suria

10 kempen fesyen lebaran eksklusif 2019 yang memukau mata, mana satu pilihan hati?

Fesyen lebaran tahun ini dimeriahkan dengan rekaan pelbagai jenama tempatan.

KEMERIAHAN lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi dirancakkan lagi dengan pelbagai rekaan baju raya menawan oleh pereka fesyen tempatan.

Biarpun golongan wanita dikenali memang lebih gemar melaram pada pagi Aidilfitri, namun si jejaka juga apa kurangnya.

Banyak rekaan yang ditawarkan pada tahun ini pasti membuatkan anda rambang mata kerana bukan sahaja cantik dan anggun, malahan ada antaranya dijual pada harga mampu milik!

Jom kita 'usha' rekaan baju raya si dara dan teruna yang akan menggegarkan fesyen lebaran tahun ini.

1. Rizalman For Zalora

Seperti kebiasaan koleksi bersempena Aidilfitri daripada Datuk Rizalman Ibrahim antara yang menjadi perhatian penggemar fesyen tempatan.

Idea dan inspirasi pereka fesyen terkenal itu yang sentiasa tampil dengan kelainan dalam menghasilkan koleksinya membuatkan ramai teruja.

Dapat melaram pakaian rekaan Rizalman adalah satu kebanggaan di pagi Raya.

Jika tahun lalu kolaborasi Rizalman bersama Zalora menampilkan koleksi bertemakan Bollywood namun kali ini pereka fesyen itu tampil pula dengan baju kurung moden dan kaftan berinspirasikan era vintaj British.

Antara koleksi Rizalman For Zalora sempena Aidilfitri 2019.

Menerusi koleksi itu, Rizalman banyak mengambil inspirasi fesyen Victoria yang popular dalam kalangan wanita pada zaman 1800-an yang turut disuntik dengan elemen cetakan flora dalam memberikan keceriaan pada Aidilfitri.

Lebih 60 rekaan untuk dipilih pelanggan, koleksi tersebut dijual pada harga dari RM299 hingga RM679 mengikut rekaan dan paling penting, Zalora turut memberikan diskaun istimewa sehingga 30 peratus.

Semua koleksi itu dijual secara eksklusif di www.zalora.com.my.


2. Rico Rinaldi

Tidak lengkap rasanya fesyen Aidilfitri tahun ini tanpa melihat koleksi rekaan pereka terkemuka, Rico Rinaldi.

Tampil dengan konsep flora dan fauna, Rico Rinaldi mempersembahkan 45 rekaan menawan yang terbahagi kepada kategori Ramadan, Summer Raya dan Bespoke.

Koleksi busana raya oleh Rico Rinaldi yang sudah masuk tahun kelapan itu turut menampilkan adik pengacara Neelofa, Ameera Khan sebagai 'muse' label fesyennya pada lebaran kali ini.

Tidak dilupakan, pereka fesyen tersebut turut menampilkan tiga rekaan istimewa baju raya untuk kaum Adam.

Ameera Khan menjadi pilihan Rico Rinaldi sebagai 'muse' fesyen lebaran keluarannya tahun ini.

Harga untuk koleksi Ramadan dan Summer Raya bermula pada RM400 hingga RM500, manakala koleksi Bespoke pula berharga antara RM1,800 ke RM2,200.

Pereka yang memiliki 12 tahun pengalaman dalam industri fesyen itu memilih tema flora dan fauna kerana ia sudah sebati dengan identiti dirinya.

Rekaan yang memukau mata dan dihiasi dengan susunan manik lain daripada lain ini boleh didapati laman web Rico Rinaldo, Fashion Valet atau di butik yang terletak di Plaza Damas dan Bandar Baru Bangi.


3. Larney & Locka

Kolaborasi dua pereka fesyen muda, Zura Zabidi dan Shukri Shari merancakkan lagi fesyen lebaran tahun ini menerusi koleksi 'Urban Raya 2019 with Larney & Locka'.

Tema 'Urban Raya' diangkat oleh kedua-dua pereka fesyen tersebut kerana ingin menyuntik elemen suasana Aidilfitri di kota dengan rekaan yang glamor dan elegan.

Sentuhan Larney dan Locka diterjemahkan dalam 60 rekaan busana yang memberikan nafas moden kepada potongan klasik dan limpahan warna terang buat mereka yang mahu tampil segar di pagi Raya.

Sesuai untuk mereka yang mahu tampil dengan imej klasik dan glamor.

Kemasan pada fabrik yang digunakan seperti renda, batik, dan songket disiapkan dengan perincian yang teliti untuk menyerlahkan rekaan mewah kepada setiap busana.

Harga yang ditawarkan pula bermula daripada RM300 hingga RM800 sepasang, bergantung kepada rekaan dan fabrik yang digunakan.

