suria

Pemandu van diganggu lepas hantar jenazah, pakcik misteri dah bagi ‘hint’ awal - “Malam ni kena kacau la kau”

Masrul memberhentikan van jenazahnya selepas tiba di kawasan perkampungan.

GANGGUAN atau kisah mistik adalah perkara biasa yang perlu dihadapi oleh mereka yang bergelar pemandu van jenazah mahupun penggali kubur.

Bagi individu yang pertama kali terlibat dalam pengurusan mayat,  sudah pasti perkara ini sedikit sebanyak menghantui diri.

Turut mengalami situasi sama, seorang pemandu van jenazah di Sabah berkongsi pengalamannya diganggu makhluk halus semasa dalam perjalanan pulang selepas menguruskan kematian. 

Dia yang dikenali sebagai Masrul berkata, gangguan yang berlaku itu adalah pertama kali dialaminya sepanjang tempoh lima tahun bekerja dalam bidang ini.

“Masa ada gangguan, aku ikat keranda supaya tak bising, hati rasa berat mahu teruskan perjalanan masuk ke Jalan Ulu Kukut.  

“Suasana sunyi, tak ada kereta lalu… pada pukul 1.50 pagi, tiba-tiba ada kereta lalu, cepat-cepat kejar kereta tu. 

“Tapi tak dapat kejar sebab dipandu laju,” ujarnya memulakan cerita. 

Tali diikat pada keranda supaya tidak bergoyang. -Foto TikTok Masrul

Tali diikat pada keranda supaya tidak bergoyang. -Foto TikTok Masrul

Menurut Masrul, sepanjang berada di laluan tersebut, dia berdepan dengan dua situasi pelik. 

Ujarnya, disebabkan tidak berjaya mengikut rapat kenderaan tersebut, dia kembali memperlahankan pemanduan.

Tambahan pula, matanya sudah rasa mengantuk.

“Aku mahu singah di R&R Ulu Kukut untuk tidur sekejap... menghampiri lokasi, aku siap sedia tengok keadaan di situ. 

“Tempat tu gelap, jadi aku teruskan perjalanan. Aku cari kawasan rumah orang kampung yang terang untuk disinggah. 

ARTIKEL BERKAITAN: Penjaga loji cabut lari nampak 5 ekor ular ‘berbaris’, tak sempat bertenang diganggu pula 3 susuk tubuh tanpa wajah

ARTIKEL BERKAITAN: “Terbeliak mata aku tengok bucu katil!” - Hantu asrama UK ‘sambut’ pemuda Malaysia, malam pertama penuh huru-hara

“Lima minit dari R&R Ulu Kukut, tiba-tiba aku ternampak lagi R&R yang sama. Aku terkejut dan rasa pelik. 

“Kelajuan van jenazah ditingkatkan lagi untuk segera beredar dari situ,” luahnya yang diselubungi rasa seram ketika itu. 

Cuba bertenang dengan situasi dialami, dia akhirnya berjaya turun ke kawasan Bukit Timbang Menggaris. 

Beranggapan tiada lagi ‘gangguan’ akan berlaku, Masrul tidak menyangka dia mendengar bunyi batuk yang kasar pula. 

Perasaan takut kembali menyelubungi dirinya dan dia mula menekan pedal minyak. 

Masrul cuba merapati kenderaan di hadapannya namun tidak berjaya. -Foto TikTok Masrul

Masrul cuba merapati kenderaan di hadapannya namun tidak berjaya. -Foto TikTok Masrul

“Kaki kanan kekal di pedal minyak seolah berat mahu dipindahkan untuk menekan brek. Kelajuan juga mula ditingkatkan lagi. 

“Masa ni nafas aku pun rasa sesak… mengantuk pun hilang. 

“Semakin jauh pemanduan, semakin hilang rasa takut tadi, semangat pun mula ada dan aku positifkan diri,” imbaunya sambil menyatakan dia akhirnya berjaya menghampiri kawasan perkampungan di Kota Belud. 

Menurut Masrul, kewujudan beberapa buah kereta yang melalui kawasan sekitar membuatkan dia mampu menarik nafas lega. 

Dia kemudiannya membuka cermin kenderaan, namun tiba-tiba seekor burung kecil terbang keluar dari dalam van yang dipandu. 

Terkejut dengan situasi itu, dia menjerit sekuat hati. 

“Bulu roma seolah-olah gugur dari badan, nafas macam terhenti. 

“Nasib baik masa tu kelajuan van jenazah ditahap paling rendah. Aku singgah di simpang tiga Kota Belud dan turun menenangkan diri,” ujarnya. 

Ramai yang diganggu peristiwa misteri. -Gambar hiasan

Ramai yang pernah mengalami gangguan misteri. -Gambar hiasan

Masrul berkata, pada masa sama, fikirannya terus dibelenggu persoalan tentang kewujudan burung tersebut. 

Susulan itu, dia mengimbau kembali urusan penghantaran jenazah yang dilakukan pada sebelah siang sehingga akhirnya teringat perbualan ringkas bersama seorang lelaki tua. 

“Aku terus teringat perbualan bersama pakcik di tempat aku hantar jenazah, dia cakap sambil dia ketawa.

“Semasa di rumah waris siang tadi, antara ramai-ramai, pakcik tu saja yang menarik perhatian mata aku untuk tengok dia. 

“Setiap kali aku tengok dia, mata dia memang memandang aku dan semasa aku mahu pulang, pakcik tu tiba-tiba berdiri di tepi pintu van jenazah,” tambahnya. 

Menurut Masrul sebelum pulang, pakcik terbabit menegurnya dan bertanyakan sama ada dia bersendirian atau sebaliknya. 

Sejurus menyatakan dia tidak ditemani sesiapa, pakcik itu memuji keberaniannya.

Pada masa sama dia dimomokkan dengan kata-kata ‘malam ni, kena kacau la kau’, yang turut membuatkan bulu romanya berdiri. 

Peristiwa-peristiwa pelik yang dialaminya Itu membuatkan Masrul tertanya-tanya adakah pakcik misteri yang ditemui di rumah waris jenazah ingin ‘mencuba’ ilmu kepadanya atau fikirannya terganggu kerana mengantuk.

Artikel Lain