suria

Pengalaman proposal 'mak andam' ditolak dorong Mea Sukri cabar diri, kini ada produk sendiri!

Pengalaman 10 tahun dalam bidang solekan banyak mengajar Mea Shukri untuk menjadi insan lebih baik.

AIR mata jurusolek Siti Sumera Deyana Sukri yang gugur ketika memberikan ucapan pada majlis pelancaran produk Pley Cosmectics baru-baru ini cukup menggambarkan kepayahan dirinya untuk berada di tahapnya sekarang.

Lama Siti Sumera atau Mea cuba mengawal air matanya dariapa terus mengalir di hadapan tetamu yang hadir, namun dia gagal menahan diri kerana terlalu sebak mengenangkan perjalanan 10 tahunnya dalam bidang solekan sehingga berjaya mengeluarkan produknya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Tonton wayang selepas disahkan hidap kanser - “Suami patut mencintai diri anda bukan payudara anda”

"Kira-kira 10 tahun lalu, saya sendiri tidak pernah menyangka atau bermimpi untuk mempunyai produk sendiri malah saya tidak pernah berasa yakin dapat melakukannya.

"Ada segelintir orang melihat kerjaya sebagai jurusolek ini hanyalah 'mak andam' yang tahu menyolek pengantin pada musim perkahwinan.

Mea memulakan karier dalam bidang solekan dengan menyolek pengantin. 

"Apabila saya berjaya menghasilkan produk sendiri... Sudah tentu perasaan sebak dan sedih itu muncul kerana banyak rintangan dan cabaran terpaksa saya lalui dalam membuktikan saya boleh berjaya," katanya memulakan perbualan.

Cubaan tembusi dunia korporat, pengiklanan gagal

Wanita berusia 34 tahun ini memberitahu kerana kata-kata skeptikal itu juga membuatkan dia mahu memajukan diri selain keluar daripada zon selesanya sebagai jurusolek pengantin.

Tiada kenalan atau hubungan dengan nama-nama terkenal dalam bidang solekan, Mea bagaimanapun tidak menjadikan perkara itu sebagai halangan sebaliknya cuba menembusi dunia korporat dan pengiklanan.

Meskipun usaha itu sukar dan tidak berjaya, Mea memberitahu pengalaman menghantar kertas cadangan dan bertemu dengan orang penting syarikat gergasi banyak mengajarnya untuk lebih yakin.

"Apabila saya berhasrat untuk kembangkan karier 'mak andam', saya sedar perlu meluaskan skop dengan menyolek selebriti, terlibat dengan solekan pengiklanan dan korporat.

Suami adalah pendorong dan penyokong terbesar Mea.

"Jadi saya cuba menghantar proposal kepada syarikat besar untuk menjadi jurusolek sekiranya ada penggambaran untuk korporat tetapi kebanyakannya ditolak.

"Walaupun proposal saya sering ditolak tetapi saya tidak berputus asa dan cuba mengkaji apa kelemahan berbanding pesaing lain yang ketika itu banyak dipelopori bangsa lain," katanya.

Suami dorongan kuat, ke London belajar teknik solekan

Menyedari dirinya tidak mempunyai sebarang sijil kemahiran dalam bidang solekan, suaminya Suhaidi Badri Yusoff, 44, membuat kejutan apabila mendaftarkannya menghadiri kursus solekan di London Makeup Academy selama enam bulan pada 2013.

Kata Mea, suaminya adalah pendorong terbesar dalam kejayaannya hari ini malah lelaki itulah satu-satunya individu yang percaya bahawa dia boleh berjaya dalam bidang solekan dan penghasilan produk kecantikan.

Ketika di London kata Mea, dia menggunakan peluang itu untuk mempelajari teknik solekan selain mengutip pengalaman serta mengkaji tentang produk di sana.

Mea meletak harapan Pley Cosmetics akan berkembang maju.

"Alhamdulillah apabila pulang saya dapat tawaran daripada Astro untuk menyolek Najwa Latif sebelum mendapat beberapa projek lagi dengan stesen siaran berbayar itu.

"Allah buka lagi jalan saya apabila mendapat peluang untuk menyolek Anuar Zain ketika beliau mengadakan konsert tiga dekad selain mula mendapat kepercayaan korporat seperti Maxis, Malaysia Airlines dan sebagainya," katanya.

Tidak mahu mensia-siakan ilmu yang ada, Mea turut membuka kelas solekan dan ia masih aktif sehingga ke hari ini.

Beli produk di luar negara beri idea hasilkan Pley Cosmetics

Bercakap mengenai Pley Cosmetics, Mea memberitahu setiap kali berkesempatan ke luar negara dia sering membeli produk-produk kecantikan yang tidak terdapat di Malaysia untuk dijual dalam talian.

Dari situ kata Mea, dia mendapat idea untuk menghasilkan produk yang tidak berada di pasaran namun menggunakan bahan sesuai dengan kulit masyarakat tempatan.

Mea kini banyak menata rias wajah selebriti tempatan. 

Berbekalkan niat itu, Mea memberitahu dia terbang ke Jepun untuk mengkaji tentang produk kecantikan di sana sebelum bertemu dengan bahan sesuai untuk menghasilkan produk pertamanya iaitu bedak asas yang diberi nama Faker Than You HD Foundation, Water Break Primer dan Turkish Rose Water.

"Alhamdulillah kajian selama setahun membuahkan hasil... Paling penting penerimaan pelanggan juga sangat baik memandangkan ia mesra wuduk dan pocket friendly.

"Seperti usahawan lain sudah tentu saya mahu kembangkan produk ini sampai ke luar negara dan Insya-Allah suatu hari nanti impian itu pasti terlaksana," katanya.

Artikel Lain