Koleksi 'Urban Raya 2019 with Larney & Locka' boleh didapati di laman web Fashion Valet, Larney dan Locka serta kedai 'pop-up' Raya di pusat beli-belah KLCC dan One Utama.


4. Seleksi Akma

Sesuai dengan tagline 'Keunggulan Tradisi', jenama popular Seleksi Akma terus kekal eksklusif apabila tampil mengetengahkan batik sebagai koleksi raya Aidilfitri 2019.

Memulakan operasi sejak 1992, rekaan busana Seleksi Akma tahun ini cukup menarik apabila ia diinspirasikan daripada alam semulajadi menerusi tujuh seleksi busana yang boleh dipilih dan dipadankan (mix and match).

Sesuai buat mereka yang ingin tampil ringkas, minimalis namun tetap klasik dan elegan, koleksi batik ini juga sesuai dipadankan dengan enam rekaan baju kurung bersulam yang ditawarkan jenama ini.

Busana daripada Seleksi Akma bukan sahaja boleh dipakai ketika hari lebaran, malahan sesuai digayakan ke mana-mana sahaja.

Anda boleh memilih sama ada baju kurung Kedah, kebaya labuh, kurung moden, kebaya pendek, kebaya loose atau kedah batik.

Turut tampil dengan pelbagai pilihan warna sama ada bold atau pastel, #seleksiraya2019 oleh Seleksi Akma memiliki pelbagai saiz xs, s, m, l dan xl.

Koleksi Seleksi Akma dijual secara atas talian atau boleh membeli secara terus di booth eCurve sepanjang Ramadan ini dengan harga sepasang baju kurung juga semestinya mampu milik dan bermula dari harga RM119 - RM289.

Kalau dah melaram nanti, jangan lupa muat naik OOTD Raya dengan tanda pagar #seleksiraya2019


5. Elfira Loy X MC Vogue

MC Vogue atau Muslimah Collection Vogue menjadi jenama tempatan yang pantas mencuri perhatian dengan memiliki lebih 20 cawangan di seluruh negara.

Jenama ini yang diusahakan oleh pasangan suami isteri Teff and May sejak tahun 2012 tampil memperkenalkan konsep pakaian moden muslimah untuk golongan wanita yang menitik beratkan sesuatu sopan, anggun namun kekal bergaya.

Tidak ketinggalan untuk merasai kehangatan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba kelak, MC Vogue buat julung kali menjalinkan kolaborasi bersama pelakon jelita, Elfira Loy.

Busana Elfira Loy X MC Vogue mengetengahkan konsep 'Fairy Forest' pada lebaran tahun ini.

Koleksi busana Elfira Loy X MC Vogue ini hadir dengan empat rekaan unik dengan sentuhan feminin dan elegan berkonsepkan 'Fairy Forest' menampilkan material dengan rona lembut, berbulu, dan manik-manik berkilauan.

Harga untuk sepasang baju kurung hanya RM299 adalah sangat mampu milik!

Cawangan MC Vogue terletak di Paradigm Petaling Jaya, IOI City Mall, Melawati Mall, Setia City Mall, Mytown Shopping Center, Empire Shopping Gallery, Aman Central (Alor Setar, Kedah), AEON Bandar Melaka, AEON Bandar Dato Onn (JB) dan Paradigm JB, Kuantan City Mall dan AEON Kelantan.

6. Mek Kembang Cotton Ready-To-Wear Raya 2019

Jenama Mek Kembang Cotton (MKC) pada tahun ini menampilkan koleksi rekaan terbaru ready-to wear Raya 2019 yang berkonsepkan moden kontemporari.

Kesemua koleksi ini berkonsepkan baju kurung moden, baju kedah moden dan baju Melayu yang bersesuaian dengan cita rasa terkini tidak kira peringkat umur.

Koleksi Raya 2019 ini ditawarkan pada harga berbeza bergantung kepada rekaan dan jenis kain, bermula serendah RM180 dan harga untuk koleksi ready-to-wear pula serendah RM300.

Dapatkan baju raya 'ready-to-wear' anda di Mek Kembang Cotton pada harga serendah RM300.

Setiap keluaran lebih bersifat 'simple but elegant' apabila rekaan MKC kali ini lebih fokus kepada kesederhanaan tetapi masih disuntik dengan elemen 'glamorous'.

Dapatkan koleksi-koleksi terbaru Raya 2019 di Mek Kembang Cotton Bangi dan Mek Kembang Cotton Kuantan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mekkembangcotton.com atau Instagram @mekkembangcotton.


7. Arma Atelier

Pereka fesyen Arma Abdul Rahman tampil dengan koleksi yang cukup praktikal dan elegan sempena lebaran tahun ini.

