KEADAAN kulit kepala yang kering dan mengelupas boleh membuatkan seseorang berasa tidak selesa dan rendah diri hingga sering mengelak daripada menghadiri majlis tertentu. Jika anda mengalami masalah ini, jangan risau kerana terdapat pelbagai rawatan kulit kepala kering yang dapat mengatasi kerisauan anda! Majalah Glamour memetik pakar dermatologi yang mengupas masalah itu memberitahu punca menyebabkan masalah tersebut berlaku dan bagaimana untuk menanganinya. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan anda mengalami kulit kepala kering seperti: Kelemumur adalah masalah kulit kepala yang sering berlaku kepada lelaki dan wanita. - Girlfriend Magazine 1. Kelemumur Pakar bedah kosmetik dan kehilangan rambut dari New York, Amerika Syarikat (AS), Dr Carlos Wesley berkata, kelemumur terjadi apabila minyak yang dihasilkan oleh kulit kepala dikeluarkan secara berlebihan. Minyak pada kulit kepala menghalang sel kulit mati daripada bersalin kulit seperti kebiasaannya, sebaliknya sel kulit mati tersebut akan nampak lebih ketara dan mengelupas. Cara rawatan: Kelemumur tidak dapat disembuhkan, tetapi ada beberapa cara yang dapat membantu anda mencegahnya daripada berlaku. Langkah pertama adalah dengan menggunakan syampu anti kelemumur. "Produk yang mengandungi tar, zink pyrithione atau selenium sulfida terbukti berkesan untuk merawat kelemumur," kata Dr Wesley. Kerap menukar gaya rambut juga menyebabkan kulit kepala jadi gatal-gatal. - Reader's Digest 2. Produk dan penggayaan rambut Jika anda tidak mempunyai kelemumur, masalah kulit kepala kering mungkin disebabkan oleh produk penggayaan rambut. Pakar dermatologi Stanford AS, Dr Laurel Naversen Geraghty berkata, sesetengah gel, krim, salap, minyak rambut dan penyembur akan menghuni kawasan kulit kepala dan membentuk kepingan serta menyebabkan kegatalan. Cara rawatan: Sekiranya anda mula berasa gatal-gatal selepas menggunakan sesuatu produk, cuba tukar kepada produk lain yang tidak mengandungi bahan-bahan memudaratkan. Psoriasis menyebabkan kulit kepala mengalami kemerahan dan mengelupas. - Short Hills Dermatology 3. Psoriasis Psoriasis adalah keadaan kulit biasa yang boleh menyebabkan kemerahan, mengelupas dan menjalar pada kulit kepala anda. "Kebiasaannya keadaan kulit bersisik itu lebih tebal dan ketara dalam psoriasis berbanding kelemumur," kata Dr Geraghty. Cara rawatan: Mereka yang mengalami psoriasis boleh cuba gunakan syampu yang mengandungi tar batu arang atau asid salisilik dan minyak mineral sebagai rawatan kulit kepala untuk melembut dan membuang sisik tersebut. Kadang-kadang alahan boleh berpunca daripada pemakanan. - Reddit 4. Alahan Sebenarnya, beberapa makanan yang tinggi kandungan karbohidrat boleh meningkatkan pengeluaran yis pada kulit kepala anda. Cara rawatan: Jika kepala anda mudah mengalami kelemumur, cuba kurangkan pengambilan karbohidrat dan gula. Kemudian lihat sama ada berlaku perubahan atau tidak. Anda juga boleh cuba ambil suplemen minyak ikan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 yang terkenal dengan keupayaannya melawan kekeringan. Selain itu, zat besi, Vitamin A, B, dan C juga dapat membantu kulit anda kekal terhidrat dan sihat. Sekiranya semua masalah ini masih berlaku, jangan teragak-agak untuk berjumpa dengan pakar bagi mendapatkan bantuan. Pakar dermatologi dapat membantu anda mengenal pasti masalah sebenar dan memberikan penyelesaian terbaik untuk merawat masalah yang dihadapi.