suria

Mahu kelihatan vogue, berkarisma... 4 aksesori ini pelengkap gaya wanita

Aksesori bukan sahaja menjadi pelengkap gaya wanita, malah membantu meningkatkan keyakinan diri seseorang. Foto SAM THAM

WANITA dan aksesori sememangnya tidak dapat dipisahkan.

Aksesori memainkan peranan penting sebagai nilai tambah kepada gaya seseorang wanita dalam meningkatkan keyakinan diri mereka ketika berhadapan dengan khalayak.

Dalam masa yang sama, aksesori juga membantu menyembunyikan kekurangan yang mungkin ada kepada empunya diri.

Berikut merupakan empat aksesori wajib yang perlu ada pada seseorang wanita yang mahu tampil berkarisma dan kelihatan vogue.

1) Beg tangan

Ini merupakan aksesori yang paling wajib dimiliki seseorang wanita. Beg tangan memainkankan peranan penting bukan sahaja untuk mengisi dompet, telefon bimbit atau alat mekap, tetapi ia melambangkan status sosial seseorang.

Anda tidak semestinya perlu memiliki beg tangan berjenama yang mahal harganya. Cukup sekadar beg tangan tersebut praktikal dan memenuhi keperluan anda. Perlu diingat, anda perlu bijak memilih beg tangan yang sesuai dengan pakaian dan majlis yang dihadiri.

Perhiasan berasaskan manik seperti yang diusahakan Wini Copper mengetengahkan rekaan dari warisan masyarakat Bidayuh di Sarawak.

2) Barang kemas atau perhiasan

Aksesori ini membuatkan wanita kelihatan menyerlah dan berseri-seri. Sesetengah wanita gemarkan barangan kemas, manakala ada juga sesetengahnya lebih menggemari aksesori seperti barangan perhiasan berasaskan manik dan sebagainya.

Lazimnya, wanita muda yang bekerjaya lebih menggemari aksesori barangan perhiasan yang diperbuat daripada mutiara, berlian, manik, jed dan sebagainya.

Perhiasan berasaskan manik lebih mendapat tempat kerana sangat praktikal dan lebih ringkas, contohnya seperti yang diusahakan seorang bekas pendidik, Wini Copper.

Mengetengahkan rekaan dari warisan masyarakat Bidayuh di Sarawak, hasil kraftangan rekaannya mendapat sambutan hangat dari serata pelosok negeri. Apa yang menarik, manik ini diperbuat daripada seramik, manakala rekaannya berunsurkan elemen ethnicity yang diadun dengan elemen kontemporari.   

3) Jam tangan

Ada sesetengah wanita yang tidak menggemari barang kemas atau barang perhiasan. Jadi, solusi terbaik, lengkapkan penampilan anda dengan seutas jam tangan.

Pemakaian jam tangan juga boleh menyerlahkan penampilan dan gaya sesorang wanita. Pemilihan rekaan jam tangan juga boleh melambangkan personality seseorang. Dalam menggayakan jam tangan, anda dinasihatkan agar memadankan dengan pakaian supaya ia tidak ‘tenggelam’.

Contohnya, jika anda memakai pakaian yang simple atau kasual, pilih jam tangan dengan warna yang terang ataupun bertatahkan batu kristal.

Kaca mata hitam bukan saja bertindak sebagai pelindung sinar matahari, namun berfungsi sebagai perisai untuk menutup kekurangan di bahagian mata.  Foto LOW LAY PHON

4) Kaca mata hitam

Perasan atau tidak, wanita ikonik atau yang bekerjaya gemar memakai cermin mata hitam? Ini kerana cermin mata hitam mampu menonjolkan personaliti seseorang.

Tidak terbatas sebagai pelindung terik matahari, cermin mata hitam akan membuatkan pemakainya kelihatan lebih elegan dan berkarisma. Selain itu, ia berfungsi sebagai pelindung kekurangan bagi mereka yang berhadapan dengan masalah lingkaran gelap atau garis halus di sekitar mata.

Jadi, apa tunggu lagi, pastikan gaya anda menarik dengan mengenakan aksesori yang menarik dan kena pada tempatnya. Pastinya, tiap wanita ada karismanya tersendiri.

Artikel Lain