JIKA golongan wanita sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli beg tangan berjenama, jangan terkejut jika golongan lelaki juga sanggup berbelanja besar untuk memiliki samping idaman mereka. Pengusaha Siti Songket, Siti Sakine Hussain berkata, samping boleh diibaratkan seperti aksesori yang melengkapkan penampilan si jejaka ketika mengenakan baju Melayu. Katanya, permintaan terhadap samping juga meningkat secara mendadak pada musim perayaan ini. "Orang lelaki kalau betul-betul minat samping, memang mereka tak kisah tentang harga. "Boleh dikatakan, 300 pasang samping tu sekelip mata sahaja boleh habis terjual," katanya kepada mStar. Selain digayakan pada hari raya, samping boleh dipakai pada acara lain seperti majlis perkahwinan atau majlis rasmi yang memerlukan si lelaki mengenakan pakaian tradisional. Orang lelaki kalau betul-betul minat samping, memang mereka tak kisah tentang harga. SITI SAKINE Pengusaha songket Jelas usahawan yang berasal dari Dungun, Terengganu itu, harga samping yang diperbuat daripada songket adalah bergantung kepada cara pembuatannya. Menurut Siti Sakine, terdapat dua jenis songket yang berada di pasaran iaitu songket buatan tangan dan mesin. "Kebiasaannya, saiz bidang samping buatan tangan ini adalah 36 inci lebar dan 2.25 meter panjang. "Bayangkan berapa lama masa yang perlu diambil jika dalam masa sehari pembuat samping tenunan tangan ini boleh siap satu ke dua inci sahaja," ujarnya. Tambah Siti Sakine, jurutenun songket asli dari Terengganu memerlukan masa sebulan hingga tiga bulan untuk menyiapkan sepasang samping dan harga yang ditawarkan pula bermula RM3,500 hingga mencecah RM12,000. Bagi mereka yang tidak mempunyai bajet setinggi itu, jangan bimbang. Harga samping buatan mesin ditawarkan sekitar RM45 hingga RM1,500 bergantung kepada kualitinya. Selain cara pembuatan berbeza, samping juga boleh dibezakan melalui tiga motif atau corak yang utama. Berikut adalah corak samping lelaki yang sering digayakan pada setiap kali tibanya musim perayaan. 1. Abstrak Corak geometri adalah salah satu rekaan samping abstrak. Rekaan samping abstrak terbahagi kepada dua motif iaitu berpagar dan bunga. 2. Bunga tabur Samping bunga tabur sesuai dipakai oleh lelaki yang gemar dengan gaya ringkas. Seperti namanya, corak bunga tabur mudah dikenal pasti kerana motifnya yang bertompok-tompok. 3. Bercorak Songket bercorak daun monstera ini membuatkan si pemakai bertambah segak. Samping yang motif bercorak pula sering mengetengahkan tema haiwan, buah-buahan dan fauna pada rekaannya. Seperti pakaian mahal yang lain, samping juga harus dijaga dengan rapi. Jangan sekali-kali masukkan ke dalam mesin basuh jika enggan lihat samping anda mengecut. Gunakan cucian tangan sebagai cara penjagaannya bagi memastikan samping anda tahan lama.