suria

Pereka dedah 8 lirik lagu 'tersembunyi' pada gaun merah Siti Nurhaliza

Pereka fesyen dedah lirik lagu yang disulam pada baju Siti Nurhaliza.

FESYEN gaun merah yang digayakan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza pada konsert Siti Nurhaliza On Tour 2019 yang berlangsung Sabtu lalu mendapat perhatian ramai pihak.

Busana rekaan duo Fizi Woo yang dinamakan red tulle ball gown itu digayakan pada segmen balada yang mana Siti atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Ti menyampaikan lagu-lagu balada popularnya.

Fizi berkata, rekaan itu dibuat khas untuk Tok Ti dengan menyuntik elemen menerusi lirik-lirik lagu balada yang sinonim dengan penyanyi nombor satu negara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Jaga Dia Untukku' undang sebak, Siti imbau insiden Datuk K kemalangan di New Zealand

ARTIKEL BERKAITAN: “Asalkan selesa, buat apa nak pakai pakaian ketat” - Siti Nurhaliza jawab busana dikritik lapuk

Busana merah Tok Ti rekaan Fizi Woo tarik perhatian.

"Ini merupakan kali kedua kami membuat busana untuk beliau dan sudah tentu rasa gementar dan kami buat sedikit kajian tentang baju-baju yang pernah dipakai oleh Tok Ti dan apa yang sesuai dengannya.

"Untuk segmen balada kami tidak boleh terlalu moden dan terlalu tradisional, jadi kami jadikan beberapa lirik lagu popularnya sebagai rujukan utama pada baju berkenaan," ujarnya kepada mStar Online.

Tambahnya, terdapat lapan lirik daripada lagu-lagu popularnya yang disulam pada busana itu.

Bagaimanapun, Fizi berkata, ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

"Terdapat lapan lirik daripada lagu-lagu yang sinonim dengan Tok Ti tapi ia tidak dapat dilihat ketika beliau sedang menyanyi. Sesuatu yang seni tidak dapat dilihat dengan mata kasar," katanya.

Berikut senarai lapan lirik tersebut:

1. Jerat Percintaan

“Perlukah kita untuk berkorban demi pertahankan kebahagiaan."

2. Wajah Kekasih

“Adakah mungkin untukku menghindari gurisan kasih luka di hati."

3. Pendirianku

“Sejak mula ku kenali oh dirimu kasih."

4. Aku Cinta Padamu

“Belum puas ku menikmati kesan kasih sayang kau terpaksa pergi."

5. Purnama Merindu

“Purnama mengambang cuma berteman bintang berkelipan dan juga awan."

6. Kau Kekasihku

“Seiring camar pulang setia pada janji itu doaku selama ini."

7. Percayalah

“Kasihmu lama tersulam di ruang paling dalam."

8. Bukan Cinta Biasa

“Cintaku bukan di atas kertas, cintaku getaran yang sama."

Busana merah dibuat tanpa sebarang batu permata.

Dalam pada itu, Fizi berkata, dia tidak meletakkan batu permata pada baju berkenaan berikutan Tok Ti sendiri digambarkan sebagai sebuah batu permata yang berharga.

"Kami tak letak batu kerana kami rasakan ia tidak perlu kerana bagi kami penonton akan beri perhatian kepada Tok Ti pada malam itu.

"Kami tidak mahu baju yang sarat akan menenggelamkan Tok Ti di atas pentas itu nanti. Orang akan beri perhatian kepada persembahannya sahaja pada malam tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Fizi berkata, penyanyi lagu Wajah Kekasih itu hanya mengambil masa 30 saat untuk menukar baju pada malam konsert berkenaan.

Katanya, ia sesuatu yang agak sukar namun berjaya dilakukan wanita berkenaan dengan baik.

"Beliau sangat profesional bayangkan peralihan segmen hanya satu minit 30 saat sahaja masa untuk bertukar baju.

"Beliau berjalan dari pentas ke belakang sahaja sudah mengambil masa satu minit dan hanya ada 30 saat untuk tukar baju. Anda bayangkan dia perlu tukar baju tradisional yang bertanjak itu kepada gaun merah itu dan Tok Ti berjaya melakukannya," ujarnya.

Siti Nurhaliza, Fizi Woo, konsert

Artikel Lain