Selain 12 rekaan pra tempah yang mengangkat tema Saloma, Arma turut menghasilkan seleksi busana ready to wear yang menawarkan harga mampu milik buat anda.

Sebanyak 18 rekaan yang terdiri daripada kebaya, kurung pesak, kurung Kedah dan beberapa rekaan lain pastinya menyerlahkan lagi penampilan anda pada pagi lebaran di samping kualitinya yang tinggi biarpun dijual pada harga bawah RM400.

Tidak dijual di atas talian, Arma sebaliknya membuka booth di tiga lokasi berbeza sepanjang Ramadan ini.

Bagi mendapatkan koleksi berkenaan, anda boleh berkunjung ke Level 1-3A wangsa 118, Wangsa Maju bermula 15 Mei hingga 4 Jun ini.

Selain itu, rekaan Arma juga boleh didapati di Grand Bazaar Ramadan Stadium Bukit Jalil pada 16 Mei hingga 4 Jun dan Star Vendor Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 24 hingga 26 Mei ini.

Selain koleksi mampu milik itu, rekaan premium Arma juga boleh didapati di Robinson Kuala Lumpur.

8. Karl Shafek Ready-To-Wear Bangsawan

Keistimewaan tenun Pahang menjadi pilihan Karl Shafek dalam mempamerkan koleksi pakaian rayanya buat kali pertama bersempena perayaan Syawal yang bakal menjelang tiba.

Karl memilih untuk berkolaborasi bersama Pusat Tenun Pahang Diraja Felda dengan mengeluarkan koleksi pakaian raya yang diperbuat daripada kain tenun sutera.

Corak moden menjadi tambahan kepada sampin songket tenunan Pahang dan pada masa sama keaslian sampin tersebut dikekalkan dengan rekaan corak halus.

Harga koleksi lebaran seperti baju melayu dan kurta dijual pada harga permulaan RM179, manakala songket tenun pula pada harga RM1200.

Bagi penggemar tenun Pahang, anda boleh dapatkan koleksi pakaian raya antaranya songket, baju melayu dan kurta menerusi laman web neonatecompany.com.


9. Souk Raya

Souk Raya menampilkan lebih 30 gaya menarik untuk wanita, lelaki dan pakaian kanak-kanak yang mendapat sentuhan sembilan pereka terkenal negara.

Rekaan siap dipakai tersebut merupakan hasil kolaborasi dengan pereka ternama seperti Shanell Harun, Raya oleh Calvin Thoo, Koleksi De Bunga Raya oleh Ridzuan Bohari, Chic Cool Chica oleh Tom Signature, Goodman dan Dato Shah Reza.

Selain itu, jenama seperti Kids by ASLI pula untuk kanak-kanak, Najla Shoes, aksesori oleh Suzanna dan bunga-bungaan oleh Bunga Lab.

Pereka fesyen prolifik seperti Datuk Tom Abang Saufi dan Iman Zulkarnain juga turut memeriahkan koleksi Souk Raya kali ini.

Rekaan oleh Ridzuan Bohari ini antara yang memukau mata hadirin di pertunjukan fesyen Souk Raya 2019 yang berlangsung di GMBB.

Kepada yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat koleksi Souk Raya boleh ke GMBB, Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 31 Mei ini dari 10 pagi hingga 10 malam.

Harga yang ditawarkan pula berbeza-beza mengikut koleksi setiap pereka tersebut.

Untuk maklumat lanjut tentang Souk Raya dan senarai aktiviti terkini di GMBB, boleh ikuti laman Facebook atau Instagram rasmi mereka.

10. Hatta Dolmat Raya Luxe 2019


Kebaya pendek warna hijau rimba antara koleksi Hatta. 

Siapa tidak kenal dengan pereka fesyen Hatta Dolmat yang banyak menghasilkan rekaan untuk artis terkenal termasuk Yuna.

Bersempena Aidilfitri, Hatta tampil dengan koleksi Hatta Dolmat Raya Luxe 2019 yang turut menggunakan pelakon Nadia Brian sebagai wajah eksklusif himpunan baju raya tahun ini.

Bertepatan dengan pemilihan itu, Hatta tampil dengan koleksi yang mementingkan nilai eksklusif, anggun dan feminin buat si pemakai.

Antara rekaan menarik koleksi Hatta.

Bagi koleksi itu juga, Hatta menggunakan fabrik seperti french lace, chiffon menerusi pemilihan warna seperti hijau rimba, merah hati sehingga palet warna pastel lembut memberikan kelainan dan keunikan koleksinya tahun ini.

Berminat dengan koleksi ini? Jom kunjungi Instagram Hatta Dolmat untuk maklumat lanjut. 

Artikel Lain