengan wajah bengis. "Saya tengok suami masih tak sedar dengan apa yang berlaku. Dia sedap tidur dalam keadaan macam tu. Saya memang panik takut makhluk tu terkam saya. "Tapi saya teringat pada ajaran arwah atuk dulu. Jadi dengan beraninya saya pejam mata sambil berkata... Aku tak ganggu kau, kau jangan ganggu aku. Aku datang sini untuk bercuti dan aku sudah bayar. "Dengan serta-merta, katil berhenti bergegar. Saya rasa lega apabila entiti tu hilang lepas buka mata tetapi dalam hati tetap cemas, risau jika selepas itu ia akan muncul semula. Malam itu, saya tidak dapat tidur," jelasnya lagi. Pagi keesokan harinya, Syazana terus keluar dan duduk di bahagian ruang tamu rumah inap tersebut sambil menunggu ahli keluarganya bangun daripada tidur. Menurut Syazana, dia hanya menceritakan pengalaman ngerinya itu selepas pulang ke kediaman mereka. Sebagai seorang wanita yang dianggap 'insan terpilih' kerana hijabnya terbuka, inilah pengalaman seram yang tak akan dilupakan sampai bila-bila. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube