suria

Nak tampil mengancam di pagi Aidilfitri, pastinya beg handmade bahan semula jadi jawapannya!

Pelbagai rekaan corak yang dihasilkan menarik perhatian kaum wanita. Foto: Instagram The Bag Traveller.

KEHANGATAN sambutan 1 Syawal pasti sudah mula dirasai sekali gus membuatkan ramai teruja menyediakan persiapan raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Selain baju raya yang sudah tentu wajib ada dalam senarai anda, aksesori seperti beg juga tidak ketinggalan untuk tampak menyerlah di pagi raya.

Beg yang diperbuat daripada bahan semula jadi menjadi pilihan ramai wanita memandangkan ia kini menjadi trendy dalam kalangan wanita.

Melihat kepada pemakaian trending beg yang diperbuat daripada bahan semulajadi, Hafizah Hashim, 30, menampilkan satu kelainan dengan menghasilkan sulaman manik dan corak bunga-bungaan untuk tampak lebih moden dan elegan.

"Beg handmade ini semuanya diperbuat daripada bahan semula jadi seperti rumpai laut, rotan, Water Hyacinth dan daun nenas.

"Teknik menjahit secara manual menggunakan jarum dan benang daripada tali pancing, jujurnya agak sukar nak jahit manik dan beberapa corak atas beg tersebut lebih-lebih lagi pada material yang keras seperti Water Hyacinth, jadi ia ambil masa dalam satu hingga tiga hari untuk siapkan.

"Bagi persiapan raya, saya dan team sudah mula menyulam sejak Januari lalu untuk pastikan ready stock sentiasa ada untuk pelanggan," katanya ketika dihubungi mStar.

Corak bunga-bungaan menghiasi permukaan beg. Foto: Instagram The Bag Traveller

Menceritakan tentang corak yang dipilih pelangannya, Hafizah memberitahu rekaan corak eksotik dan sweet-sweet juga menjadi kegemaran ramai.

"Alhamdulillah, untuk raya kali ini sambutan amat memberansangkan dengan pelbagai rekaan corak yang menarik untuk mereka dan sebenarnya ramai yang minat dengan barang handmade.

"Saya pun sangat galakkan generasi muda sekarang untuk memakai barang-barang yang diperbuat daripada bahan semula jadi supaya boleh rasa dekat dengan alam semula jadi," ujarnya yang menjalankan perniagaan secara online.

Keunikan beg-beg yang dihasilkan Hafizah telah mampu menarik perhatian pelanggan bukan sahaja di Malaysia malah dari Brunei, Singapore, Jepun dan Turki.

Beg yang diperbuat daripada bahan semulajadi dimodenkan supaya lebih tampak elegan.

Hafizah yang begitu minat dalam menghasilkan sendiri rekaan corak pada beg unik tersebut akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan sejak 2018 dengan bantuan suami.

Pelbagai nama menarik pada setiap beg yang dijual seperti Black Luxe Straw, Miss Anyam, Dahlia Straw, Azalea Seagrass, Kewra Pandan, Pompom Straw, Exotic Straw dan Luxe Enceng.

Dalam pada itu, beg handmade ini dijual pada harga RM49.90 hingga RM300 dan boleh dapatkan menerusi laman Instagram (@thebagtraveller) dan Facebook thebagtraveller.

Jika berada di sekitar Kuala Lumpur, anda boleh dapatkannya di Bazar Tarakucharaya, KL sentral dari 14 Mei sehingga 2 Jun.

handmade, beg, beg tangan

Artikel Lain